Feature Top (Full Width)

Tuesday, August 20, 2013

KONFLIK MESIR: FAKTA PENTING DAN PUNCA PERGOLAKAN BERLAKU

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Pada masa sekarang, bumi Mesir sedang bergolak hebat. Namun, tahukah kita semua akan fakta akan punca kepada pergolakan tersebut? Jadi, berikut adalah fakta dan punca kepada terjadinya keadaan sesemikian...



Fakta 1

Penglibatan tentera dalam mencorakkan sejarah Mesir moden bukanlah sesuatu yang baharu. Raja Farouk, monarki terakhir dalam sejarah Mesir telah digulingkan oleh Muhammad Naguib dan Jamal Abdul Nassir, kedua-duanya merupakan pegawai tentera. Muhammad Naguib, yang kemudiannya menjadi Presiden pertama Mesir, digulingkan pula oleh Jamal Abdul Nassir setelah hanya setahun memerintah!

Pemerintahan tentera ke atas Mesir disambung oleh Anwar Sadat yang kemudiannya mati dibunuh oleh para pegawai tenteranya sendiri pada tahun 1981. Anwar Sadat kemudiannya digantikan oleh Hosni Mubarak yang memerintah Mesir sehinggalah awal tahun 2011, apabila dia dijatuhkan menerusi Revolusi Musim Bunga rakyat Mesir.

Sepanjang tempoh pemerintahan Jamal Abdul Nassir sehinggalah Hosni Mubarak, perintah darurat yang memberikan kuasa mutlak kepada pihak tentera dikuatkuasakan; kira-kira 44 tahun lamanya!


Fakta 2

Pergolakan yang sedang berlaku di Mesir pada hari ini adalah kesan langsung daripada rampasan kuasa oleh pihak tentera, yang diketuai oleh Jeneral Abdul Fatah as-Sisi ke atas Presiden Muhammad Mursi yang digulingkan pada 3 Julai 2013 yang lalu. Sebagai tindak balas, para penyokong Presiden Mursi mengadakan protes dan tunjuk perasaan secara aman di seluruh Mesir, namun fokusnya adalah di Kaherah (Cairo), Mesir.

Penggulingan Presiden Mursi dilihat oleh banyak pihak sebagai haram dan tidak sah, sementelah beliau telah memenangi pilihan raya Mesir secara adil dan saksama, apabila memperoleh lebih 51% daripada undi rakyat Mesir. Ironinya, mereka yang mengadakan demostrasi untuk menjatuhkan Presiden Mursi adalah mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang demokrasi.


Fakta 3

Bercakap tentang pilihan raya parlimen Mesir yang buat julung-julung kalinya diadakan secara telus dan adil apabila hampir-hampir tiada penglibatan pihak tentera dan penipuan oleh pihak pemerintah, parti Al-Hurriyah wal 'Adalah (Freedom and Justice Party) yang merupakan sayap politik kepada Ikhwanul Muslimin, telah menang besar apabila memperoleh 37.5% daripada jumlah undi, diikuti oleh Parti Salafi an-Nur (27.8%) dan Parti al-Wafd (9.2%). Kedua-dua FJP dan an-Nur merupakan parti yang berasaskan ideologi Islami; maka secara tidak langsung parlimen Mesir telah didominasi oleh mereka yang mahu memperjuangkan Islam. Hal ini jelas memberi ancaman kepada golongan liberal di Mesir.

Pada mulanya FJP tidak berhasrat untuk menghantar wakil bagi bertanding jawatan Presiden, kerana bukan itu yang mereka mahukan. Namun setelah melihat mudharat andai mereka tidak bertanding, dan maslahat yang lebih besar yang perlu dipertahankan, mereka memutuskan untuk menghantar Khairat Shatir untuk bertanding jawatan tersebut.

Namun atas masalah teknikal yang remeh dan kecil, penamaan Khairat Shatir sebagai calon Presiden terpaksa dibatalkan. Muhammad Mursi yang ketika itu merupakan Presiden FJP telah dihantar sebagai pengganti. Beliau menang dalam pilihan raya Presiden tersebut secara rasminya pada 24 Jun 2012 dan menjadi Presiden Mesir pertama yang dilantik secara undian demokrasi.


Fakta 4

Antara yang mendalangi demonstrasi dan tunjuk perasaan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Presiden Mursi termasuklah Muhammad el-Baradei, Amr Moussa, Hamdeen Sabahi dan Hisham Bastawisy, hampir kesemuanya calon yang kalah dalam pilihan raya Presiden Mesir.

Terdapat dakwaan daripada Ikhwanul Muslimin betapa el-Baradei dan konco-konconya bersekongkol dengan kerajaan Zionis Israel dan Amerika Syarikat dalam merencana kekacauan dan haru-biru di Mesir, sehingga akhirnya membawa kepada penggulingan Presiden Mursi.

El-Baradei telah dilantik sebagai Naib Presiden baru bagi kerajaan sementara Mesir; itu pon setelah dibantah oleh ramai pihak kerana tidak bersetuju dengan cadangan untuk melantiknya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Terbaru, El-Baradei telah pon meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak bersetuju dengan tindakan tentera Mesir membunuh para penunjuk perasaan di Medan Rabaah dan kawasan sekitarnya.


Fakta 5
Telah terdedah rahsia penglibatan Amerika Syarikat, Israel dan musuh-musuh Islam yang lainnya dalam merencana kejatuhan Presiden Mursi dan penguasaan FJP dalam parlimen Mesir.

Pergerakan Tamarrud, yakni nama yang diberikan kepada para penunjuk perasaan penentang Presiden Mursi telah terbukti menerima pembiayaan daripada Amerika Syarikat. Pendedahan ini ada dilaporkan di al-Jazeera.

Antara tindakan pertama yang dilakukan oleh kerajaan sementara pimpinan Presiden Adly Mansour adalah dengan menutup sempadan Rafah, yang sebelum ini telah dibuka oleh Presiden Mursi. Sempadan ini menjadi penghubung penting rakyat Palestin dalam mendapatkan bekalan asasi harian. Penutupan ini jelas memperlihat persengkokolan yang berlaku antara Israel dan kerajaan Mesir yang baru.


Fakta 6

Negara-negara Arab juga ada yang terlibat dalam konspirasi jijik menjatuhkan Presiden Mursi. Sebaik sahaja Adly Mansour dilantik sebagai Presiden baru bagi kerajaan sementara Mesir, Arab Saudi adalah antara negara yang terawal yang menghantar perucapan tahniah.

Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu masing-masing menyalurkan bantuan kewangan bernilai bilionan dolar Amerika usai kudeta yang menjatuhkan Presiden Mursi. Negara-negara ini sememangnya terkenal memusuhi Ikhwanul Muslimin, kerana takutkan kepada ideologi yang dibawa oleh mereka.

Sementara itu, dua negara yang paling lantang menyatakan bantahan dan protes mereka terhadap rampasa kuasa haram tersebut adalah Tunisia dan Turki. Perdana Menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan tidak mengiktiraf kerajaan sementara pimpinan Adly Mansour dan menuntut agar Presiden Mursi dibebaskan dan dikembalikan kepada kedudukannya yang asal.


Fakta 7

Pada 3 Julai 2013, Jeneral Abdul Fatah as-Sisi mengumumkan di televisyen nasional Mesir bahawa pihak tentera telah mengambil alih kuasa daripada Presiden Mursi kerana kegagalan beliau memenuhi beberapa tuntutan oleh pihak Tamarrud dan ultimatum yang telah diberikan oleh pihak tentera. Presiden Mursi telah dikenakan tahanan di suatu tempat rahsia yang sehingga kini tiada siapa tahu lokasi sebenarnya, melaikan pihak tentera.

Siapa dia as-Sisi? Dia telah dilantik sendiri oleh Presiden Mursi untuk menggantikan Muhammad Hussein Tantawi sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Mesir yang baharu. Dia dilihat sebagai moderat dengan pegangan agama yang kuat; calon yang paling sesuai untuk menggantikan rejim Mubarak yang lama. Siapa sangka, dialah yang menjadi dalang utama dalam menjatuhkan bos besarnya sendiri.

Selepas melantik Adly Mansour sebagai Presiden bagi kerajaan sementara, as-Sisi melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Pertahanan yang baru, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri.



Fakta 8

Apa/Siapa itu Ikhwanul Muslimin?

Ikhwanul Muslimin merupakan suatu pergerakan dakwah yang telah diasaskan oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928, sebagai tindakan langsung daripada kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Sejarah pergerakan ini sangat panjang dan berwarna-warni; cukuplah saya merumuskan sejarah Mesir moden terlalu banyak dipengaruhi oleh pergerakan ini.

Perbalahan yang berlaku antara pihak tentera dan Ikhwanul Muslimin sememangnya diketahui umum. Ahli-ahli IM telah ditangkap, dihumban ke dalam penjara dan diseksa dalam jumlah yang pukal pada zaman Jamal Abdul Nassir, sehingga dianggarkan jutaan ahli IM ditangkap di seluruh Mesir. Ramai daripada mereka dibebaskan pada zaman Anwar Sadat, kemudian ditangkap dan sekali lagi dihumban ke dalam penjara ketika era Hosni Mubarak. Antara tokoh-tokoh besar IM yang mati di tangan pihak pemerintah diktator termasuklah Sayyid Qutb, Abdul Qadir Audah dan Syaikh al-Faraghli.

Semenjak itu, IM diharamkan daripada bergiat aktif, apatah lagi dalam arena politik kerana pihak pemerintah melihat mereka sebagai ancaman besar. Namun ahli-ahli IM terus bergiat aktif dalam masyarakat dengan berselindung di sebalik nama persatuan atau badan yang lain.

Kepopularan dan pengaruh IM dalam kalangan masyarakat amat ketara apabila akhirnya mereka dibenarkan bertanding dalam pilihanraya Mesir usai kejatuhan Mubarak, mereka menang mudah di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan luar bandar. Selain itu, kebangkitan rakyat menentang penggulingan Presiden Mursi yang melibatkan jutaan rakyat Mesir juga menggambarkan sokongan padu rakyat terhadap pergerakan yang hampir mencecah usia 100 tahun itu.

Sehingga kini, IM memainkan peranan yang penting dan aktif dalam mencorakkan sosia- politik dan -ekonomi rakyat Mesir.


Fakta 9

Pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas para penunjuk perasaan bermula 14 Ogos 2013 apabila pihak tentera nekad untuk mengosongkan Medan Rabaah, Medan al-Nahda dan Medan Mustafa Mahmud di Giza daripada para penyokong letigimasi Presiden Mursi. Sebelum ini sudah pon berlaku persitiwa Subuh berdarah, apabila sebahagian penyokong Mursi ditembak oleh pembidik tepat ketika mereka sedang bersolat Subuh pada pagi 8 Julai 2013.

Namun, pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada 14 Ogos lebih melampau dan zalim lagi. Bukan setakat rakyat dibunuh, masjid dibakar, mayat para syuhada' dibakar dan ada yang dilanggar oleh jentolak hidup-hidup! Jumlah kematian yang dicatatkan berbeza-beza mengikut sumber; tetapi angka kematian tertinggi yang dilaporkan adalah lebih daripada 2,200 nyawa. Hal ini jelas merupakan kezaliman melampau, apatah lagi di dilakukan oleh rakyat Mesir sendiri terhadap saudara-saudara mereka. Malah, ada yang menyifatkan tindakan pihak tentera yang didalangi oleh Amerika dan Israel ini, lebih dahsyat dan keji daripada pembunuhan Bashar al-Assad terhadap rakyatnya dan kezaliman kerajaan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin. Tindakan mereka ini jelas melanggar semua nilai-nilai kemanusiaan yang ada.

Reaksi dunia, seperti biasa dan sudah boleh dijangka, hanya mampu untuk mengutuk tindakan zalim as-Sisi dan anjing-anjingnya. Malah Amerika sendiri, yang tangan mereka jelas berlumur dengan kekotoran kerana terlibat sama dalam konspirasi menjatuhkan Mursi, penuh kepura-puraan mengutuk tindakan tentera ke atas rakyat Mesir.


Fakta 10

Perlu juga disebutkan di sini, apakah sebabnya Presiden Mursi digulingkan? Atau apakah alasan yang digunakan oleh golongan Tamarrud dan pihak tentera untuk menjatuhkan Presiden Mursi?

Mereka mendakwa Presiden Mursi telah gagal dalam mengotakan janji-janjinya di awal pelantikannya sebagai Presiden Mesir. Presiden Mursi juga telah gagal memulihkan keadaan ekonomi Mesir yang runcing, di samping beberapa faktor politik, ekonomi dan sosial yang lain, termasuklah peluang pekerjaan, polis yang menzalimi para penunjuk perasaan dan sebagainya.

Itu adalah alasan yang mereka gunakan.

Hakikatnya, tidak munasabah untuk Presiden Mursi memulihkan sepenuhnya keadaan Mesir yang telah hampir binasa dan rosak dari pelbagai aspek pasca pemerintahan rejim Hosni Mubarak yang puluhan tahun lamanya itu, dalam masa setahun. Mursi memerlukan kuasa magis untuk menjadikan Mesir sebuah negara yang aman dan makmur dalam sekelip mata.

Namun, 'dosa-dosa' Presiden Mursi yang paling besar, yang benar-benar menyebabkan musuh-musuhnya tidak puas hati termasuklah:

-Meningkatkan produktiviti gandum kepada 60% dari 20%
-Membangunkan kilang-kilang industri seperti elektronik, senjata dan kereta, yang memberi peluang pekerjaan dan mengurangkan pergantungan rakyat Mesir kepada import dari luar
-Memberi kebebasan kepada media, sehingga pada tahap mereka tanpa segan silu mencacinya hampir setiap hari. Namun beliau kool sahaja dan sabar menghadapinya (kalau zaman Mubarak dahulu konfem si editor dah kena humban masuk penjara!)
-Hafaz al-Quran dan selalu bersolat jemaah dan menjadi imam di masjid
-Tidak mahu tinggal di istana Presiden dan menolak untuk dilindungi oleh para pengawal peribadi
-Menyokong perjuangan Palestin, Syria dan Myanmar, antaranya dengan membuka sempadan Rafah untuk kemudahan rakyat Palestin
-Membebaskan pemerintahan kerajaan Mesir dari cengkaman tentera
...dan lain-lain lagi.
[Sumber: bersamadakwah.com]

Inilah faktor sebenar mengapa beliau dijatuhkan. Faktor sebenar mengapa Presiden Mursi digulingkan adalah kerana beliau membawa syiar Islam ke dalam pemerintahannya. Ia adil, saksama, amanah, bersih dan bijaksana. Mana mungkin taghut dan jahiliyyah boleh duduk diam dengan pemimpin sebegini rupa; jika mereka biarkan Mursi dan ikhwan terus membawa perubahan berteraskan Islam di Mesir, mereka tahu yang kegemilangan Islam pasti akan kembali semula. Maka mereka mula menanam makar-makar jahat dan keji, untuk menjatuhkan Mursi.



*Artikel ini adalah ringkasan dan perkongsian dari sumber asal: Angel Pakai Gucci
*Untuk terjemahan dalam Bahasa Inggeris: realjeet.blogspot.com



#PrayForMesir


p/s : terima kasih kepada pemilik szlihin.com kerana membenarkan entry ini diterbitkan di blog JPP IPGKIK.