
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Perhimpunan Bulanan IPIK bagi bulan April telah diadakan
pada 8 April 2014. Perhimpunan ini telah dikelolakan oleh para pelajar PPISMP
Semester 2 dengan bimbingan daripada pensyarah-pensyarah dari dua jabatan iaitu
Jabatan Matematik dan Sains, dan juga Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Profesionalisme
Keguruan. Tema yang telah dipilih bagi perhimpunan pada kali ini ialah “Simbiosis:
Keakraban Interaksi”. Tema ini secara amnya membawa maksud kerjasama antara dua
pihak yang membawa kepada keuntungan dan saling melengkapi. Secara khususnya
pula, tema ini menceritakan tentang kerjasama yang telah dijalankan oleh kedua-dua
jabatan ini bagi merealisasikan perhimpunan bulanan IPIK pada kali ini.
Ketibaan tuan Pengarah pada hari tersebut telah diiringi
oleh iringan "live band" yang terdiri daripada pelajar-pelajar
Semester 2 Jabatan Pendidikan Muzik. Setelah nyanyian lagu "Negaraku"
dan bacaan ikrar rukunegara, majlis telah dimulakan dengan ucapan daripada
Ketua Jabatan Matematik dan Sains, Puan Hajah Khalidah binti Othman.
Setelah
itu, majlis diteruskan dengan ucapan mesra oleh Timbalan Pengarah IPIK yang
baru iaitu Dr. Roziah binti Abdullah. Dalam ucapannya, beliau telah menegur
tentang budaya memberi salam yang kurang diamalkan di kampus ini. selain itu
juga, beliau telah memberikan penerangan yang mendalam tentang aspek berpakaian
yang betul bagi seorang guru pelatih. Dalam ucapannya juga, beliau telah
mewajibkan pemakaian kad matriks dan tanda nama ketika berada di dalam kampus
bagi mengatasi masalah kehilangan barangan berharga yang akan berkuatkuasa pada
minggu hadapan.
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada tuan Pengarah.
Dalam ucapannya, beliau telah mengumumkan nama empat orang pensyarah yang telah
berjaya melayakkan diri sebagai penerima anugerah "Pensyarah Cemerlang".
Beliau juga turut mengumumkan bahawa bermula pada 14 April ini akan diadakan temuduga
dan ujian kecergasan bagi pelajar-pelajar lepasan SPM yang memohon untuk
melanjutkan pelajarn di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Dalam slot Pengucapan Awam pula, Mohamad Hanis bin Harani
dari kelas G3.8 dan juga Wan Muhamad Fahmi bin Wan Marzuki dari kelas G2.9
telah mengetengahkan topik bertajuk teknologi dan kepentingannya.Mereka turut menyentuh tentangkepntingan teknologi kepada para pelajar. Kemudian,
perhimpunan disusuli dengan persembahan daripada pelajar-pelajar
Semester 2 Jabatan Pendidikan Muzik dengan lagunya “Laskar Pelangi”. Setelah
itu, acara penyampaian sumbangan kepada para-pelajar yang ditimpa musibah telah
diadakan, seterusnya mengakhiri perhimpunan bulanan IPIK bagi bulan April ini.