Feature Top (Full Width)

Wednesday, January 4, 2012

PERUTUSAN YDP JPP IPG KAMPUS ILMU KHAS SEMPENA SEMESTER BAHARU 2012



Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T dengan limpah dan kurnia-Nya beserta dengan nikmat kesihatan yang tidak terhingga dapat kita sama-sama melangkah ke tahun 2012 bagi menyambung pengajian kita dibumi Kampus Ilmu Khas yang kita kasihi sekalian. Mudah-mudahan langkahan yang diiringi dengan azam dan semangat yang berkobar-kobar akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T.



Bermulanya semester baharu ini membuktikan masa begitu pantas meninggalkan kita. Sedar tidak sedar kehidupan kita di kampus semakin sampai ke penghujungnya. Paling ketara perbezaan kita pada tahun ini berbanding tahun lepas adalah bertambahnya satu angka pada umur kita yang membuktikan kita sepatutnya lebih matang berbanding tahun-tahun sebelum ini. Sifat matang sepatutnya berkembang seiring dengan penambahan umur kita. Lebih-lebih lagi kita sebagai seorang mahasiswa yang akan menjadi seorang guru kelak perlu bersifat lebih matang dan produktif ke arah untuk mencapai kecemerlangan diri sebagai pendidik. Namun saya ingin tegaskan kepada sahabat-sahabat sekalian supaya jangan sesekali lupa kepada kecemerlangan akhirat.

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dikasihi sekalian,

‘Musim’ baru kita pada semester ini akan diserikan dengan kepulangan sahabat TEFL Cohort 1 dari Negera Kanggaru. Mereka akan menyambung baki 1 tahun pengajian mereka di sini. IPG kita juga turut diserikan dengan kehadiran ‘abang dan kakak junior’ daripada program GSTT KPLI yang akan mula mendaftar pada 9 Jan 2012. Namun seri yang kita kecapi tidak dapat dikongsi bersama abang dan kakak pismp ambilan Januari 2008 yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka di sini. Walau bagaimanapun sekalung tahniah kepada mereka kerana berjaya menempuhi alam pembelajaran mereka dengan cemerlang. Mudah-mudahan mereka dapat mencurahkan bakti kepada anak bangsa dengan penuh ikhlas untuk mendidik.

Sahabat sekalian,



Saya ingin melaungkan bahawa kita sebagai mahasiswa bakal guru merupakan aset yang penting kepada negara dan masyarakat kerana kitalah yang akan mencorak anak bangsa kelak. Cemerlangnya kita mendidik anak bangsa kita, cemerlanglah masyarakat kita mendatang. Persoalannya, bagaimanakah kita ingin mendidik anak bangsa kita dengan cemerlang? Rasanya jawapannya ada dalam diri rakan-rakan mahasiswa sekalian. Saya percaya masyarakat diluar sana percaya dengan kebolehan kita namun kita mesti membalas kepercayaan mereka dengan melahirkan anak bangsa yang cemerlang daripada segenap aspek.



Di sini juga saya ingin menggesa kepada mahasiswa kampus sekalian supaya lebih berani menonjolkan diri di medan sebenar dan bukannya hanya sekadar menonjol di laman sosial seperti Blog dan Facebook, halaman akaun Facebook saya dan mana-mana laman sosial yang lain. Bukannya salah tapi di alam nyata momentumnya lebih ampuh dan menunjukkan sikap profesional kita yang tinggi berbanding di alam maya. Cuba realitikan idea-idea yang sering kita paparkan pada ruangan laman sosial demi kemajuan mahasiswa IPG Kampus Ilmu Khas. Hapuskan sikap-sikap negatif yang selama ini menjadi tembok kepada kita dalam usaha untuk mencemerlangkan diri.

Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan kita pada semester baharu ini. Azam yang tinggi tanpa tindakan juga menjadikan matlamat kita menjadi sia-sia. Kita perlu mengkaji dan meneliti setiap perancangan secara holistik supaya hasilnya menuju kepada kesempurnaan.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin memohon maaf kepada seluruh mahasiswa IPG Kampus Ilmu Khas jika ada kesilapan ketara mahupun selindung disepanjang saya meneraju tampuk pimpinan sebagai Yang Dipertua Pelajar. Mudah-mudahan iringan doa sahabat sekalian pada semester baharu ini dapat menjadikan saya lebih cekap dan efisyen dalam memikul amanah yang terlalu besar ini.

Sekian daripada saya, terima kasih.
Yang benar,
____________
Mohd Huzaifi Bin Sulaiman
YDP JPP IPG Kampus Ilmu Khas
" Daripada Pelajar, Untuk Pelajar "

Monday, January 2, 2012

Sebelum melangkah ke medan ilmu..

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

السلام عليكم dan selamat sejahtera seluruh warga kampus !!



Selamat kembali ke kolej kediaman, selamat kembali ke kediaman masing-masing dan selamat kembali ke rutin harian kita sebagai seorang penuntut ilmu dan seorang bakal pendidik di IPG Kampus Ilmu Khas.

Bangun sahabat-sahabat!
Usai sudah waktu untuk berehat, bangunkan jiwa dan jasad kita yang masih lagi terngiang panggilan kamar tidur untuk terus merakamkan mimpi.

Ayuh teman-teman !
Sudah tiba masanya untuk kembali fokus kepada pengajian yang masih lagi berbaki beberapa tahun saja lagi. Habiskan !
Habiskan biar cemerlang !

Pandang sebentar ke masa lalu, ingat kembali pada kesilapan-kesilapan dan kelemahan kita yang perlu diperbaiki dan tidak perlu diulangi lagi.

Kerapkah kita masuk ke kelas ?
Kerapkah kita ponteng kelas ?
Kerapkah kita bertangguh menyiapkan tugasan ?
Kerapkah kita berselisih faham dengan rakan-rakan ?
Kerapkah kita berdoa kepada Tuhan minta dipermudahkan segala urusan ?

Jawapannya ada pada kita sendiri..

Sahabat,



Ilmu itu penyuluh..
Dengan ilmu, mudah bagi kita untuk menelusuri jalan sepanjang kehidupan yang gelap tanpa cahaya petunjuk, iaitu cahaya ilmu.

Ilmu itu umpama air..
Membasahi kekontangan minda yang jahil, melimpahi fikiran dengan siraman pengetahuan, daripada tidak tahu, kepada tahu, daripada tahu menjadi lebih tahu.

Ilmu itu sedekah..
Diberikan dengan ikhlas kepada mereka yang memerlukan, semoga bersama-sama mendapat manfaat dan kebaikan dengannya.




Kita sebagai bakal pendidik sangat rapat dengan ilmu.
Kita menuntut ilmu, diberikan ilmu, menerima ilmu dan kemudiannya mencurahkan ilmu.




Semoga kita semua sama-sama menetapkan niat sebelum memulakan semester baharu ini dengan ikhlas dan serta beriltizam untuk terus memajukan diri dari masa ke semasa secara berterusan, demi melahirkan generasi yang dinamik dan progresif pada masa akan datang dengan adanya para guru pelatih yang berkualiti pada hari ini.

Sedikit perkongsian untuk renungan bersama;

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara:
1)Sedekah jariah
2)Ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain
3)Anak yang soleh yang berdoa untuknya."

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Wednesday, December 28, 2011

Bersedialah !

Bismillahirrahmanirrahim ..
Assalamualaikum, selamat sejahtera semuanya..

Apa khabar sahabat-sahabat warga IPG IK yang dirindui semua ?
Sihat dan sejahtera hendaknya dalam menikmati hari-hari terakhir cuti yang akan melabuhkan tirai tidak lama lagi.



Kami dengan penuh rasa kebersamaan dengan seluruh warga kampus yang dihormati, menyeru bersama-sama untuk memberikan peringatan kepada sahabat-sahabat yang lain, rakan sekelas, rakan sebilik, rakan serumah dan semua rakan-rakan yang ada agar tidak meninggalkan waktu cuti tanpa menyiap dan membereskan segala keperluan dan tugasan yang telah diberikan sebelum atau semasa cuti oleh pensyarah masing-masing.

Semoga dengan sempurnanya segala tugasan yang telah diberikan, dapatlah hendaknya kita memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai seorang bakal pendidik yang sedang melalui proses pembelajaran, melalui proses didikan dan masih lagi mempunyai rasa tanggungjawab untuk menuntut ilmu, walaupun dalam hari cuti.



Tidak dinafikan, ada sebilangan daripada kita menganggap ini adalah suatu beban, sesuatu yang menyusahkan, sesuatu yang mengganggu keseronokan bercuti. Tidak dinafikan, pasti ada sebilangan daripada kita menganggap ianya tidak patut, kerana cuti, adalah waktu untuk bercuti dan berehat.

Sahabat,

ingatlah setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Dalam kejadian malam yang gelap, tidak lama selepas itu, hadirnya cahaya siang yang terang benderang, dalam panas terik mentari, pasti turun mencurah hujan membasahi kekeringan bumi dan tidak mustahil, dalam kepayahan, dalam kesusahan itu pasti hadir satu masa nanti suatu kemanisan, kesenangan yang dizahirkan dalam bentuk kejayaan yang cemerlang atas segala usaha jerih payah yang telah kita lakukan.

Teman,

Gula itu manis, tapi tidak semestinya manis itu sentiasa membawa kebaikan kepada kita jika kita terus menikmati kemanisannya tanpa suatu kesedaran yang nyata. Penawar itu pahit, tidak sedap dan memualkan, tapi dari kepahitan dan rasa yang tidak sedap itu memberikan kebaikan dan penawar, kesembuhan sebagai usaha kita dengan izin dari Allah.




Ingatlah, boleh jadi sesuatu yang kita suka itu, membawa kemudaratan, keburukan kepada kita. Boleh jadi, sesuatu yang kita tidak sukai itu membawa kebaikan dan manfaat kepada kita.




Semoga dengan sedikit peringatan itu tadi, harapnya mampu memnyebarkan sedikit kebaikan kepada kita semua, bakal pendidik yang berjaya hasil daripada IPG Kampus Ilmu Khas yang berkualiti, dihormati dan berjasa kepada semua, InsyaAllah...

-XPJPP-