Feature Top (Full Width)

Tuesday, February 21, 2012

Jalanraya rosak teruk

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus..


[open in new tab untuk paparan foto yang lebih jelas]

Sejak kebelakangan ini, pelbagai pembaharuan serta pembangunan yang telah dilaksanakan di kampus kita, seperti yang kita sedia maklum, Dewan Dato' Razali Ismail yang sebelum ini dikenali dengan nama Dewan Besar IPIK kini dinaik taraf dengan adanya pendingin hawa di dalam kawasan dewan dan juga bilik audio yang lengkap dengan bermacam-macam peralatan, penambahbaikan dari aspek infrastruktur di Kolej Kediaman Aman, penanaman semula rumput di padang, pembinaan kolam mini di hadapan stor sukan, penambahan kubah pada Surau Ta'dib serta yan terbaru sekali ialah penambahan tapak letak kenderaan di hadapan kawasan surau dan Jabatan Sains Sukan.

Fokus utama yang hendak diberi penekanan ialah pada aspek keselamatan para pengguna jalanraya yang melalui pintu masuk belakang kampus, khususnya para pelajar yang tinggal di luar kampus, staff yang mempunyai urusan di luar serta pengguna yang lain.


[open in new tab untuk paparan foto yang lebih jelas]

Hal ini kerana, kemasukan lori yang membawa masuk bekalan tanah untuk menambak kawasan gaung di hadapan Jabatan Sains Sukan dan juga Surau Ta'dib telah menyebabkan kerosakan yang teruk pada struktur sepanjang jalan bermula dari hadapan pintu pagar belakang serta beberapa kerosakan yang kian bertambah di hadapan kawasan surau sangat membimbangkan.

Pembinaan yang bermula lebih kurang beberapa minggu yang lepas kini masih lagi dalam proses yang dianggarkan dalam beberapa bulan untuk siap sepenuhnya.


[open in new tab untuk paparan foto yang lebih jelas]


Dinasihatkan kepada semua pengguna jalanraya yang melalui jalan yang telah rosak itu agar mengurangkan kelajuan, terutama ketika hendak naik ke atas serta turun ke bawah. Untuk pemandu kereta pula, diingatkan agar sebaiknya tidak melalui jalan yang rosak itu, kerana keadaan kerosakan yang sangat teruk tidak mengizinkan untuk kenderaan melepasi pintu pagar belakang, berikutan lubang pada kerosakan itu ditimbus dengan tanah merah yang memburukkan lagi keadaan.

Sekadar peringatan untuk semua, semoga kita sama-sama mendapat manfaat, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda;

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

“Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.”

Thursday, January 19, 2012

Santai, tapi bermakna - Malam Santai Siswa

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus.

Alhamdulillah, syukur, masih diberi peluang untuk semua warga kampus, baik di luar dan juga yang tinggal di dalam kampus berkumpul bersama-sama dalam satu program yang baik untuk semua,iaitu Malam Santai Siswa yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pengajian Islam dan Moral serta Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dan dibantu oleh Persatuan Guru Pelatih Islam ( PGPI).



Program Malam Santai Siswa ini dimulakan dengan bacaan tarannum Al-Quran yang dialunkan oleh saudara Halim bin Salleh, PISMP Pendidikan Jasmani semester 7.



Selepas itu, saudara Huzaifi, selaku mantan YDP JPP naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan beliau sekaligus memberikan amanat kepada semua sahabat guru pelatih dan juga para hadirin yang datang pada malam itu sebelum membubarkan barisan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar yang lama sebelum bertukar tangan kepada barisan kepimpinan yang baharu.



Apa yang menariknya prgram Malam Santai Siswa ini ialah program ini menampilkan seorang selebriti yang tidak asing lagi dalam arena muzik tanahair, saudara Shamrin atau lebih dikenali sebagai Sham Kamikaze.

Awal penglibatan beliau sebelum menceburkan diri dalam dunia da'wah seperti yang diketahui pada masa ini ialah beliau pernah menganggotai sebuah band Hard Rock, Kamikaze dan telah berjaya mengeluarkan 4 album ketika masih lagi bersama kumpulan Kamikaze.



Beliau dijemput dalam program ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menarik seramai mungkin warga kampus untuk datang ke program ini, agar dapat sama-sama berkongsi manfaat daripada pengisian yang disampaikan melalui forum ringkas.
Dalam forum tersebut, beliau menceritakan sedikit sebanyak pengalaman hidupnya ketika zaman kegemilangan beliau dalam arena muzik tanahair sehinggalah beliau menceburi bidang da'wah.



Setelah itu, Saudara Sham meneruskan persembahan gitar solonya.
Persembahan yang menarik.
Beliau memainkan 3 buah lagu, lagu pertama ialah instrumental "Ketika Cinta Bertasbih", yang kedua lagu yang pernah dipopularkan oleh Carlos Santana dan lagu yang ketiga ialah lagu ciptaan beliau sendiri, yang diberi tajuk Tangisan keinsafan.





InsyaAllah, diharapkan agar program seperti ini dapat diterus dan diperbanyakkan dari masa ke semasa, kerana kita tidak mahu, siswa/i itu hanya cemerlang dari akademik sahaja, tetapi tidak dari aspek rohani, sosial, emosi dan sebagainya.

Wednesday, January 11, 2012

Bacalah Doa sebelum mula belajar

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus.


Diharapkan semua warga kampus pada ketika ini sudah mula mengorak langkah mengatur perancangan dan strategi untuk menguruskan masa dan sebagainya pada awal semester ini untuk meneruskan lagi pengajian di sini yang masih lagi berbaki beberapa tahun dan bulan sahaja lagi.


Masih belum terlambat untuk kita semua memulakan satu pembaharuan di awal semester ini, berbeza daripada rutin kebiasaan kita semasa sesi kuliah di dalam kelas.



Pihak JPP mencadangkan supaya setiap kelas menyelaras dan membudayakan bacaan doa sebelum memulakan sesi kuliah, khususnya pada waktu pertama kuliah di waktu pagi.

Sehubungan dengan itu, pihak JPP telah pun mengutarakan hal ini melalui surat cadangan kepada pihak pengarah agar usaha murni ini dapat dimaklumkan kepada semua pensyarah supaya bacaan doa sebelum memulakan kuliah dilaksanakan.



Kita semua sedia maklum, memohon doa itu adalah suatu amalan yang diamalkan oleh setiap individu untuk meminta dan memohon sesuatu kebaikan dan kesejahteraan kepada setiap perkara yang dilakukan.

Dalam konteks menuntut ilmu, kita berdoa untuk memohon agar segala urusan kita sewaktu belajar berjalan dengan lancar, ilmu yang dicurahkan oleh pensyarah mendapat berkat serta kita memohon keikhlasan serta sentiasa memperbaharui niat untuk menuntut ilmu untuk mendidik dan membentuk anak-anak murid kita agar terbinanya sebuah generasi yang bercemerlang, dengan adanya guru-guru yang berkualiti serta mantap dari segi ilmu serta contoh teladan yang baik.