Feature Top (Full Width)

Monday, April 25, 2011

KARNIVAL NASYID IPG KAMPUS ILMU KHAS

Bismillahirrahmanirrahim ..


[klik pada gambar untuk ke blog rasmi I-CoN '11]


Insyallah pada bulan Julai semester hadapan, IPG Kampus Ilmu Khas akan mengadakan
' I-CoN '11 ' iaitu akronim kepada Ilmu Khas Carnival of Nasyid.

I-CoN '11 telah dirangka dari bulan Oktober 2010, dan mula dilaksanakan pada awal 2011.
Ianya dianjurkan oleh pihak pelajar sendiri, dengan kerjasama beberapa orang pensyarah yang berkenaan.

Objektif utama program ini dianjurkan adalah untuk memberikan pendedahan secara meluas tentang keindahan seni hiburan dalam konteks Islam, serta penghayatan melalui wadah nasyid untuk menyampaikan mesej-mesej Islam.

Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada guru pelatih untuk berdikari menganjurkan program, dari aspek pengurusan program secara keseluruhannya, dalam membuat kertas kerja, pencarian dana, penajaan, jemputan artis, jemputan IPG luar dan sebagainya.

Program-program kerohanian seperti ini jarang sekali diadakan.
Semoga dengan penganjuran I-CoN '11 ini mampu menjadi platform kepada program-program kerohanian yang lain supaya dapat diterus dan diperbanyakkan kepada guru pelatih, serta penglibatan masyarakat setempat.

Marilah kita bersama-sama memeriahkan I-CoN '11 nanti, dan sama-samalah kita bergerak dalam menjayakan program ini, untuk memartabatkan seni hiburan Islam.

Friday, April 8, 2011

SUDUT SEMANGAT GURU ( SSG )

Bismillaihirrahmanirrahim ~



Sudut Semangat Guru (SSG) adalah sebuah program berterusan yang dikelolakan oleh pihak Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dengan kolaborasi bersama pihak Jabatan Ilmu Pendidikan dan Hal Ehwal Pelajar.

Program ini diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas adalah untuk mencapai objektif, melahirkan seorang guru yang boleh berkomunikasi di khalayak ramai dengan berkarisma dan menunjukkan keyakinan serta keupayaan dalam membuat pengucapan awam.

Selain itu, SSG juga adalah salah satu platform kepada para guru pelatih untuk menonjolkan bakat serta ciri kepimpinan melalui medium komunikasi secara lisan di hadapan rakan-rakan yang lain, untuk melatih serta menajamkan keberanian untuk menyampaikan hujah di samping meningkatkan semangat keguruan dalam isi hujah yang dilontarkan kepada para penonton/pendengar.



Program ini diadakan pada setiap hari Rabu, bertempat di Kafeteria dari jam 10.30 pagi sehingga 11.30 pagi.
Tema untuk setiap sesi pidato hendaklah bertemakan profession perguruan serta isu-isu semasa yang berkaitan, sesuai dengan kehendak semasa.
Program ini terbuka kepada semua pelajar IPG Kampus Ilmu Khas yang ingin mengasah bakat untuk berucap sebagai seorang pemimpin, menajamkan sifat keyakinan serta mengambil peluang untuk menyuarakan pendapat-pendapat yang bernas untuk meningkatkan mutu profession perguruan pada masa kini. 

Untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang spekulasi serta insiden yang tidak diingini, wajar kiranya kita merujuk kepada perkara yang telah dijelaskan dalam Akta Institusi_institusi Pelajaran, pada bahagian Tatatertib pelajar, Seksyen 6, 22 dan 23 yang menyatakan bahawa ;


9. (1) Tiada seseorang pelajar, dan tiada sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulan
          pelajar, tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran Ketua Eksekutif atau
          kebenaran seseorang yang dibenarkan secara bertulis oleh Ketua Eksekutif
          untuk memberi kebenaran itu, boleh mengadakan, mengorganisasi, memanggil,
          atau menyebabkan diadakan, diorganisasi, dipanggil, atau dalam melakukan
          apa-apa perbuatan untuk mengadakan, mengorganisasi, memanggil, sesuatu
          perhimpunan seramai lebih daripada lima orang di mana-mana bahagian
          kampus dipunyai oleh atau yang ada di bawah milik atau kawalan Institusi atau
          yang digunakan bagi maksud-maksud Institusi.

    (2) Pada memberi kebenaran yang tersebut dalam perenggan (1) Ketua Eksekutif
          atau orang yang diberi kuasa olehnya untuk memberi kebenaran itu boleh
          mengenakan apa-apa sekatan, had atau syarat yang difikirkannya perlu atau
          bermanafaat berhubung dengan perhimpunan yang dicadangkan itu.

     (3) Tiada seseorang pelajar boleh dengan diketahuinya menghadiri atau menyertai
           sesuatu perhimpunan yang diadakan bersalahan dengan perenggan (1) atau (2).

10. Tiada seseorang pelajar, dan tiada sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulan
      pelajar boleh mempunyai, atau menggunakan, atau ada dalam milik, jagaan atau
      kawalannya, sesuatu pembesar suara, pelaung, penguat suara, atau lain-lain
      alat yang seumpamanya;

     Dengan syarat bahawa Ketua Eksekutif, atau seseorang yang diberi kuasa
     olehnya secara bertulis, boleh membenarkan secara bertulis, apa-apa alat untuk
     dipunyai, digunakan atau dimiliki oleh seseorang pelajar atau sesuatu
     pertubuhan pelajar untuk apa-apa maksud dan tertakluk kepada apa-apa
     sekatan, had atau syarat sebagaimana yang difikirkan oleh Ketua Eksekutif atau
     orang yang diberi kuasa olehnya sebagaimana tersebut di atas perlu atau
     bermanafaat dikenakan pada memberi kebenaran itu.

Ketika menyuarakan hujah dalam berpidato/berucap, hendaklah menjaga tatatertib dalam setiap bait-bait perkataan yang dilafazkan, sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud:

" Serulah ke jalan Tuhanmu ( Wahai Muhammad ) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka ( yang engkau serukan itu ) dengan cara yang lebih baik.."