Feature Top (Full Width)

Wednesday, November 9, 2011

Hadapi Peperiksaan dengan Senyuman

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semuanya..

Tekunnya mengulangkaji..



Minggu ini, bermula dari 9 November 2011 hingga 17 November 2011 nanti insyaAllah, para guru pelatih akan menduduki peperiksaan akhir semester sebelum menikmati cuti panjang selama sebulan lebih sehingga awal Januari 2012 nanti.

Bermacam-macam cara serta kaedah belajar yang kita boleh lihat di sekitar kampus pada dua minggu ini, ada yang memenuhi ruang wakaf dengan membuat 'study group', ada yang membuat perbincangan di kawasan perpustakaan, ada yang lebih suka menyendiri di dalam bilik/rumah dengan membaca nota dan sebagainya.

Semoga dengan usaha kalian semua membuahkan hasil seperti yang diimpikan oleh semua untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya mendapat jumlah pointer yang tinggi.

Dalam mengejar sesuatu kejayaan, 3 perkara yang tidak boleh dipisahkan ialah :

1) Usaha
2) Doa
3) Tawakkal

1) Usaha
Usaha yang telah kita buat adalah seperti membuat ulangkaji, perbincangan dan juga perhatian yang sepenuhnya ketika di dalam kelas, banyak bertanya kepada pensyarah serta tidak jemu untuk terus membuat ulangkaji. Keputusan yang bakal kita terima nanti adalah ukuran kepada usaha yang telah kita buat sebelum itu. Suka kami kongsikan satu petikan kata-kata seorang pakar motivasi;
"Kejayaan tanpa usaha itu adalah satu kebetulan, kejayaan dengan usaha itu adalah satu kepuasan"




2) Doa
Setelah berusaha bersungguh-sungguh, berdoalah kepada Tuhan, semoga dipermudahkan segala urusan ketika menghadapi peperiksaan nanti, bangun awal, datang tepat pada waktunya, kad pengenalan dan kad pelajar tidak tertinggal, dapat mengingat semula apa yang telah diulangkaji sebelum itu serta dapat menjawab semua soalan tanpa meninggalkan satu soalan pun tanpa sebarang jawapan. Berusaha tanpa meminta pertolongan dari yang maha mendengar, maha mengetahui, yang maha pengasih dan maha penyanyang itu umpama kita sudah boleh menguruskan hidup kita sendiri, tanpa bantuan dari yang lain. Tidak sia-sia untuk kita meminta kepada Tuhan, kerana sesungguhnya Dia tidak sekali-kali mengabaikan permintaan hambaNya yang tidak pernah lupa kepadaNya tanpa mengira waktu, senang ataupun susah.

3) Tawakkal
Setelah selesai menjawab semua soalan dengan tenang, selesai semua kertas soalan peperiksaan dan hanya tinggal menunggu masa untuk menikmati cuti panjang, maka dengan itu, berserahlah segalanya kepada Tuhan, kerana segala ketentuan yang akan berlaku hanyalah dengan kehendakNya.




Semoga dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang, elakkan tekanan dan pergaduhan sesama rakan. Jangan lupa, melangkah dengan kaki kanan ketika masuk ke dewan peperiksaan, baca Bismillah dulu, sebelum buka kertas soalan, bacalah doa penerang hati, minta supaya dipermudahkan, dan diberi petunjuk..