Feature Top (Full Width)

Saturday, November 19, 2011

Bila peperiksaan sudah berakhir, maksudnya..?

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua..

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, telah dipermudahkan olehNya segala urusan kita untuk menempuhi pahit getir dugaan pada setiap helaian kertas soalan..




17 November 2011 merupakan tarikh penutup kepada semua sesi peperiksaan akhir semester tahun 2011, walaupun waktu peperiksaan tidak sama.

Apabila berakhirnya peperiksaan, maka itu menandakan akan bermulanya satu lagi episod kehidupan yang baru seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Itulah waktu untuk meluangkan waktu bersama keluarga dan itulah waktu untuk merehatkan minda dan fikiran daripada belenggu tugasan yang menimbun.

CUTI !!



Kepada semua sahabat-sahabat guru pelatih, gunakanlah waktu cuti kita dengan sebaik-baik pengisian. Seeloknya kita rangka satu jadual khas, apa yang kita perlu buat dan apa yang kita tidak perlu buat ketika cuti nanti.

Sebagai pesanan, kurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan memberi manfaat kepada kita, baik dari segi mental dan fizikal. Banyakkanlah meluangkan masa bersama keluarga, mengimbau kembali kenangan-kenangan indah bersama rakan-rakan ketika di bangku sekolah dulu serta banyakkan aktiviti bersama saudara-mara dan keluarga seperti pergi bercuti, menghadiri majlis-majlis perkahwinan, memperbanyakkan ziarah keluarga-keluarga terdekat serta ziarah kawan-kawan yang sekampus dengan kita.




Selain itu sahabt-sahabat, jangan kita lupa juga tanggungjawab kita sebagai seorang muslim yang baik untuk meluangkan masa menghadiri majlis-majlis ilmu di surau atau masjid yang berhampiran, bersama rakan-rakan dan adik-beradik sendiri. Inilah waktu yang sesuai untuk kita, sebagai seorang guru pelatih untuk membiasakan amalan baik ini bermula dari ahli keluarga kita sendiri, serta membiasakan diri dan merapatkan kembali ukhuwwah bersama jiran tetangga setelah sekian lama tidak pulang ke kampung.

Wednesday, November 9, 2011

Hadapi Peperiksaan dengan Senyuman

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semuanya..

Tekunnya mengulangkaji..



Minggu ini, bermula dari 9 November 2011 hingga 17 November 2011 nanti insyaAllah, para guru pelatih akan menduduki peperiksaan akhir semester sebelum menikmati cuti panjang selama sebulan lebih sehingga awal Januari 2012 nanti.

Bermacam-macam cara serta kaedah belajar yang kita boleh lihat di sekitar kampus pada dua minggu ini, ada yang memenuhi ruang wakaf dengan membuat 'study group', ada yang membuat perbincangan di kawasan perpustakaan, ada yang lebih suka menyendiri di dalam bilik/rumah dengan membaca nota dan sebagainya.

Semoga dengan usaha kalian semua membuahkan hasil seperti yang diimpikan oleh semua untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya mendapat jumlah pointer yang tinggi.

Dalam mengejar sesuatu kejayaan, 3 perkara yang tidak boleh dipisahkan ialah :

1) Usaha
2) Doa
3) Tawakkal

1) Usaha
Usaha yang telah kita buat adalah seperti membuat ulangkaji, perbincangan dan juga perhatian yang sepenuhnya ketika di dalam kelas, banyak bertanya kepada pensyarah serta tidak jemu untuk terus membuat ulangkaji. Keputusan yang bakal kita terima nanti adalah ukuran kepada usaha yang telah kita buat sebelum itu. Suka kami kongsikan satu petikan kata-kata seorang pakar motivasi;
"Kejayaan tanpa usaha itu adalah satu kebetulan, kejayaan dengan usaha itu adalah satu kepuasan"




2) Doa
Setelah berusaha bersungguh-sungguh, berdoalah kepada Tuhan, semoga dipermudahkan segala urusan ketika menghadapi peperiksaan nanti, bangun awal, datang tepat pada waktunya, kad pengenalan dan kad pelajar tidak tertinggal, dapat mengingat semula apa yang telah diulangkaji sebelum itu serta dapat menjawab semua soalan tanpa meninggalkan satu soalan pun tanpa sebarang jawapan. Berusaha tanpa meminta pertolongan dari yang maha mendengar, maha mengetahui, yang maha pengasih dan maha penyanyang itu umpama kita sudah boleh menguruskan hidup kita sendiri, tanpa bantuan dari yang lain. Tidak sia-sia untuk kita meminta kepada Tuhan, kerana sesungguhnya Dia tidak sekali-kali mengabaikan permintaan hambaNya yang tidak pernah lupa kepadaNya tanpa mengira waktu, senang ataupun susah.

3) Tawakkal
Setelah selesai menjawab semua soalan dengan tenang, selesai semua kertas soalan peperiksaan dan hanya tinggal menunggu masa untuk menikmati cuti panjang, maka dengan itu, berserahlah segalanya kepada Tuhan, kerana segala ketentuan yang akan berlaku hanyalah dengan kehendakNya.




Semoga dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang, elakkan tekanan dan pergaduhan sesama rakan. Jangan lupa, melangkah dengan kaki kanan ketika masuk ke dewan peperiksaan, baca Bismillah dulu, sebelum buka kertas soalan, bacalah doa penerang hati, minta supaya dipermudahkan, dan diberi petunjuk..

Sunday, November 6, 2011

Eidul Adha Guru Pelatih di Perantauan

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua ..

Hari ini, 10 Zulhijjah 1432H, bersamaan dengan 6 November 2011, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam, hari raya Eidul Adha, baik di kampung halaman sendiri dan juga di perantauan.

Seawal jam 8 pagi, laungan takbir bersahutan di bandaraya metropolitan Kuala Lumpur, dari segenap masjid dan surau.

Begitu juga dengan para guru pelatih yang tidak balik ke kampung halaman masing-masing, menghadapi perayaan di perantauan sudah menjadi sebahagian daripada rentetan pahit dan manis kehidupan seorang penuntut ilmu yang berjauhan dengan keluarga yang tercinta.

Surau Ta'dib IPG Kampus Ilmu Khas pada pagi tadi dihiasi dengan bait-bait laungan takbir mengagungkan, memuji serta mengesakan Allah dilafazkan oleh para guru pelatih yang sinonim dengan gelaran perantau.



Ramai yang hadir mengimarahkan surau kampus yang tidak sebegitu gah untuk dibandingkan dengan masjid yang ada di institusi pengajian tinggi yang lain. Kesedihan berjauhan dengan keluarga dan sanak-saudara tidak terasa apabila kemeriahan hari raya eidul Adha dikongsi bersama sahabat-sahabat seperantauan.








Solat sunat eidul adha dikendalikan sendiri oleh para guru pelatih, khutbah disampaikan sendiri oleh guru pelatih, begitu juga imam dan juga para ma'mum. Dianggarkan jumlah jemaah yang hadir menunaikan solat sunat eidul adha tadi kira-kira 60 orang, termasuk muslimin dan muslimat.

Penghayatan dan kefahaman berkenaan dengan sambutan hari raya eidul adha ini telahpun diberikan di dalam akiviti usrah mingguan, agar para guru pelatih menyambut hari kebesaran islam ini dengan kefahaman dan juga penghayatan seperti yang dianjurkan oleh agama.



Begitu besar sekali peranan surau kita dalam membina sahsiah serta peribadi guru muslim ke arah membina generasi guru dan masyarakat rabbani di masa akan datang dengan memberikan para guru pelatih ilmu-ilmu serta kefahaman tentang agama serta pada masa yang sama mengeratkan tali persaudaraan antara guru pelatih melalui program dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pengajian Islam dan Moral ( JAPIM ) dengan kerjasama padu yang telah dijalankan oleh pihak Persatuan Guru Pelatih Islam ( PGPI ).

Thursday, November 3, 2011

MAJLIS IBADAH QURBAN 1432H


Pada 9 November 2011 ( rabu ), satu majlis ibadah qurban peringkat IPG Kampus Ilmu Khas (IPG IK ) yang akan dijayakan dengan kerjasama seluruh warga IPG IK termasuk pensyarah, pegawai pengurusan, staf, guru pelatih, pegawai kebersihan swasta dan juga pegawai keselamatan.

Program ini mensasarkan penglibatan hampir 1500 orang warga IPG IK termasuk yang bukan muslim. Sebelum menjayakan program ini, pihak staf dan para pensyarah termasuk orang persendirian telah menyumbang untuk mendapatkan lima ekor lembu untuk disembelih pada hari berkenaan.

Beberapa orang petugas khas dijemput dari Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam untuk membantu proses penyembelihan agar bertepatan dengan cara dan kaedah yang betul, di samping memberikan tunjuk ajar kepada semua hadirin tentang cara-cara sembelihan yang betul.

Daging sembelihan berkenaan akan disedekahkan kepada penduduk setempat, di flat Seri Melaka, para petugas dari Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam, para peserta program (staf,pensyarah dan lain-lain) serta yang selebihnya akan dimasak untuk jamuan pada hari tersebut.

Semua guru pelatih, staf, pegawai-pegawai & seluruh warga IPG IK dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis, terutamanya majlis jamuan yang akan diadakan pada waktu tengahari, selepas selesai aktiviti melapah dan memasak.



Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكاً لِّيَذْكُرُواْ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِّن بَهِيمَةِ ٱلأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu”.(Surah al-Hajj: 34)