Feature Top (Full Width)

Tuesday, July 31, 2012

Sejauh manakah kita peduli tentang alam sekitar kita?

Salam Ramadhan~

Apa khabar semua pembaca blog JPP IPGIK? Pernahkah kamu tahu atau terdengar kata-kata ini "kebersihan itu separuh daripada iman".


Semua orang suka persekitaran yang bersih, suka memakai pakaian yang bersih, kalau kasut yang kita suka tiba-tiba kawan terpijak terus melenting sebab kotor, keadaan bilik pon mahu yang bersih, cantik dan sebagainya dan semua orang tak suka kan tandas yang kotor. tapi, adakah kita juga peduli akan alam kita yang semakin kotor, tercemar dengan sampah-sampah yang kita sendiri buang?


“Sesungguhnya Allah s.w.t adalah baik dan menyukai kebaikan; bersih dan menyukai kebersihan, murah hati dan menyukai kemurahan hati; dermawan dan sangat suka kepada kedermawan. Maka bersihkanlah halaman rumahmu dan jangan meniru orang Yahudi” (HR Imam Muslim)

Saya petik kata-kata Wardin Safiyyah dalam laman webnya...

"Kita perlu faham bahawa Allah menciptakan bumi ini untuk kita pelihara! Kita perlu melakukan apa sahaja yang terdaya untuk menjaga dan menguruskannya segala yang nikmat di dunia ini dengan cara yang paling baik dan sistematik mengikut kemampuan kita. Maksud saya ,sekiranya kita ini cuma rakyat biasa, dan cuma mampu untuk mengasingkan sampah maka lakukanlah demikian. Sekurang-kurangnya asingkanlah plastik botol dan kertas di rumah kita. Niatkannya kerana mahu menjaga bumi. Lakukannya kerana Allah. Bagaimana kita boleh secara langsung membantu menjadikan bumi ini lebih bersih? Ianya bermula di rumah kita! Ianya bemula dengan ‘berfikir’ sebelum buang. Ianya bermula dengan mengasingkan sampah. Sifat yang baik ini juga akan InsyaAllah diikut oleh anak-anak kita."
 (http://wardinasafiyyah.com/penulisan/isu-semasa/50-mesti-baca-tolong-baca-peduli)


Jadi, lakukan apa sahaja usaha yang mampu kita buat untuk selamatkan dan menjaga alam sekitar  walaupun usaha itu ringan seperti membuang plastik gula-gula ke dalam tong sampah. Kita sebagai bakal guru perlu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak didik kita dalam menjaga kebersihan alam sekitar.


Jika ditinjau tentang kerosakan alam yang dilakukan di zaman kita, maka sedikit sebanyak kita akan sedari bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Umpamanya, banyak kawasan tadahan air telah dimusnahkan akibat proses meratakan hutan. Sumber bekalan air tawar menjadi tidak menentu. Tanah dan selut yang tidak lagi diikat oleh akar-akar pokok hutan pula mudah terhakis dan dibawa oleh sungai ke muara. Perkara ini sering menyebabkan banjir kilat.



Allah menegaskan hal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (al-Rum: 41).



Cara mudah yang kita dapat lakukan untuk kita bersama-sama menjaga alam sekitar ini:

Pertama: Tolonglah ajarkan anak-anak kita untuk TIDAK membuang sampah merata-rata. Dan jika boleh, dimana ada peluang, ajarlah anak kita untuk mengutip sampah disekelilingnya. Saya tahu kadang kala terlalu banyak sampah sampaikan Imran saya mahu kutip SEMUA sampah yang dilihatnya. Biasakan mereka, kalau tak mahu kutip pun JANGANlah membuang sampah.


Kedua: Marilah kita mulakan tanggungjawab untuk mengasingkan sampah. Cuba lihat berapa banyak botol plastik yang kita guna. Dari botol pencuci pinggan , syampu, bekas makanan, botol mineral water dan sebagainya. Tanpa rasa bersalah kita campak saja sampah-sampah ini sekali dengan sampah dapur yang lain sedangkan kita tahu plastik mengambil masa yang sangat lama untuk dilupuskan. Dengan mengasingkan sampah kita sebenarnya menyenangkan kerja orang lain. Bukankah itu juga dikira amal yang baik? Plastik yang kita asingkan InsyaAllah menjimatkan tenaga dan dapat diguna semula. InsyaAllah itu akan dikira amal kebaikan untuk kita.


Ketiga: Marilah kurangkan menggunakan botol mineral! Bawa saja bekas minuman ketika keluar. Jimat duit, pelihara alam!

Keempat: Kurangkan menggunakan bekas styrofoam atau polystyrene. Bawa bekas makanan jika perlu tapau makanan dari gerai. Polystyrene sebenarnya sudah diharamkan di Cina dan US. Kita di sini? Sekali lagi tidak kisah. Sudahlah sangat tidak mesra alam, berbahaya untuk kesihatan. If you are a true Muslim, you will care! Kena cuci pinggan banyak sikit pun tak pelah!


Kelima: Bawa beg kitar semula ketika membeli belah! Prihatinlah. Mari kita tunjukkan kepada semua bahawa orang Islam sebenarnya kisah mengenai alam sekitar!


Kita sayang Alam, Allah sayang Kita”


 p/s: petikan daripada http://wardinasafiyyah.com/penulisan/isu-semasa/50-mesti-baca-tolong-baca-peduli)

Saturday, July 21, 2012

Dedikasi Ramadhan 1433H



 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
Firman Allah SWT,


 يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa"
[Surah Al-Baqarah, 2:183]



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah memberi peluang kepada kita untuk sekali lagi menikmati kemanisan beribadah dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini, Ramadhan yang dirindui.

Sebelum ini, kita selalu mendengar atau melihat istilah 'sekolah Ramadhan' kan?

Kenapa menggunakan perkataan sekolah ?

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam kehidupan ini kita memerlukan persediaan yang rapi sebelum menghadapi sesuatu.

Istilah sekolah yang digunakan untuk menjelaskan tentang perihal Ramadhan sangat jelas dalam memaknakan tarbiyyah atau pendidikan yang diterapkan kepada umat Islam dalam bulan ini.

Sebagai contoh.
Untuk menghadapi hidup pada masa akan datang, manusia perlu membuat persediaan lebih awal dalam tempoh yang tertentu dengan cara yang tertentu.

Bagi kanak-kanak, sekolah ialah institusi awal yang memberikan mereka ilmu, khususnya yang akan digunakan sepanjang tempoh persekolahan dan juga untuk seumur hidup, seperti kemahiran mengira, membaca dan menulis. Dalam tempoh 6-7 tahun, kanak-kanak bersekolah sebagai langkah awal untuk memberi pendidikan dan latihan untuk mempersiapkan diri bagi mendepani masa hadapan yang lebih banyak cabarannya.

Oleh kerana itu, istilah sekolah digunakan untuk menjelaskan erti kata Sekolah Ramadhan, kerana jika istilah sekolah tadi digunakan khas untuk membina kemahiran dan peribadi murid, kita tukarkan pula kepada istilah kepada seorang Muslim, khusus untuk Sekolah Ramadhan.

Ramadhan adalah institusi yang mendidik peribadi dan gaya hidup seorang Muslim dalam tempoh sebulan, untuk mempersiapkan seorang Muslim itu sebelum menghadapi hidup yang penuh cabaran dalam 11 bulan yang akan datang.



Maka dalam bulan inilah seorang Muslim itu 'diajar' untuk bangun lebih awal untuk bersahur. Kerana setiap amalan yang dilakukan pada bulan ini dilipat gandakan, sebaiknya lakukanlah solat tahajud sebelum sahur.

Maka dengan itu, bangun awal itu akan menjadi kebiasaan pada masa akan datang apabila benar-benar dipraktikkan selama sebulan, begitu juga dengan amalan yang lain.

Apa yang dapat disimpulkan ialah, puasa itu dapat membentuk diri kita menjadi seorang Muslim yang Muttaqin apabila kita benar-benar menghayati makna sebenar ibadah itu dan sentiasa mencari ilmu akan kelebihannya.

Dalam tempoh sebulan inilah kita akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia, yang akan mengurangkan pahala puasa dan juga yang boleh membatalkan puasa.

InsyaAllah, jika ibadah kita itu ikhlas kerana ingin mendapat redha daripada Allah, ibadah itulah yang akan membentuk diri kita menjadi seorang Muslim yang disukai oleh Allah, hidup berlandaskan syariat dan sentiasa merindukan keredhaan Allah dan juga mencontohi akhlaq Rasulullah SAW.

Maka dengan itu, jangan persiakan peluang yang ada, rancanglah pengisian Ramadhan kita semua dengan mempersiapkan diri dengan mencari dan mendalami ilmu pengetahuan tentang Ramadhan, agar ibadah kita lebih difahami, dihayati, bukannya hanya melemahkan badan dan berlapar dahaga percuma.

Organisasikan setiap hari yang akan dilalui, bahagikan sebulan ini kepada 3 fasa utama, 10 hari yang pertama, kedua dan ketiga itu hendaklah dirancang dengan baik, bagi mengelakkan ianya berlalu tanpa membawa sebarang makna dan tidak mampu mendidik dan membentuk jiwa dan peribadi kita.

10 hari yang pertama adalah fasa yang memiliki semangat dan kekuatan yang baru !
Surau dan masjid sesak dengan para jemaah dan amalan ibadah kita masih lagi dalam keadaan bersemangat baru !

10 hari yang kedua adalah fasa yang perlukan kepada pengekalan momentum dari semangat fasa pertama. Jika mula lelah, kurangkan sedikit, tapi ibadahnya jang terus berhenti ! Momentum harus dikekalkan, dikhuatiri nanti jika momentum tidak konsisten, bila-bila saja kita boleh terhenti sebelum sampai ke fasa yang terakhir.

10 hari yang terakhir adalah fasa untuk menggunakan segala semangat dan momentum yang ada dari fasa pertama dan kedua, kerana pada fasa ini kita semakin menuju ke arah penghabisan tempoh latihan yang ditetapkan sebelum menghadapi fasa kehidupan yang panjang untuk masa hadapan. Yang merisaukan ialah fasa ini adalah fasa persiapan lebaran, sedangkan fasa inilah merupakan fasa kemuncak dan kegemaran para peraih dan pencari redha Allah.

Jika kita perhatikan perjalanan sepanjang Ramadhan dalam 3 fasa tadi tidak ubah seperti pergerakan seorang atlet pelari pecut. Dimulakan dengan tenaga dan semangat yang sangat tinggi, di pertengahannya kelajuan dan semangatnya dikekalkan, kemudian menghabiskan larian dengan sepenuh tenaga untuk sampai ke garisan penamat dengan kemenangan yang penuh bermakna.

Apakah kita Ramadhan ini sekadar berlalu tanpa memberi apa-apa makna kepada kita?

Sabda Rasulullah SAW,
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” 
(Riwayat Bukhari)

Oleh itu, penuhilah bulan yang penuh dengan keberkatan ini dengan kebaikan, kebajikan, ibadah serta amalan hasanah yang lain, kerana setiap perbuatan baik yang dilakukan ketika berpuasa adalah ibadah yang dilipatkaligandakan ganjaran pahalanya.

Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: 
Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Ayuh semua rakan-rakan,

PERKAYAKAN TARBIYYAH, GANDAKAN IBADAH !


Friday, July 20, 2012

Ziarah Ukhwah JPP ke Rumah Kediaman Luar Kampus

Bagi mengeratkan lagi jalinan ukhwah antara Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dengan guru-guru pelatih IPG Ilmu Khas yang tinggal di luar kampus, satu program ziarah telah dijalankan oleh Biro Kediaman Luar Kampus dengan kerjasama semua JPP pada 19 Julai 2012 (khamis). Beberapa buah rumah telah dipilih untuk diziarahi. Dan alhamdulillah, kunjungan kami ke rumah-rumah tersebut mendapat sambutan dan layanan yang cukup baik. 


Rumah-rumah yang diziarahi adalah di kawasan Flat Sri Melaka dan Sri Mas. Program ziarah ini bermula pada pukul 8.30 malam. Pihak rumah yang dilawati telah diberitahu terlebih dahulu mengenai kunjungan kami ke rumah mereka. Apabila kami tiba di sana, persiapan telah dibuat oleh pihak rumah bagi menyambut kedatangan kami.





Terdapat beberapa perkara yang telah dibincangkan semasa kunjungan JPP ke sana. Antaranya adalah:

1. Permasalahan mengenai gangguan seksual yang melibatkan penghuni luar kampus wanita. Terutamanya yang tinggal di level bawah kawasan flat Sri Melaka. Beberapa aduan telah diterima dan diharap semua pelajar berhati-hati mengenai permasalahn ini.

2. Biro Kerohanian dengan kerjasama Biro Luar kampus dan penghuni luar kampus akan mengadakan usrah luar kampus. Pandangan dan refleksi daripada penghuni luar kampus telah dibuat dan alhamdulillah terdapat penguni luar kampus yang bersetuju dengan program usrah ini.

3. Terdapat beberapa perancangan lain yang akan dibuat bersama-sama penghuni luar kampus antaranya adalah pertandingan rumah terbersih dan tercantik setiap bulan. Diharapkan pertandingan sebegini mendapat sambutan baik oleh semua pelajar luar kampus dan sedia memberikan kerjasama.




Sebelum meminta diri, sedikit buah tangan daripada pihak JPP diberikan kepada penghuni rumah. Diharap program sebegini akan terus mendapat sokongan yang baik daripada semua pelajar dan rumah-rumah yang akan dilawati pada masa akan datang.