Feature Top (Full Width)

Saturday, July 14, 2012

Karnival Sukan Kolej KediamanIPG Zon Tengah

Pada 14 Julai telah berlangsungnya karnival sukan kolej kediaman anjura IPG Kampus Pendidikan Islam yang disertai oleh IPG-IPG Zon Tengah. Antara acara yang dipertandingkan adalah

Futsal 

Sepak takraw


Bola Keranjang Lelaki dan bola keranjang perempuan 3 on 3


Bola jaring

Bola sepak

Bola tampar


Senarai acara yang dimenangi oleh IPG Kampus Ilmu Khas adalah:

Bola Tampar: tempat ketiga
Futsal: Naib Johan
Bola sepak: Naib Johan
Bola keranjang Wanita: Tempat ketiga
Petanque wanita: Naib Johan
Sepak takraw: Naib Johan

Juara keseluruhan bagi Karnival sukan kolej kediaman IPG Zon Tengah disandang oleh IPG Kampus Islam, Naib Johan adalah IPG Kampus Bahasa Melayu dan tempat ketiga disandang oleh IPG Kampus Raja Malewar.

Tahniah kepada semua peserta, ahli jawatankuasa pengelola dan organiser bagi karnival sukan yang telah berlangsung dengan jayanya. Diharap aktiviti-aktiviti sebegini akan sentiasa diadakan untuk mengeratkan ukhwah antara guru-guru pelatih IPG-IPG Zon Tengah dan menjalani gaya hidup yang sihat dengan bersukan.


Duit elaun habis ?

Pokai ! Pokai !
Baru 2 hari elaun masuk duit da habis !


Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua :)

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang maha pemurah, dilimpahkan ke atas hamba-hambanya yang sentiasa bersabar dan bersyukur.

Seperti yang kita sedia maklum, elaun bagi guru pelatih PISMP semester 2, 3, 6, 8 dan lain-lain telah dimasukkan. Sebelum itu, beberapa buah IPG lain telah menerimanya terlebih dahulu. Hal ini menyebabkan berlakunya tekanan dan rungutan daripada pihak pelajar seperti yang pernah berlaku tahun-tahun sebelum ini.  

Dari pihak JPP sendiri, perkara ini adalah perkara biasa yang pasti akan berlaku dan kami telah bersedia sebelum perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. 

Hal ini sebenarnya perlu diperjelaskan kepada semua, supaya semua pihak tahu dan faham bagaimana aliran dan pengagihan kemasukan kewangan itu disalurkan kepada pelajar. Oleh kerana tidak memahami situasi dan keadaan sebenar, banyak pihak yang secara membuta tuli membuat tindakan yang sangat tidak profesional dan tidak menunjukkan ciri-ciri yang selayaknya ada pada seorang yang bergelar pendidik melalui kata-kata kesat dan kurang sopan.

Adalah sangat merisaukan sekiranya perkara ini berlaku kepada pendidik-pendidik yang akan mendidik anak-anak kita nanti.

Rakan-rakan semua,
Meminta dengan baik sopan itu tidak susah, berbahasa dengan tutur bicara yang elok tidaklah payah.
Kenapa perlu mendabik dada secara emosional tanpa dipandu dengan akal yang sihat dan waras semahunya menyalahkan pihak-pihak yang lain, kononnya tidak telus, tidak menjalankan tugas dengan baik dan sebagainya, walhal yang bercakap itu tidak tahu dan faham akan perkara yang sebenarnya.

Alhamdulillah, tiada sebarang ketegangan yang berlaku, kerana dari pihak JPP sendiri menganggap hal ini adalah perkara biasa yang pastinya akan berlaku selagi mana tiada penjelasan yang khusus untuk hal tersebut.

Apa yang dikesalkan ialah, apabilah elaun sudah diterima, wang tersebut tidak digunakan sebaiknya secara total sepertimana yang diwartakan. Ramai antara kita yang seringkali membuat rungutan apabila dituntut untuk membayar yuran, membeli buku yang disarankan oleh pensyarah, barangan kelengkapan untuk subjek pengkhususan terlalu mahal dan sebagainya, padahal wang yang diterima itu adalah diwartakan untuk hal-hal yang berkenaan.

Tetapi apa yang berlaku, wang tersebut dibelanjakan sewenangnya untuk memenuhi tuntutan kehendak semahunya, tanpa memikirkan tentang keperluan.

Wang elaun yang diperolehi lebih banyak digunakan untuk membeli alat telekomunikasi yang canggih mencecah ribuan ringgit, sedangkan masih ada yang lebih murah daripada itu, menghabiskan wang ringgit untuk aktiviti yang tidak bermanfaat dan sebagainya.

Hal ini sangat mengecewakan, kerana apabila kehabisan wang, pandai pula merungut, tapi apabila sudah memiliki wang, tidak diuruskan dengan baik, kemudian menyalahkan orang lain tanpa melihat kepada kelemahan diri sendiri yang tidak profesional dalam menguruskan kewangan sendiri.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakan-rakan, berfikirlah secara matang khususnya dalam menguruskan perbelanjaan dan kewangan sebagai seorang mahasiswa pendidik dengan profesional.
Janganlah berbelanja mengikut kehendak sendiri tanpa memikirkan yang suatu masa nanti kita akan kesempitan dan kesusahan.

-YDP-

Thursday, July 5, 2012

Pendidik perlu lebih profesional

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua .

Semoga anda semua sihat hendaknya dalam menghadapi hari-hari yang penuh dengan cabaran sepanjang pengajian di IPG ini.



Fokus pada kali ini ialah nilai professionalisme perguruan dalam kalangan guru pelatih.
Dalam hal ini, ingin saya jelaskan bahawa, pada fasa pengajian kita di kampus ini ialah fasa persediaan dan pembentukan sebelum menjadi seorang pendidik pada masa hadapan.

Ini kerana, situasi-situasi yang berlaku samaada terancang atau tidak terancang adalah merupakan salah satu bentuk latihan yang lebih praktikal kepada guru pelatih khususnya.

Pelbagai contoh situasi di kampus yang boleh dikaitkan dengan situasi sebenar apabila kita semua menjadi pendidik pada masa akan datang.

Oleh itu, seorang guru perlu mempunyai nilai-nilai professionalisme yang menjadi tunjang utama kepada pendidik dalam menghadapi situasi-situasi mencabar, samaada dalam menjalani hidup sebagai seorang guru pelatih atau guru/pendidik yang berkhidmat kepada masyarakat nanti.

Dalam Standard Guru Malaysia (SGM), 3 domain utama telah digariskan untuk melahirkan guru yang berkualiti dari pelbagai aspek, antara salah satu domain yang ada ialah :



Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan
 
Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG), Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam, prinsip utama Etika Kerja KPM, dan Tonggak Dua Belas. Standard ini mempunyai tiga domain utama iaitu:

S1.1 Domain Diri

Domain ini merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara.

Nilai-nilai yang difokuskan dalam domain ini ialah kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya saing dan, tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, semangat sukarela, dan efisien.


S1.2 Domain Profesion

Domain ini merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang profesional. Nilai-nilai yang ditekankan dalam domain ini adalah kecintaan terhadap profesion, berketerampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan inovatif.


S1.3 Domain Sosial

Guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Nilai-nilai utama yang patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Rakan-rakan semua,
Keadaan atau situasi yang kita hadapi sepanjang tempoh pengajian adalah satu fasa simulasi yang praktikal dengan situasi sebenar di fasa situasi sebenar sebagai seorang guru kelak.

Sebagai contoh, kita diberikan tugasan-tugasan seperti kerja kursus, tugasan mingguan, gerak kerja ko-kurikulum dan sebagainya.



Hal ini adalah sama seperti situasi kita untuk menghadapi cabaran sebagai seorang guru yang perlu menguruskan banyak perkara dalam satu masa yang sama. Guru tidak semestinya hanya mengajar di dalam kelas, tetapi juga akan menjadi ketua panitia, ketua rumah sukan, setiausaha PIBG, penglibatan dengan masyarakat setempat seperti ahli mesyuarat jawatankuasa kampung dan sebagainya.

Selain itu, guru pelatih juga sentiasa terlibat dengan aktiviti di luar kampus, seperti program-program perkembangan sahsiah, kursus, khidmat masyarakat seperti program PDK, BIG, lawatan ilmiah dan sebagainya.



Dalam konteks ini, seorang guru itu perlu sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk bertugas di luar kawasan sekolah atas urusan pendidikan dan sebagainya. Guru yang professional tidak seharusnya mengeluh dan bertindak di luar jangkaan sekiranya dikehendaki oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk bertugas di luar kawasan, seperti kursus, menjadi pengiring kepada pasukan sukan dan juga dengan arahan untuk berpindah tempat berkhidmat sekalipun.

Di samping itu, kita juga diajar untuk lebih professional dalam aspek yang dianggap remeh, tetapi sangat mencerminkan nilai professionalisme seorang guru, iaitu bertugas dengan ikhlas serta memahami akan segala permasalahan itu ada punca dan faktornya yang tersendiri.

Sebagai contoh, guru yang professional akan sedia menerima sebarang kemungkinan dengan berlapang dada dan faham dengan jelas akan faktor berlakunya perkara tersebut. Jika gaji tidak dibayar bukan pada waktunya, guru yang professional akan menganggap perkara ini adalah perkara yang biasa berlaku, samaada cepat atau lambat ianya akan dibayar juga seperti yang dijanjikan. Hal ini juga secara tidak langsung dapat menilai sejauh mana keikhlasan kita sebagai pendidik untuk berkhidmat dengan ikhlas atau semata-mata untuk mendapatkan ganjaran.



Sebagai seorang guru pelatih, kita belajar untuk menghadapi situasi ini dengan pembayaran elaun yang telah disalurkan. Tidak dinafikan, ada kalanya pembayaran elaun untuk guru pelatih sedikit terlewat dan pastinya ianya akan tetap dibayar juga.

Dalam konteks professionalisme keguruan, hal ini dapat menilai sejauh mana guru pelatih menghadapi situasi ini, adakah menghadapinya secara profesional atau menunjukkan tindakan-tindakan yang di luar kawalan yang tidak menunjukkan nilai profesional seorang pendidik.

Selain itu, ianya juga berkait rapat dengan keikhlasan dalam menimba ilmu,serta pengurusan kewangan yang baik. Apa yang boleh disimpulkan, mahasiswa pada hari ini lebih cenderung untuk memiliki sesuatu yang di luar kemampuan dan tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak.


Kita berlumba-lumba untuk memiliki gajet yang terkini dan tercanggih, walhal itu adalah di luar kemampuan status kewangan kita dan melebihi keperluan yang kita harus miliki.

Oleh kerana itu, dari aspek pengurusan kewangan juga kita sebagai guru pelatih perlu aplikasikan bermula dari sekarang.



Dan yang terakhir sekali, seorang pendidik itu perlu berketerampilan dan menunjukkan imej pendidik semasa dan di luar waktu pengajaran. Di sekolah bergelar guru, di luar sekolah dikenali sebagai cikgu. Dikenali sebagai pendidik dengan cara penampilannya, cara percakapannya, pergaulannya dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dibudayakan dari sekarang, bila lagi kita hendak mulakan ?

Perlu ditekankan, pendidik generasi akan datang adalah guru pelatih pada hari ini. Bagaimana keadaan guru pelatih pada hari ini, itulah yang akan berlaku kepada golongan pendidik pada masa akan datang.

-YDP-