Feature Top (Full Width)

Thursday, January 19, 2012

Santai, tapi bermakna - Malam Santai Siswa

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus.

Alhamdulillah, syukur, masih diberi peluang untuk semua warga kampus, baik di luar dan juga yang tinggal di dalam kampus berkumpul bersama-sama dalam satu program yang baik untuk semua,iaitu Malam Santai Siswa yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pengajian Islam dan Moral serta Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan dibantu oleh Persatuan Guru Pelatih Islam ( PGPI).



Program Malam Santai Siswa ini dimulakan dengan bacaan tarannum Al-Quran yang dialunkan oleh saudara Halim bin Salleh, PISMP Pendidikan Jasmani semester 7.



Selepas itu, saudara Huzaifi, selaku mantan YDP JPP naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan beliau sekaligus memberikan amanat kepada semua sahabat guru pelatih dan juga para hadirin yang datang pada malam itu sebelum membubarkan barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang lama sebelum bertukar tangan kepada barisan kepimpinan yang baharu.



Apa yang menariknya prgram Malam Santai Siswa ini ialah program ini menampilkan seorang selebriti yang tidak asing lagi dalam arena muzik tanahair, saudara Shamrin atau lebih dikenali sebagai Sham Kamikaze.

Awal penglibatan beliau sebelum menceburkan diri dalam dunia da'wah seperti yang diketahui pada masa ini ialah beliau pernah menganggotai sebuah band Hard Rock, Kamikaze dan telah berjaya mengeluarkan 4 album ketika masih lagi bersama kumpulan Kamikaze.



Beliau dijemput dalam program ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menarik seramai mungkin warga kampus untuk datang ke program ini, agar dapat sama-sama berkongsi manfaat daripada pengisian yang disampaikan melalui forum ringkas.
Dalam forum tersebut, beliau menceritakan sedikit sebanyak pengalaman hidupnya ketika zaman kegemilangan beliau dalam arena muzik tanahair sehinggalah beliau menceburi bidang da'wah.



Setelah itu, Saudara Sham meneruskan persembahan gitar solonya.
Persembahan yang menarik.
Beliau memainkan 3 buah lagu, lagu pertama ialah instrumental "Ketika Cinta Bertasbih", yang kedua lagu yang pernah dipopularkan oleh Carlos Santana dan lagu yang ketiga ialah lagu ciptaan beliau sendiri, yang diberi tajuk Tangisan keinsafan.





InsyaAllah, diharapkan agar program seperti ini dapat diterus dan diperbanyakkan dari masa ke semasa, kerana kita tidak mahu, siswa/i itu hanya cemerlang dari akademik sahaja, tetapi tidak dari aspek rohani, sosial, emosi dan sebagainya.

Wednesday, January 11, 2012

Bacalah Doa sebelum mula belajar

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus.


Diharapkan semua warga kampus pada ketika ini sudah mula mengorak langkah mengatur perancangan dan strategi untuk menguruskan masa dan sebagainya pada awal semester ini untuk meneruskan lagi pengajian di sini yang masih lagi berbaki beberapa tahun dan bulan sahaja lagi.


Masih belum terlambat untuk kita semua memulakan satu pembaharuan di awal semester ini, berbeza daripada rutin kebiasaan kita semasa sesi kuliah di dalam kelas.



Pihak JPP mencadangkan supaya setiap kelas menyelaras dan membudayakan bacaan doa sebelum memulakan sesi kuliah, khususnya pada waktu pertama kuliah di waktu pagi.

Sehubungan dengan itu, pihak JPP telah pun mengutarakan hal ini melalui surat cadangan kepada pihak pengarah agar usaha murni ini dapat dimaklumkan kepada semua pensyarah supaya bacaan doa sebelum memulakan kuliah dilaksanakan.



Kita semua sedia maklum, memohon doa itu adalah suatu amalan yang diamalkan oleh setiap individu untuk meminta dan memohon sesuatu kebaikan dan kesejahteraan kepada setiap perkara yang dilakukan.

Dalam konteks menuntut ilmu, kita berdoa untuk memohon agar segala urusan kita sewaktu belajar berjalan dengan lancar, ilmu yang dicurahkan oleh pensyarah mendapat berkat serta kita memohon keikhlasan serta sentiasa memperbaharui niat untuk menuntut ilmu untuk mendidik dan membentuk anak-anak murid kita agar terbinanya sebuah generasi yang bercemerlang, dengan adanya guru-guru yang berkualiti serta mantap dari segi ilmu serta contoh teladan yang baik.

Saturday, January 7, 2012

Tahniah PISMP Ambilan Januari 2012 !

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus.

Masih belum terlambat lagi untuk kita semua mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru pelatih yang dahulunya pada semester lepas berada dalam PPISMP semester 3 dan pada hari ini, mereka semua kini berada dalam PISMP, memulakan lakaran kisah baru dalam pengajian yang sebenar selepas menyesuaikan dan mempersiapkan diri selama 3 semester yang lepas.

Sesi pendaftaran diadakan pada 4 Januari 2012 di Dewan Dato' Razali Ismail pada jam 8 pagi.
Seawal jam 7.45 pagi, sudah ramai yang hadir menunggu di dataran dewan menunggu sesi pendaftaran bermula, kerana semangat untuk memulakan semester baharu masih lagi membara.

Sepanjang pendaftaran berlangsung, kaunter pendaftaran dibuka mengikut bilangan kelas untuk memudahkan proses pembayaran yuran serta pengagihan borang maklumat diri dan borang maklumat kad pelajar.



Alhamdulillah, sesi pendaftaran berjalan dengan lancar dan kemudiannya diteruskan dengan aktiviti yang lain seperti taklimat, LDK, sesi bersama mentor dan lain-lain lagi.
Program pengurusan pelajar baharu ini berterusan sehingga hari Khamis, 5 Januari 2012.

Antara sesi yang menarik sepanjang hari pengurusan pelajar baharu ini ialah penekanan tentang disiplin dan juga imej sebagai seorang guru. Para pelajar diterangkan tentang tatacara dan kod pemakaian profesion sebagai seorang guru keluaran IPG yang berkualiti. Apakah jenis pakaian yang diberkan dan yang tidak dibenarkan serta etika imej kendiri pelajar seperti rambut dan baju/seluar/tali leher/skirt yang sesuai.





Semoga semuanya akan terus bersemangat mengharungi pengajian yang baru saja bermula.
Perjalanan masih panjang, bara azam dan iltizam yang dipasakkan hari ini perlu terus menyala bagi memastikan semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian tercapai dan seterusnya cita-cita untuk menjadi seorang pendidik tercapai.

-XPJPP-