Feature Top (Full Width)

Wednesday, December 28, 2011

Bersedialah !

Bismillahirrahmanirrahim ..
Assalamualaikum, selamat sejahtera semuanya..

Apa khabar sahabat-sahabat warga IPG IK yang dirindui semua ?
Sihat dan sejahtera hendaknya dalam menikmati hari-hari terakhir cuti yang akan melabuhkan tirai tidak lama lagi.



Kami dengan penuh rasa kebersamaan dengan seluruh warga kampus yang dihormati, menyeru bersama-sama untuk memberikan peringatan kepada sahabat-sahabat yang lain, rakan sekelas, rakan sebilik, rakan serumah dan semua rakan-rakan yang ada agar tidak meninggalkan waktu cuti tanpa menyiap dan membereskan segala keperluan dan tugasan yang telah diberikan sebelum atau semasa cuti oleh pensyarah masing-masing.

Semoga dengan sempurnanya segala tugasan yang telah diberikan, dapatlah hendaknya kita memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai seorang bakal pendidik yang sedang melalui proses pembelajaran, melalui proses didikan dan masih lagi mempunyai rasa tanggungjawab untuk menuntut ilmu, walaupun dalam hari cuti.



Tidak dinafikan, ada sebilangan daripada kita menganggap ini adalah suatu beban, sesuatu yang menyusahkan, sesuatu yang mengganggu keseronokan bercuti. Tidak dinafikan, pasti ada sebilangan daripada kita menganggap ianya tidak patut, kerana cuti, adalah waktu untuk bercuti dan berehat.

Sahabat,

ingatlah setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Dalam kejadian malam yang gelap, tidak lama selepas itu, hadirnya cahaya siang yang terang benderang, dalam panas terik mentari, pasti turun mencurah hujan membasahi kekeringan bumi dan tidak mustahil, dalam kepayahan, dalam kesusahan itu pasti hadir satu masa nanti suatu kemanisan, kesenangan yang dizahirkan dalam bentuk kejayaan yang cemerlang atas segala usaha jerih payah yang telah kita lakukan.

Teman,

Gula itu manis, tapi tidak semestinya manis itu sentiasa membawa kebaikan kepada kita jika kita terus menikmati kemanisannya tanpa suatu kesedaran yang nyata. Penawar itu pahit, tidak sedap dan memualkan, tapi dari kepahitan dan rasa yang tidak sedap itu memberikan kebaikan dan penawar, kesembuhan sebagai usaha kita dengan izin dari Allah.




Ingatlah, boleh jadi sesuatu yang kita suka itu, membawa kemudaratan, keburukan kepada kita. Boleh jadi, sesuatu yang kita tidak sukai itu membawa kebaikan dan manfaat kepada kita.




Semoga dengan sedikit peringatan itu tadi, harapnya mampu memnyebarkan sedikit kebaikan kepada kita semua, bakal pendidik yang berjaya hasil daripada IPG Kampus Ilmu Khas yang berkualiti, dihormati dan berjasa kepada semua, InsyaAllah...

-XPJPP-

Sunday, December 25, 2011

Jadual Waktu Kuliah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera semuanya :)




Sahabat-sahabat, tinggal beberapa hari saja lagi untuk kita menjejakkan kaki ke kelas masing-masing untuk melanjutkan pengajian kita sebelum bertugas sebagai seorang pendidik pada masa akan datang.



Seperti yang dijanjikan, pihak kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik untuk kemudahan bersama.

Sementara menunggu salinan yang akan diberikan kepada ketua kumpulan masing-masing nanti, kami sediakan untuk semua softcopy jadual yang diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk lebih bersedia menuju ke kelas masing-masing khususnya pada hari pertama pembukaan semester nanti.

Dengan jadual ini, dapatlah kiranya memberi peluang kepada kita semua untuk bersedia dari pelbagai aspek seperti menyediakan buku-buku atau sebarang keperluan yang perlu dibawa, pakaian yang sesuai dengan subjek pada hari berkenaan serta menghubungi pensyarah yang terlibat sama ada beliau ada atau tidak.

Jadi, dengan adanya persediaan awal yang kita lakukan, secara tidak langsung ianya memudahkan kita mengelakkan sebarang salah faham, seperti pakaian yang tidak selaras, tiada pensyarah pengganti atau aktiviti yang sesuai sekiranya pensyarah tidak masuk ataupun tertinggal buku dan kelengkapan lain yang diminta oleh pensyarah untuk membawanya.

Kami memohon maaf kerana banyak sekali kekurangan dalam jadual yang kami sediakan, kerana ramai staff dan pensyarah yang sedang bercuti pada waktu ini.

PISMP SEMESTER 1


PISMP SEMESTER 3


PISMP SEMESTER 5


PISMP SEMESTER 7


PPISMP SEMESTER 2


GSTT



Jadual waktu kuliah ini masih tidak lengkap lagi, kerana kesilapan dari pihak kami sendiri, insyaAllah akan cuba diperbaiki dan dikemaskini dalam masa yang terdekat, kerana kami tidak dapat memberikan jadual untuk B.Ed TEFL semester 7. Maaf atas kekurangan ini.


Berikut merupakan kalendar akademik ataupun interaksi para guru pelatih sepanjang semester bermula dari bulan Januari hingga Mei 2012, yang meliputi interaksi waktu kuliah, praktikum, PBS, amali, peperiksaan dan lain-lain.



Semoga dengan jadual ini, dapatlah hendaknya kita semua menguruskan masa serta merancang kewangan dan lain-lain perkara seperti urusan pembelian tiket dan tarikh yang sesuai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing serta perancangan untuk membeli keperluan dan kelengkapan yang lain.

Untuk renungan dan muhasabah kita bersama,

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memegang kedua bahu saya seraya bersabda: "Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara",
Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di waktu petang jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu ke hari petang, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu." (Riwayat Bukhari).

-XPJPP-

Wednesday, December 14, 2011

Keputusan Peperiksaan & Jadual Waktu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

السلام عليكم

Selamat sejahtera, kepada semua warga IPG Kampus Ilmu Khas.

Pertama sekali, terima kasih kepada semua rakan-rakan guru pelatih khususnya adik-adik semester 1 yang sangat peka dan rajin bertanya berkenaan dengan keputusan peperiksaan yang pertama kali dalam pengajian di sini, serta semua yang selalu bertanya tentang perkembangan terbaru yang telah dan akan berlaku di IPG kita.

InsyaAllah, dari pihak kami, kami akan cuba sebaik yang mungkin untuk menjawab persoalan serta sebarang kemusykilan dari anda semua dengan telus dan penuh rasa tanggungjawab.

Sebentar tadi, satu pertemuan dan sesi soal jawab ringkas bersama pihak HEP serta SUP telah diadakan untuk menjawab semua persoalan-persoalan anda. Berikut merupakan serba sedikit tentang perbincangan tadi :

Keputusan Peperiksaan.

Berdasarkan maklumat yang diterima dari pihak SUP, semakan keputusan peperiksaan secara online hanya dibuka untuk kumpulan yang menduduki peperiksaan akhir sahaja, seperti PISMP semester 8, PPISMP semester 3 serta KPLI. Untuk membuat semakan, anda hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan pada ruangan yang disediakan. Sila pergi ke pautan ini untuk membuat semakan :

Sistem e-Transkrip ---> http://ipgkpm.unitpen.edu.my/pelajar/index.php

Untuk kumpulan selain daripada yang telah dinyatakan, anda bolehlah mendapatkan keputusan peperiksaan anda pada semester hadapan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh pihak SUP nanti.

Jadual Waktu Sesi Kuliah.

Pihak HEP memberitahu bahawa jadual ini akan dikemaskini dan didokumentasikan pada minggu yang terakhir bulan Disember dan akan dipaparkan pada papan kenyataan di hadapan bilik KISSM/Unit LDP yang berhadapan dengan Dewan Dato'Razali Ismail, serta akan diedarkan ke dalam pigeon hall kelas masing-masing pada semester hadapan.


Semoga dengan sedikit maklumat yang telah disampaikan ini dapat membantu dan menjawab persoalan dari anda semua dan pihak kami mengharap, menggalakkan serta sentiasa mengalu-alukan sebarang respon, komen, cadangan, laporan dan sebagainya untuk menjadikan sistem pengurusan serta permasalahan di kamus dapat dihadapi dengan baik.

"Daripada pelajar, untuk pelajar"

-XPJPP-

Wednesday, December 7, 2011

Apa cerita kampus yang terbaru ?

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua .

Apa khabar sahabat-sahabat yang sedang bercuti sekarang ?
Sihat dan sejahtera hendaknya di samping keluarga yang tercinta.

Terlebih dahulu, kita ucapkan tahniah kepada beberapa orang pensyarah kita, antaranya ialah para pensyarah dari Jabatan PJK, Dr Hj Mohd Razali Luddin, Cik Eleanor Ann Tan Lye Neo, Pn Kok Mong Lin, Cik Teng Siew Lian, Dr Munira Mohsin dan Pn Zaini Hassan, Pn Halimah Ahmad, En Govindarajan a/l Daniel, En Ch’ng Swee Ghiam, dan En Balkaran a/l Arumugam yang telah mengharumkan nama kampus kita pada beberapa hari yang lalu di Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif Kreatif Peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia telah berlangsung di Hotel Grand Blue Wave, Shah dari 21-23 Nov 2011.



Pasukan yang diberi jolokan nama EYE KAY TRANSFORMERS ini telah mempertaruhkan Transformer Amfibia yang telah memenangi Kumpulan Baru Terbaik daripada 43 penyertaan.

Berikut merupakan kata-kata dari Pengarah dan Timbalan Pengarah atas kejayaan ini.




Berkenaan dengan perkembangan di dalam kampus serta perkembangan untuk semester hadapan pula, buat masa ini kita masih lagi menunggu dari pihak-pihak yang berkenaan untuk melampirkan sebarang dokumen serta maklumat yang berkaitan, seperti takwim, jadual kuliah dan sebagainya.

Untuk pengetahuan semua, data-data yang ada pada beberapa papan kenyataan masih lagi tidak dikemaskini dan pastinya sedang dalam proses mengemaskini data. Hal ini juga dapat dilihat dengan kekosongan pada ruang-ruang papan kenyataan yang telah dibersihkan dari maklumat-maklumat serta helaian dokumen-dokumen yang telah lepas.

Setakat ini, takwim bagi semester hadapan yang telah kita perolehi adalah seperti berikut :


Dalam perkembangan lain, IPG Kampus Dato' Razali Ismail akan menerima kehadiran pengarah yang baharu, iaitu En. Ghulam Sarver Bin Mobarak Ali, yang sebelum ini berkhidmat bersama jemaah nazir di Kuala Lumpur. Beliau akan mula bertugas di kampus berkenaan pada tahun hadapan.



InsyaAllah, pihak kami akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik bagi menyampaikan perkembangan luar dan dalam kampus dalam masa yang terdekat untuk kesenangan kita semua.


-XPJPP-