Assalamualaikum
w.b.t dan salam sejahtera.
Pada
kesempatan ini Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus
Ilmu Khas ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul S.A.W. 12 Rabiul Awal
1435H bersamaan 14 Januari 2014 Masihi.
Menyambut
kelahiran Nabi Muhammad S.A.W adalah satu cara untuk memperingati baginda dan
untuk menyatakan kasih sayang kepada baginda yang telah meninggalkan kita 1400
tahun dahulu. Pengorbanan baginda kepada umatnya sangat banyak. Sehinggakan
ketika akhir hayat baginda S.A.W, baginda menyebut “ummati, ummati, ummati” (umatku,umatku,umatku). Betapa risaunya
baginda terhadap umatnya yang tidak mempunyai seorang nabi dan rasul sebagai
panduan. Tetapi baginda S.A.W tidak pergi meninggalkan kita begitu sahaja, sebelum
baginda wafat baginda telah mengumpulkan seluruh penduduk Mekah yang menunaikan
haji bersama baginda. Ketika itu baginda S.A.W telah menyampaikan khutbah yang
terakhir baginda kepada umatnya iaitu khutbah Wida’ (Khutbah Perpisahan) . “Wahai
manusia, sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara. Tidak halal bagi kamu
harta-harta saudara kamu melainkan dengan keredhaan daripadanya. Adakah aku
sudah menyampaikan kepada kamu? Ya Allah saksikanlah. Janganlah kamu berpatah
balik kepada kufur selepas aku, kamu berbunuhan di antara kamu. Sesungguhnya
aku sudah tinggalkan kepada kamu, kalau kamu berpegang dengan peninggalan ini
kamu tidak akan sesat iaitu Al-Quran dan Sunnahku. Baginda menyebut lagi dalam
khutbah wada’ ini “setiap yang hadir dikalangan kamu hendaklah dia menyampaikan
kepada yang tidak hadir ".
Baginda
telah mengamanahkan kepada penduduk Mekah ketika itu yang terdiri daripada para
sahabat baginda agar menyampaikan amanah tersebut kepada mereka yang tidak
hadir ketika itu termasuk kita yang berada di abad ke-21. Melalui amanah
baginda tersebut, islam pada hari ini telah tersebar luas ke serata dunia.
Semasa kehidupan baginda, baginda adalah seorang rasul yang mulia dan Allah
S.W.T telah menggolongkan baginda dalam kalangan nabi ulu a’zmi iaitu nabi yang
paling banyak menerima ujian dan mehnah sepanjang kehidupan baginda. Sesuai
dengan tema sambutan maulidur rasul pada tahun ini “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan
Ummah” yang menerapkan nilai kesederhanaan dalam kehidupan masyarakat pada hari
ini. Nilai kesederhanan ini perlu ada dalam diri setiap individu, agar golongan
kaya tidak selamanya kaya dan golongan miskin tidak selamanya miskin. Golongan
yang berkemampuan dan cukup syarat untuk bayar zakat, perlu bayar zakat untuk
mensucikan harta justeru mengelakkan golongan kurang berkemampuan tertindas.
Kita
sebagai pendidik pada hari ini perlu mencontohi akhlak baginda S.A.W agar
kerjaya mulia ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Baginda merupakan seorang
pendidik yang boleh dijadikan contoh kerana dalam diri baginda itu ada contoh
tauladan yang baik. Baginda menggunakan kaedah pengajaran yang sangat baik,
baginda menyampaikan ilmu penuh berhemah dan kebijaksanaan. Baginda tidak
pernah memarahi atau memukul sesiapa sahaja, bahkan baginda amat menyayangi golongan
yang lemah seperti orang tua, wanita, dan kanak-kanak. Ayat yang pertama turun
kepada baginda adalah “Iqra” (bacalah).
Allah S.W.T menurunkan ayat ini kepada baginda S.A.W agar kita semua
memperbanyakkan membaca Al-quran kerana Allah S.W.T menurunkan Al-quran itu untuk
hambanya berfikir. Dalam Al-quran terlalu banyak nasihat dan pengajaran untuk
kita ambil dan amalkan. Selain daripada itu, membaca buku-buku yang bermanfaat
juga dapat menjadikan kita berfikiran kreatif dan kritis serta tidak jumud dalam
membuat keputusan.
Akhir
kalam, marilah kita semua memperbanyakkan selawat kepada baginda S.A.W. di mana
sahaja kita berada. Firman Allah S.W.T yang bermaksud “sesiapa yang berselawat
kepada Nabi Muhammad S.A.W. dengan 1 selawat, Allah dan para malaikat akan
berselawat kepadanya 10 kali. Lihatlah betapa tingginya nilai sekecil-kecil
amalan iaitu berselawat kepada baginda S.A.W., tidak dikira lagi dengan pahala
kita mengamalkan sunnah-sunnah baginda yang lain dan menyampaikan kepada orang
lain. Ilmu ibarat sebuah buah-buahan yang tumbuh segar, jika buah itu segar dan
dipetik, nescaya ia akan memberi manfaat tetapi jika buah itu tidak dipetik ia
akan buruk selama-lamanya dan tidak bermanfaat lagi. Sama seperti ilmu, jika
ilmu itu disampaikan ia akan memberi manfaat kepada orang lain dan jika ilmu
itu tidak disampaikan dan disimpan untuk kegunaan sendiri maka ilmu itu
langsung tidak bermanfaat dan tidak akan tersebar luas. Ayuh sama-sama kita
pergi ke majlis ilmu, imarahkan lagi masjid dan surau kita agar umat yang
bersatu padu atas saf yang betul dan lurus akan melahirkan umat yang cemerlang
dan bermanfaat. Waubilllahi taufiq wallhidayah wasalamualaikum w.b.t.