Feature Top (Full Width)

Saturday, January 7, 2012

Tahniah PISMP Ambilan Januari 2012 !

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus.

Masih belum terlambat lagi untuk kita semua mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru pelatih yang dahulunya pada semester lepas berada dalam PPISMP semester 3 dan pada hari ini, mereka semua kini berada dalam PISMP, memulakan lakaran kisah baru dalam pengajian yang sebenar selepas menyesuaikan dan mempersiapkan diri selama 3 semester yang lepas.

Sesi pendaftaran diadakan pada 4 Januari 2012 di Dewan Dato' Razali Ismail pada jam 8 pagi.
Seawal jam 7.45 pagi, sudah ramai yang hadir menunggu di dataran dewan menunggu sesi pendaftaran bermula, kerana semangat untuk memulakan semester baharu masih lagi membara.

Sepanjang pendaftaran berlangsung, kaunter pendaftaran dibuka mengikut bilangan kelas untuk memudahkan proses pembayaran yuran serta pengagihan borang maklumat diri dan borang maklumat kad pelajar.



Alhamdulillah, sesi pendaftaran berjalan dengan lancar dan kemudiannya diteruskan dengan aktiviti yang lain seperti taklimat, LDK, sesi bersama mentor dan lain-lain lagi.
Program pengurusan pelajar baharu ini berterusan sehingga hari Khamis, 5 Januari 2012.

Antara sesi yang menarik sepanjang hari pengurusan pelajar baharu ini ialah penekanan tentang disiplin dan juga imej sebagai seorang guru. Para pelajar diterangkan tentang tatacara dan kod pemakaian profesion sebagai seorang guru keluaran IPG yang berkualiti. Apakah jenis pakaian yang diberkan dan yang tidak dibenarkan serta etika imej kendiri pelajar seperti rambut dan baju/seluar/tali leher/skirt yang sesuai.





Semoga semuanya akan terus bersemangat mengharungi pengajian yang baru saja bermula.
Perjalanan masih panjang, bara azam dan iltizam yang dipasakkan hari ini perlu terus menyala bagi memastikan semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pengajian tercapai dan seterusnya cita-cita untuk menjadi seorang pendidik tercapai.

-XPJPP-

Siaran Langsung Rancangan "Bicara Rakyat"

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Pada 5 Januari 2012 yang lepas, semua guru pelatih PPISMP semester 2 telah dijemput untuk menghadiri siaran langsung rancangan Bicara Rakyat yang ditayangkan secara langsung dari Angkasapuri, Kuala Lumpur.




Bersama mereka, 2 orang pensyarah pengiring dan beberapa orang JPP turut serta mengiringi mereka dalam program tersebut.



Seawal jam 6 petang, 4 buah bas yang disewa khas telah sampai di kampus untuk mengambil para jemputan. Semua guru pelatih dan pensyarah tiba di Angkasapuri tepat jam 6.45 petang dan terus ke Masjid Al-Muhammadiyah untuk menunaikan solat fardhu Maghrib.

Selepas selesai solat fardhu Maghrib, semua tetamu jemputan dijemput untuk menikmati jamuan makan malam sebelum masuk ke dalam auditorium Angkasapuri untuk sesi siaran langsung rancangan Bicara Rakyat yang disiarkan di TV1 pada jam 9 malam.





Sepanjang rancangan itu berlangsung, beberapa orang guru pelatih dari kampus kita berada di sekitar pentas utama sebagai penonton terdekat forum yang menampilkan 3 orang panel, seorang panelis dari Malaysia, En. Johan dari Media Prima serta dua orang tokoh dalam bidang kewartawanan Indonesia.

Pasti ramai antara rakan-rakan kita menghubungi rakan-rakan dan ahli keluarga untuk menyaksikan rancangan tersebut yang disiarkan pada malam itu.

Antara yang hadir sebagai penonton pada malam itu bukan sahaja dari kampus kita, malah turut dijemput semua IPG zon tengah dan beberapa institusi pengajian yang lain.

Semua yang hadir pada malam itu dapat melihat sendiri proses rakaman serta suasana di balik tabir sepanjang siaran secara langsusng diadakan bermula dari rehearsal sehingga tamat sesi rakaman.

Begitulah rencah kehidupan kita sebagai seorang penuntut di tengah kota metropolitan ini, mudah sekali untuk terlibat dalam program-program luar seperti ini, yang sedikit sebanyak dapat memberikan input yang baik kepada kita khususnya sebagai pengalaman tambahan. Syukur dapat belajar di Kuala Lumpur.

Amalkan budaya Senyum dan Salam

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus.

Seorang pendidik bukan sahaja dikenali dengan nama panggilan guru,cikgu,ustaz atau ustazah sahaja, tetapi ianya juga dikenali dengan akhlak dan peribadinya yang baik dan terpuji, serta menjadi contoh kepada orang lain, baik kepada anak-anak murid, ibu bapa, rakan sesama pendidik serta masyarakat.

Mewujudkan budaya positif dalam suasana kampus bukanlah satu perkara yang boleh dianggap remeh dan tidak penting, kerana pada hakikatnya, ianya sangat penting dalam mewujudkan pelbagai kesan yang positif dalam sesuatu situasi rutin harian di kampus.




Antara salah satu contoh sikap baik yang boleh dibudayakan dalam membina satu suasana positif di kampus ialah amalan memberikan senyuman serta ucapan salam kepada semua, tidak mengira jawatan, status, kedudukan, malah kepada siapa sahaja sama ada individu tersebut adalah warga kampus kita ataupun pelawat dari luar.

Kita, sebagai seorang bakal pendidik pada masa hadapan perlu membiasakan dan membudayakan amalan ini sejak dari pengajian lagi dan kemudian mengamalkannya di kampus serta di sekolah tempat kita berkhidmat nanti.


Dalam konteks amalan budaya postitif memberi senyum dan salam di kampus, kita sebagai guru pelatih perlu untuk membiasakan diri untuk memberi kedua-dua pemberian yang percuma dan mudah ini kepada sesiapa sahaja, sebagai tanda kita menghormati individu yang menerima pemberian kita itu serta sebagai salah satu cara untuk kita bersosial dengan baik dan mudah sesama komuniti di kampus kita.

Secara tidak langsung, amalan seperti ini dapat memupuk budaya mesra antara guru pelatih bersama seluruh warga kampus, tanpa mengira kedudukan, biarlah kita memberi senyum dan salam ini sebaiknya kepada semua tanpa mengira siapa mereka. Berilah senyum dan salam kepada rakan-rakan, pensyarah, staf sokongan, pegawai-pegawai yang lain seperti pegawai keselamatan, pegawai keceriaan, pelawat yang datang dari luar dan sebagainya.

Dengan wujudnya budaya positif ini di dalam komuniti kampus kita, ianya sedikit sebanyak dapat menggambarkan bahawa guru-guru pelatih dan seluruh warga kampus kita adalah positif dan menunjukkan contoh dan akhlak yang baik di mata orang lain dan sekaligus dapat menaik dan mengharumkan nama IPG Kampus Ilmu Khas khususnya hanya dengan pembudayaan amalan yang seperti ini.

Semoga dengan sedikit peringatan ini dapatlah hendaknya dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita, bukan sahaja di dalam kampus, bahkan turut dijadikan amalan di luar kampus, di rumah kita bersama keluarga dan di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa.

Itulah peranan kita sebagai seorang pendidik, memulakan sesuatu yang baik dari bangku sekolah, kemudian yang baik itu dibawa ke luar dan seterusnya diperkembangkan di tengah-tengah kehidupan masyarakat.

Untuk renungan dan penghayatan bersama :

Sabda Nabi Muhammad SAW ,

“Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.”
(HR Tirmizi dan Abu Dzar)

“Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah.”
(Hadis Riwayat Trimidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi)

-XPJPP-