Feature Top (Full Width)

Thursday, October 25, 2012

Perutusan Eidul Adha 1433H YDP JPP IPG IK





بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Allahu Akbar..
Walillahilhamd..


 اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah banyak mengurniakan kepada sekalian manusia dengan sebaik-sebaik nikmat dan kesenangan selama kita hidup di muka bumi ini, tiada balasan yang diharapkan olehNya daripada kita, segalanya diberikan percuma, udara yang kita sedut, angin yang menghembus kita, cahaya matahari yang bersinar dengan pelbagai manfaatnya, untuk proses fotosentisis tumbuhan, mengeringkan pakaian kita, memberikan sumber haba, cahaya yang menerangi sekalian alam dan banyak lagi nikmat kurniaan Allah yang tidak terungkapkan jika dihitung dengan bilangan angka.

Firman Allah SWT dalam surah Az-Zariat ayat ke 56 yang bermaksud,

" dan (ingatlah) tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat dan menyembahku "

Merujuk kepada ayat di atas, tidak ada terkecuali untuk semua manusia dan jin untuk menyembah Allah dan beribadah hanya kepada Allah. Perkara ini juga disebutkan di dalam surah As-Saff, ayat yang pertama yang bermaksud :

" telah bertasbih kepada Allah segala yang ada di langit dan di bumi, dan Dialah yang maha berkuasa, lagi maha bijaksana'

Hal ini jelas menunjukkan bahawa, segala makhluk ciptaan Allah, baik manusia, jin, tumbuhan, bulan, bintang, matahari, batu-batuan dan segalanya bertasbih memuji dan menyucikan nama Allah, sebagai tanda menundukkan diri dan menunjukkan kehambaan kepada Allah yang telah menciptakan kita semua.

Ibrah daripada sirah Nabi Ibrahim dan anaknya juga jelas menunjukkan kepada kita semua, betapa tingginya keteguhan iman mereka dalam memperhambakan diri kepada tuhan dalam melaksanakan tuntutan dan suruhan Allah. 

Sejurus selepas Nabi Ibrahim menerima perintah Allah untuk mengorbankan anaknya Ismail, maka tanpa banyak bicara, tanpa banyak soal, tanpa banyak dolak-dalik, terus sahaja beliau mendapatkan anaknya untuk menunaikan perintah Allah itu, sungguhpun terpaksa mengorbankan anak kesayangannya, kerana baginda tahu, segala yang datangnya daripada Allah itu ada hikmah di sebaliknya dan tiadalah akan keburukan sekiranya itu adalah perintah dari tuhan.

Melihatkan akan kesungguhan Nabi Ibrahim hendak mengorbankan anaknya kerana patuh dan taatnya kepada Allah, maka Allah menggantikan tempat anaknya Ismail dengan seekor kibas. 

Kenapa ibadah korban ini dilakukan setiap tahun, kerana ingin diperingatkan kepada kita setiap kali ibadah ini dilaksanakan, semoga setiap tahun kita mencari hikmah di sebaliknya, perginya para jemaah haji yang meninggalkan harta, keluarga dan sebagainya demi menyahut seruan Allah, peritnya sang lembu yang disembelih hanya kerana Allah, bukanlah tanda kekejaman kepada haiwan, tetapi memperingati sirah pengorbanan Nabi Ibrahim tadi, sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah.

Sebagai seorang mahasiswa pendidik pula, sama ada sedar atau tidak rakan-rakan, sudah banyak pengorbanan yang kita lakukan, terpaksa meninggalkan keluarga yang jauh dalam tempoh masa yang agak panjang, mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk memberi dan mendapatkan ilmu, meluangkan banyak masa yang sepatutnya dijadikan waktu untuk berehat untuk memperkemaskan ilmu dengan melaksanakan tugasan, segalanya untuk mempersiapkan diri menjadi seorang pendidik, tidak lain dan tidak bukan, untuk menjadi pendidik, menyebarkan ilmu kepada masyarakat, dan itulah sebaik pekerjaan. 

Apabila kita tahu makna sebenar pengorbanan kita, kita faham akan hikmah di sebaliknya,  segala kepayahan dan kesulitan yang dihadapi mampu saja kita tempuhi dengan keikhlasan dan kita sedar bahawa, kesusahan yang dihadapi untuk menyebarkan kebaikan ini, hakikatnya memang memenatkan, tetapi apa yang telah Allah SWT janjikan ialah, kesenangan dan kenikmatan yang tidak terhingga bagi mereka yang bersusah-payah melakukan kebaikan, da'wah dan sebagainya dengan membalasnya dengan balasan yang lebih daripada apa yang telah dilakukannya di akhirat kelak, 
InsyaAllah...