Feature Top (Full Width)

Thursday, January 3, 2013

Maklumat terkini untuk kita semua

Bismillah, alhamdulillah.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua rakan-rakan mahasiswa pendidik yang budiman.

Pagi tadi, pihak JPP telah berjumpa dengan ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar ( HEP ) untuk mendapatkan beberapa maklumat yang penting dan terkini dari setiap peringkat untuk diberikan kepada semua.

Terlebih dahulu, tidak terlambat untuk kami mengucapkan selamat kembali kepada rakan-rakan mahasiswa pendidik yang baru sahaja kembali ke IPG Kampus Ilmu Khas setelah beberapa ketika meneruskan pengajian di Queensland University of Technology. Welcome back !



1) Kad Diskaun Siswa

Seperti yang kita semua sedia maklum, kita antara kumpulan yang layak untuk menerima dan menggunakan Kad Diskaun seperti yang tertera di dalam gambar di atas. Kita juga sedia maklum akan tatacara penggunaan dan juga ianya hanya boleh digunakan di premis-premis yang tertentu sahaja.

Kad ini akan diberikan kepada kita semua melalui ketua kumpulan masing-masing secara bergilir-gilir dan mengikut susunan yang telah ditetapkan oleh pihak HEP bagi mengelakkan kesesakan di dalam HEP sekiranya kita mengambilnya secara individu.

 2) Pilihanraya Kampus





Pilihan raya Kampus (PRK) akan diadakan dalam bulan Febuari atau awal bulan Mac, untuk memilih calon pemimpin dari kalangan mahasiswa yang dipilih oleh mahasiswa sendiri.

Pihak JPP mengharapkan agar PRK kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada rakan-rakan semua dengan pencalonan yang ramai serta kemeriahan PRK dapat dirasai, semoga pemimpin yang kita pilih akan rasa lebih dihargai kerana kepercayaan mutlak yang diberikan oleh rakan-rakannya telah memberikan salah satu bentuk motivasi untuk memimpin dengan lebih baik, insyaAllah.

3) Annual General Meeting - JPP bersama Mahasiswa Pendidikan IPG IK


InsyaAllah pada 10 Januari 2013, kita semua akan berkumpul di Dewan Dato' Razali Ismail dalam waktu tutorial. Semua pelajar akan terlibat dan dalam masa yang terdekat, unit pengurusan tutorial & HEP akan mengeluarkan notis & pemberitahuan kepada semua mentor dan ketua kumpulan. Antara objektif utama perjumpaan besar ini ialah :

- Penghargaan JPP atas kepercayaan dan kerjasama rakan-rakan sepanjang sesi kepimpinan
- Penjelasan akan peranan dan ruang lingkup tugas setiap peringkat pelajar
- Imbas kembali penglibatan bersama mahasiswa pendidik dengan JPP
- Sesi respon dan cadangan daripada mahasiswa untuk dibawa ke peringkat atasan.
- Ucapan penutup JPP 2012/13
- Hal-hal lain yang akan diberitahu dalam masa yang terdekat.

Semoga dengan sedikit maklumat yang kami perolehi ini dapat memberi sedikit sebanyak informasi terkini kepada kita semua.

"BERSAMA KE ARAH KESEJAHTERAAN KAMPUS "


Tuesday, January 1, 2013

PERUTUSAN TAHUN BARU 2013 | YDP JPP IPGIK


Assalamualaikum dan selamat sejahtera, khususnya kepada rakan-rakan mahasiswa pendidik yang dikasihi sekalian.

Saya selaku Yang Dipertua Pelajar IPG Kampus Ilmu Khas dengan ini menyatakan rasa bersyukur dan bertuah, kerana kita semua masih lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk meneruskan pengajian ke tahun 2013 ini.

Rakan-rakan mahasiswa pendidik yang budiman sekalian,

Tidaklah kita semua berada di sini pada hari ini melainkan untuk dibentuk dan dibina untuk menjadi seorang pendidik yang akan melakar dan mencorak landskap bukan sahaja dalam pendidikan, malah peranan pendidik itu perlu dilihat dalam skop yang lebih luas, mewarnai kehidupan masyarakat dengan budi dan jasa, kerana seorang pendidik itu tanggungjawabnya lebih dari sekadar memegang pen, memeriksa buku latihan dan mengajar di sekolah sahaja.


Kejayaan dan kesulitan yang kita semua hadapi pada tahun lepas adalah rencah dalam kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Adalah perlu bagi kita untuk memulakan tahun baharu ini dengan membuat sedikit penilaian dan serterusnya membuat draf perancangan akan matlamat yang ingin dicapai, strategi pelaksanaan langkah demi langkah kemudian memastikan usaha pelaksanaan itu dijalankan mengikut apa yang telah dirancang, agar matlamat yang dirancang itu dapat dicapai.



Tahun ini menjanjikan banyak perkara dan pengalaman baru untuk kita semua hadapi bagi memantapkan lagi kredibiliti kita sebagai ikon kepada masyarakat apabila menjadi pendidik nanti. Oleh yang demikian, pelbagai program yang dirancang khusus untuk kita dalam membina dan membangunkan citra pendidik dalam diri kita. Pada tahun ini, ada di kalangan kita yang akan mula menjalani praktikum, Pengalaman Berasaskan Sekolah, Bina Insan Guru dan program umum yang lain seperti ko-kurikulum, sukan dan banyak lagi aktiviti yang memerlukan penglibatan kita dan pastinya, segala yang telah dirancang itu banyak kebaikannya untuk kita.

Dalam kesibukan menjalani kehidupan kampus yang mencabar, kita harus bijak menguruskan banyak perkara, kerana tugas kita semasa menuntut ini bukan hanya untuk mendapatkan keputusan akademik yang cemerlang, tetapi kita hanya mula dikenali oleh masyarakat ketika menjadi guru nanti. Suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh mahasiswa pendidik adalah untuk memperkenalkan Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada masyarakat dan membawa nama IPG ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Hal ini bukan sahaja mampu mengangkat martabat dan menjulang nama IPG di tempat yang lebih tinggi, tetapi juga menjadi penanda aras kepada pencapaian mahasiswa pendidik IPG yang memiliki kemampuan dan daya saing yang tinggi dan mampu berdiri sama tinggi dengan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi yang lain, walaupun komuniti kampus di setiap IPG lebih kecil.

Di samping itu, pada tahun ini, kita perlu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi dalam Pilihanraya Umum ke 13. Bagi yang sudah layak untuk mengundi, tunaikanlah kewajipan kita untuk memilih dengan baik, kerana pada usia sebegini kita sudah mampu untuk menilai baik buruk sesuatu perkara.



Kepada kepimpinan kampus yang baru nanti, teruskan usaha untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan kita semua dapat dinikmati. Memimpinlah dengan baik dan jadilah ikon yang baik kepada rakan-rakan yang lain.

Khas buat rakan-rakan semua, saya kongsikan sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud;

“Allah tidak membebani seseorang, melainkan sesuai dengan kesanggupannya” 2:286

Semoga, segala yang diamanahkan, kita mampu untuk melakukannya walaupun sukar, kerana jika ada usaha, semuanya tidak mustahil untuk kita menemui jalan penyelesaian yang akan membawa kita kepada kejayaan!

Sekian, terima kasih.
“BERSAMA KE ARAH KESEJAHTERAAN KAMPUS”

Friday, December 28, 2012