Feature Top (Full Width)

Tuesday, June 19, 2012

No! Polisterina


Cara membantu mengurangkan penggunaan plastik

Sebelum ini kita telah membicarakan tentang topik gantikan beg plastik kepada beg kitar semula.. Kali ni kita memberika cara-cara mudah yang kita boleh amalkan dan lakukan sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan beg plastik. 


1. Membawa beg sendiri ketika membeli-belah

Kalau anda memang dah bercadang mahu membeli barang keperluan harian seperti barang-barang dapur bagi pelajar-pelajar yang tinggal di luar kampus atau barang makanan bagi yang tinggal di asrama, bawa sendiri beg kitar semula. Kalau agak-agak terlupa untuk membawa beg tersebut, simpan beg tersebut dalam beg galas, hand bag atau dalam seat motor atau dalam bonet kereta masing-masing.


2. Elak menerima beg plastik

Beg plastik sentiasa diberi kepada anda setiap kali kamu melakukan pembelian walau dimana-mana sahaja. Tidak kiralah barang yang dibeli itu walau sebatang pen mahupun seketul pemadam pasti beg plastik diberikan. Oleh itu, jika barang belian itu kecil masukan sahaja dalam poket seluar atau beg sandang, atau beg tangan selepas membayarnya.


3.  Elak menggunakan bekas makanan daripada foam atau polisterina

Hal ini selalu diperkatakan oleh tuan pengarah mengenai penggunaan polisterina dalam apa-apa sahaja acara yang dijalankan di dalam kawasan instutut. Apa kata kalau kita melakukan pembaharuan dengan menggunakan bekas makanan tak kiralah apa sahaja jenama 'tupperware', 'apple lady' dan sebagainya asalkan bekas makanan tu boleh digunakan semula. Nak cari yang murah kedai di Taman Tenaga ada menjual serendah RM2.


Itu sahaja untuk kali ini. Jika ada yang ingin menambah cara-cara mengurangkan penggunaan plastik sila berikan cadangan anda di ruangan komen.

Kurangkanlah penggunaan plastik kerana tindakan itu  dapat menyelesaikan banyak masalah pencemaran, membantu kehidupan yang selesa, menjaga kualiti alam sekitar, dan seterusnya dapat membantu negara mengurangkan keluasan tapak pelupusan.

Monday, June 18, 2012

PERUTUSAN YDP UNTUK SEMESTER KEDUA TAHUN 2012


Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua warga IPGK IK, khususnya kepada rakan-rakan guru pelatih sekalian.

Alhamdulillah, syukur kerana kita semua dapat meneruskan pengajian di sini bagi memperlengkapkan segala ilmu dan kemahiran sebagai persediaan untuk menjadi seorang pendidik yang akan turun berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat kelak, kerana tugas sebagai seorang guru bukan sekadar di dalam sekolah.

Semester ini akan kita hadapi sehingga awal November nanti dengan bermacam-macam pengisian dan pastinya memberi banyak pengalaman dan ilmu yang berguna, seperti biasa dengan tugasan daripada pensyarah yang perlu diselesaikan, berpraktikum di sekolah, menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), program-program dan aktiviti yang telah dirangkan dan akan diadakan oleh pihak institut dan juga Jawatakuasa Perwakilan Pelajar (JPP) sendiri serta program luar yang akan melibatkan pihak IPG seperti sambutan hari kemerdekaan yang diadakan pada setiap tahun.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua guru pelatih untuk sama-sama menjayakan program yang dianjurkan, kerana semua penganjuran adalah dibuat berdasarkan objektif dan matlamat positif yang ingin dicapai untuk kebaikan kita semua. Selain itu, penglibatan kita dalam setiap program dan aktiviti yang dianjurkan sebenarnya memberikan kemahiran nilai tambah yang sangat banyak terutamanya dalam memberikan pengalaman yang sangat diperlukan untuk dibawa ke sekolah apabila berpraktikum dan bertugas sebagai seorang pendidik nanti.

Rakan-rakan semua, dalam mengejar kecemerlangan dalam akademik, kita jangan lupa dengan beberapa perkara lain yang sangat penting seperti kemahiran sosial seperti komunikasi, bekerjasama dalam satu pasukan, menguruskan masa dengan baik, pengurusan protokol serta kemahiran dan pengalaman yang lain, kerana kita tidak mahu guru berkualiti yang cemerlang dalam akademik, tetapi lemah dalam aspek komunikasi, pengurusan dan kemahiran secara praktikal yang lain.


Selaras dengan motto JPP pada kali ini, iaitu “Bersama ke arah kesejahteraan kampus”, semoga kita dapat menjadikan suasana kampus yang sejahtera dengan adanya rasa kebersamaan antara semua pihak seperti antara guru pelatih dengan pensyarah, sesama guru pelatih dan juga dengan semua staf sokongan dengan ikatan persaudaraan yang erat serta saling memberi nasihat yang baik antara satu sama lain dan saling memberi sokongan dan kerjasama dalam setiap aktiviti dan program yang diadakan.


Selain itu, hendak saya tekankan agar kita semua menunjukkan citra seorang pendidik bermula daripada fasa pembinaan dan pembangunan karakter guru di kampus ini semasa kita mula bergelar guru pelatih. Adalah perlu untuk seorang guru pelatih menunjukkan akhlak dan peribadi yang mulia serta saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain. Kita semua perlu membuktikan bahawa kita layak untuk berbangga dengan profesion ini sesuai dengan perilaku kita.


Di samping itu, jangan kita lupa dengan peraturan yang telah digariskan oleh pihak KPM dan IPGM khususnya akan diperketatkan, berikutan semakin banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku baik di dalam mahupun di luar kampus. Tindakan akan diambil sekiranya disabitkan kesalahan dan penglibatan pihak polis juga akan turut berlaku sekiranya kes yang terbabit melibatkan kes jenayah.



Semoga kita semua dapat menghadapi dan menjalani semester ini dengan baik dan seterusnya mencapai apa yang kita idam-idamkan.

Sekian, terima kasih.

“BERSAMA KE ARAH KESEJAHTERAAN KAMPUS”