Feature Top (Full Width)

Sunday, October 2, 2011

Guru pelatih pun boleh buat.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Pada bulan September yang lepas, pelbagai program Institut yang dianjurkan oleh guru pelatih sendiri telah selamat dilaksanakan dengan jayanya.

Antara program yang telah berjaya dilaksanakan ialah Karnival Sukan IPG IK yang melibatkan dua medan sukan yang telah memperlihatkan aksi masing-masing, iaitu ragbi dan bola tampar yang telah diadakan 24-25 September 2011.


Pelbagai aksi menarik sempat dirakamkan sepanjang berlangsungnya karnival sukan selama dua hari itu.
Pasukan bola tampar IPG Kampus Ilmu Khas yang diberi nama VOLKIK


Pasukan Ragbi IPG IK, dengan jolokan nama LYCAN A dan B ( Jersi hijau & merah ) beraksi lincah mengharungi halangan dari pihak lawan.


Seterusnya ialah Karnival Matematik Pendidikan Khas yang telah dianjurkan oleh guru-guru pelatih opsyen pendidikan khas PISMP semester 2 pada 26 September 2011 bertempat di Dewan Dato Razali Ismail. Program ini juga turut melibatkan beberapa buah sekolah rendah yang membawa murid pendidikan khas untuk menyertai dan bersama-sama menjayakan karnival berkenaan.



Pada 29 September 2011 pula, guru-guru pelatih opsyen Pendidikan Jasmani PISMP semester 2 ( G 2.5 & G 2.6 ) menganjurkan Pameran Kesihatan dan Seksualiti yang bertempat di ruang legar perpustakaan IPG IK.



Pada 26, 28 dan 30 September pula, Persatuan Guru Pelatih Islam ( PGPI ) menganjurkan Program Smart Solat, bertempat di Surau At-Ta'dib IPG IK. Program ini diadakan setiap kali selepas solat fardhu maghrib dalam sesi kuliah maghrib. Ketiga-tiga slot kuliah itu disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Abdul Fatah Yusuf.


Tahniah diucapkan kepada semua guru pelatih yang terlibat secara langsung atau tidak dalam program-program yang telah dilaksanakan, sebagai penganjur atau tidak. Perkara yang paling penting ialah pengalaman yang kita dapat daripada penganjuran-penganjuran program seperti ini boleh diaplikasikan apabila menjadi seorang guru kelak.

Tuesday, September 13, 2011

Kursus Pra-Perkahwinan Islam 2011

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua .

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Ilmu Khas ( JPP IPG IK ) dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Jawi ( Keswi ) menganjurkan Kursus Pra-Perkahwinan Islam bagi tahun 2011 peringkat IPG IK yang akan berlangsung selama 2 hari, iaitu pada 17 September 2011 ( Sabtu ) hingga 18 September 2011 ( Ahad ) bertempat di Auditorium Blok TESL IPG IK.


Dengan bayaran yuran yang agak murah, iaitu hanya RM7o sahaja, penyertaan dibuka dan dihadkan kepada 150 penyertaan sahaja dari kalangan guru pelatih yang berminat untuk menyertai kursus ini. Sudah tentu, di akhir kursus ini, para peserta akan diberikan sijil serta ilmu-ilmu yang sangat bermanfaat, sebagai persediaan untuk menjalani kehidupan berkeluarga kelak.

Dalam kursus ini, sebanyak 12 slot akan dibentangkan oleh 2 orang penceramah yang didatangkan khas dari pihak JAWI sendiri. Oleh yang demikian, setiap peserta wajib untuk hadir dalam kesemua slot dan kehadiran akan diambil untuk memastikan peserta benar-benar layak untuk diberikan sijil.

Adalah diingatkan kepada semua peserta Kursus Pra-Perkahwinan Islam 2011 ini untuk mematuhi segala etika-etika ketika berkursus, termasuklah etika berpakaian. Adalah ditetapkan kepada semua peserta untuk mematuhi etika berikut :

Peserta Lelaki :
- Pakaian Smart Casual ( baju berkolar dan seluar slack )
- Pakaian formal ( Baju kemeja dan seluar slack )
- Wajib berkasut
- Digalakkan memakai kopiah atau songkok

Peserta Perempuan :
- Baju kurung dan kasut bertutup

Para peserta dinasihatkan agar menepati masa dalam setiap slot yang akan diadakan dan bersedia dengan lebih awal sebelum slot bermula untuk melancarkan program serta para peserta dapat berkursus dengan lebih selesa.

Dalam hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari, baginda bersabda ;

"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"

Maka dengan itu, tuntutlah ilmu tentang perkahwinan, biar rumahtangga kita semua di masa akan datang menjadi keluarga yang sakinah dan mawaddah, selaras dengan tuntutan syariat Islam serta menghidupkan sunnah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya menuntut ilmu yang baik itu adalah ibadah dan akan memberikan manfaat kepada si penuntutnya..

Selamat berkursus !

Friday, August 19, 2011

SEDERHANA TAPI BERMAKNA


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera semua.


Menjelang hari kemerdekaan negara kita pada tarikh 31 Ogos pada setiap tahun, sambutan hari kemerdekaan di IPG Kampus Ilmu Khas pada tahun ini disambut lebih awal, memandangkan pada minggu hadapan, ramai antara guru pelatih dari PISMP sem 2 dan 4 membuat interaksi selama seminggu di sekolah rendah yang lebih sinonim dengan nama Pengalaman Berasaskan Sekolah ( PBS ).

Kelab Rukun Negara bersama pensyarah dan guru pelatih yang lainnya membantu dalam menganjurkan sambutan yang serba sederhana ini, namun pengisiannya pada kali ini ringkas dan sarat dengan informasi berkaitan dengan kemerdekaan.

Sambutan hari kemerdekaan dimulakan dengan perarakan konvoi motorsikal guru pelatih bersama staff dan pensyarah yang membawa Jalur Gemilang.



Pengisian yang telah disampaikan dalam bentuk sketsa dan penceritaan oleh pelakon-pelakon sketsa episod-episod perjuangan mempertahankan tanah air serta penceritaan santai yang terdiri daripada atuk, nenek dan cucu-cucunya.



Antara pengisian dan informasi yang telah disampaikan ialah tentang perjuangan Syeikh Syed Al-Hadi dalam pengislahan dan menyampaikan ajaran Islam kepada orang-orang Melayu pada ketika itu.



Persembahan pengisian diteruskan lagi dengan deklamasi puisi dan sajak yang bertemakan kemerdekaan yang dideklamasikan oleh 3 orang guru pelatih.



Selepas itu, persembahan boria kemerdekaan yang dipersembahkan oleh guru pelatih dari Jabatan Kajian Sosial dan penampilan khas guru pelatih dari Jabatan Pendidikan Muzik sebagai penyanyi utama.


Sebelum majlis berakhir, aktiviti diteruskan dengan nyanyian lagu-lagu patriotik. Semua para hadirin menyanyi dengan bersemangat sambil mengibarkan jalur gemilang yang diberikan sebelum masuk ke dalam dewan.


Timbalan pengarah dengan senyuman meninggalkan majlis.



Bersyukurlah kita semua dengan nikmat kemerdekaan yang telah dikurniakan oleh Allah. Kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, perlulah mempertahankan kemerdekaan ini, kerana ianya adalah amanah yang perlu kita jaga dengan sebaiknya. Merdekakan diri kita juga, merdeka dari aspek luaran dan dalaman, merdeka dari aspek rohani dan jasmani.