Feature Top (Full Width)

Saturday, May 19, 2012

BERTUGAS DENGAN IKHLAS

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua warga pembaca blog JPP IPG Kampus Ilmu Khas yang dikasihi..

Pada ketika ini, kawan-kawan guru pelatih terutamanya yang sedang berada di semester 7 sedang sibuk melengkapkan borang penempatan masing-masing, melihatkan post-post mereka di dalam laman sosial facebook yang bermacam-macam kisahnya. Ada juga yang memilih untuk berkhidmat sebagai pendidik di luar negara. Macam-macam kerenahnya.

Merujuk kepada tajuk post pada kali ini, makna kata bertugas itu sangat luas sebenarnya bagi kita, sebagai seorang manusia, sebagai seorang pekerja, sebagai seorang guru, sebagai seorang pelajar, sebagai seorang anak, sebagai seorang pemimpin.

Dalam konteks kita sebagai guru pelatih pada hari ini, tugas kita sangat luas sebenarnya sepanjang menuntut di IPG. Bukan sekadar untuk cemerlang di dalam akademik, tetapi juga menimba sebanyak mungkin pengalaman. Untuk cemerlang, ada caranya, untuk mendapatkan pengalaman juga ada caranya.

Kita menghadiri kuliah, melaksanakan tugasan, menyertai program-program ilmiah, sesi perbincangan dengan rakan-rakan, membuat ulangkaji di perpustakaan adalah beberapa contoh untuk cemerlang, khususnya dalam akademik.

Dalam menimba pengalaman pula, konsepnya lebih luas. Pengalaman dari segi pembinaan karakter sebagai seorang guru, pengalaman dalam pengurusan, pengelolaan program dan aktiviti, pengalaman dalam kerja-kerja berkumpulan, pengalaman dalam khidmat sosial dan pengalaman dalam membiasakan diri dengan iklim dan suasana sekolah.

Senario yang boleh dikaitkan dengan kesibukan rakan-rakan kita yang sedang hangat berbincang soal posting, pada ketika ini, mereka mula membelek semula fail sijil-sijil aktiviti dan penglibatan dalam program di dalam dan luar kampus. Hal ini penting kerana pengalaman yang pernah kita miliki dalam kehidupan di IPG itu secara zahirnya dibuktikan melalui sijil-sijil penyertaan kita. Oleh kerana itulah sijil-sijil berkenaan penting.

Seorang pakar motivasi pernah mengatakan bahawa kehidupan selepas graduasi adalah bergantung kepada sebanyak mana pengalaman kita sepanjang tempoh kita menuntut sebagai seorang pelajar atau mahasiswa. Maksudnya di sini, kecemerlangan yang baik serta keputusan yang 'gempak' dalam akademik tidak menjamin 100% kehidupan yang lebih baik selepas graduasi. Beliau mengatakan bahawa antara faktor pelajar yang sangat cemerlang dalam akademik ialah pelajar yang menumpukan 100% perhatiannya kepada akademik sahaja ketika di kampus dan kurang meibatkan diri dalam program-program yang lain. Hal ini berbeza dengan pelajar yang mempunyai kepelbagaian huruf dalam keputusan, maksudnya ada subjek yang A, B, C dan sebagainya bukanlah kerana pelajar berkenaan tidak belajar bersungguh-sungguh, tetapi waktu belajarnya telah dibahagi-bahagikan untuk perkara yang lain, penglibatan dalam program-program di sekolah atau di kampus.

Oleh kerana itu, pakar motivasi berkenaan memberikan senario pemilihan atau pelantikan pekerja bagi sesebuah syarikat atau perusahaan akan dinilai melalui penglibatan bukan akademik kepada calon-calon pekerja yang ingin diambil. Apalah gunanya mengambil pekerja yang cemerlang, tetapi tidak boleh bekerja sebagai satu pasukan. Apalah gunanya mengambil pekerja yang hebat dalam bidangnya, tetapi tidak ada komunikasi yang baik sesama rakan sekerja.

Pakar motivasi itu berkata lagi, untuk mendapatkan pengalaman itu biasanya mudah diperolehi apabila para mahasiswa melibatkan diri dalam program-program di kampus serta melibatkan diri secara langsung dalam organisasi dan juga persatuan.

Berbalik kepada topik utama tadi.
Itulah antara tugas kita sebagai seorang guru pelatih sepanjang belajar di IPG. Berusaha untuk cemerlang dalam akademik dan pada masa yang sama menimba sebanyak mungkin pengalaman.

Ikhlas pula adalah sesuatu yang ma'nawi.
Dianalogikan ikhlas itu umpama semut hitam, di atas batu hitam di malam yang gelap.
Ikhlas itu tidak kelihatan, tetapi ianya ada.


Dalam Islam sendiri menghuraikan definisi ikhlas itu dengan huraian yang sangat jelas dan teliti. Salah satu Hadis Qudsi, Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala berfirman: "Akulah yang paling tidak memerlukan sekutu. Sesiapa mengamalkan sesuatu dan menyengutuinya dengan yang lain (selain daripada-Ku), maka bahagian-Ku adalah untuk yang lain itu, kerana aku tidak menerima kecuali apa yang dikerjakan dengan ikhlas untuk-Ku".




Demikianlah betapa pentingnya ikhlas dalam menjalani hidup yang semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Ikhlas menentukan penerimaan amal ibadat. Tanpa ikhlas, satu-satu amalan itu ditolak oleh Allah swt.

Ikhlas bermaksud, menumpukan niat bagi setiap kerja ibadat atau amalan semata-mata kerana Allah dan untuk Allah. Ikhlas yang sebenar-benarnya ikhlas sudah tentulah bersih hati daripada unsur riya', nifaq dan ‘ujub. Antara ayat-ayat lain dalam al-Quran yang memperkatakan tentang ikhlas ialah :

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dalam mengikhlaskan agama (ibadah) kepada-Nya”. (Surah al-Zumar:11); Katakanlah: “Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepada-Nya”. (Surah Az-Zumar:14);Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepada-Nya. (Surah al-Bayyinah : 5).

Ulama’ terdahulu membahagikan ikhlas itu kepada dua, berdasarkan matlamat amalan yang dilakukan:

Pertama, ikhlas beramal;
Kedua, ikhlas menuntut pahala.
Ikhlas Beramal :

Maksud ikhlas beramal ialah keikhlasan mengerjakan amalan / ibadat semata-mata untuk mencapai matlamat :

menghampirkan diri dan hati (taqarrub) dengan Allah Taala;
menjunjung tinggi atau mengagungkan perintah Allah Taala;
merelakan atau memperkenankan seruan Allah Taala.
Matlamat-matlamat pencapaian ibadah tersebut adalah selari dengan dorongan ijtihad dan iktikad yang betul dan selaras dengan firmah Allah yang mafhumnya:

Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan semesta alam. (Surah Al-An'am: 162) Amalan yang dikerjakan secara ikhlas beramal ini kosong daripada niat mengharapkan sesuatu pulangan atau balasan manfaat, sama ada di dunia maupun di akhirat. Malah amalan itu sampai tidak dikehendaki dapat dilihat oleh iblis agar tidak diganggu-gugat atau dirosakkan oleh musuh manusia itu dan tidak juga dikehendaki dapat dilihat dan dicatatkan oleh malaikat. Hendaknya biarlah amalan itu termasuk dalam ilmu Allah sahaja. Inilah darjat ikhlas yang paling tinggi.

Niat ikhlas beramal hendaklah serentak dengan bermulanya amalan yang dikerjakan dan hendaklah berterusan. Tidak termasuk dalam ikhlas beramal, jika niatnya terkemudian atau selepas amalan.

Lawan ikhlas beramal ialah nifaq, iaitu iktikad dan perlakuan orang munafik yang berpura-pura menghampirkan diri kepada Allah tetapi sebanarnya mengaitkan amalannya dengan yang lain daripada Allah. Nifaq itu membatalkan amalan, sekali gus terkeluar jauh daripada lingkungan qurbah dengan Allah Taala.

Ikhlas Menutut Pahala :

Maksud ikhlas menuntut pahala pula ialah mengharapkan pulangan atau manfaat akhirat iaitu pahala untuk menempah hidup bahagia di syurga dan untuk dijauhkan daripada seksaan (azab) di neraka, iaitu sebagai ganjaran daripada amalan ibadat / kebajikan yang dikerjakan. Matlamat ini selari dengan firman Allah yang mafhumnya :

Katakanlah : “Sesungguhnya aku takut , jika aku mendurhakai Tuhanku, akan azab hari yang besar. (al-An’am : 15) Lawan ikhlas menuntut pahala ialah riya’, iaitu mengharapkan manfaat jangka pendek di dunia yang lumrahnya datang daripada manusia atau makhluk Allah yang lain. Riya’ merupakan penyakit kalbu yang merosakkan ikhlas lantas memusnahkan amalan.

Dalam menghuraikan perbezaan di antara dua jenis ikhlas tersebut, Imam al-Ghazali mengatakan : “Ikhlas beramal itu semata-mata menjadikan amalan itu sebagai wahana untuk bertaqarrub dengan Allah Taala dan tidak menuntut sesuatu yang lain. Manakala ikhlas menuntut pahala itu lebih mengharapkan amalan diterima oleh Allah di samping mengingini ganjaran pahalanya.

Para Hawariyyun (pengikut-pengikut nabi 'Isa a.s.) bertanya kepada nabi 'Isa a.s, "Bagaimanakah orang-orang yang ikhlas itu dengan amalan mereka?".

Nabi 'Isa a.s. bersabda, "Mereka beramal kerana Allah dan tidak berhajat kepada pujian daripada manusia".

Membicarakan tentang ikhlas, para ulama mengaitkannya dengan amalan berikut:

1. ibadat zahir (amalan jasmaniyah / khususiyah), seperti sembahyang, puasa, haji, umrah dan sebagainya. Dalam ibadat zahir ini diperlukan kedua-dua jenis ikhlas tersebut (ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala).
2. ibadah batin (amalan batiniyah), iaitu seperti jujur, amanah, setia, tafwidh dan sebagainya. Tidak timbul soal ikhlas dalam ibadat batin ini, kerana sifatnya sendiri sudah merupakan ciri ikhlas. Tanpa ikhlas tidak wujud sifat jujur, misalnya. Dalam ibadat ini akan timbul nifaq dan riyak apabila pengamalnya mengharapkan manfaat dunia, untuk mendapat pujian, sanjungan dan penghormatan manusia.
3. amalan harus yang dikerjakan untuk membantu kerja ibadat yang lain, khususnya ibadat zahir tersebut. Contohnya, makan, minum, tidur dan sebagainya. Dalam ibadat ini hanya terdapat ikhlas jenis yag kedua sahaja, iaitu ikhlas menuntut pahala.

Menurut Imam al-Gazali: Dalam kebanyakan ibadat ada kaitan dengan kedua-dua jenis ikhlas_ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala. Ini termasuklah ibadat yang wajib dan sunat. Dalam ibadat yang harus yang dikerjakan untuk membantu ibadat wajib atau sunat, hanya terdapat sejenis ikhlas sahaja, iaitu ikhlas menuntut pahala. Kerana, ibadah yang harus itu bukan bertujuan qurbah , tetapi hanya untuk membantu atau membolehkan ibadah zahir atau amalan khususiyah itu dikerjakan.

Waktu niat ikhlas menuntut pahala boleh terkemudian daripada mengerjakan amalan yang berkenaan. Sebahagian ulama mengatakan, waktunya ialah sebaik-baik sahaja selesai mengerjakan sesuatu amalan. Ketika itulah ditentukan sesuatu amalan itu sama ada dikerjakan dengan ikhlas atau dengan riak. Sebab, riak sewaktu mengerjakan ibadat itu mungkin diubah kepada ikhlas selepas mengerjakan ibadat itu. Keihkhlasan ini diterima selagi matlamat riak belum tercapai. Umpamanya jika kita mengerjakan ibadat untuk mendapat pujian orang (satu contoh riak), selagi kita belum menerima pujian itu, kita boleh menukarkannya kepada ikhlas. Tetapi apabila sudah mendapat pujian (matlamat riak telah tercapai), maka terjatuhlah dalam riak dan sia-sialah ibadat itu.

Darjat ikhlas yang paling rendah :

Di samping ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala, ada satu lagi jenis ikhlas yang dikatakan paling rendah darjatnya. Ikhlas jenis yang ketiga ini khusus kepada niat mengerjakan amal ibadat untuk keselamatan diri dan keselesaan atau kesenangan hidup di dunia. Contohnya, mengerjakan shalat sunat hajat, shalat sunat istisqa’, membaca doa, ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Qur’an semata-mata untuk mendapat manafaat segera duniawi daripada Allah swt (manfaat yang harus, tidak bercanggah dengan larangan agama, tetapi tidak termasuk matlamat ikhlas beramal dan ikhlas menuntut pahala yang tersebut).





Adalah wajib kita mengerjakan amal ibadat dengan ikhlas dan hendaklah sentiasa sedar, bahawa tergeraknya hati dan anggota kita mengerjakan ibadat itu adalah di bawah taufik dan hidayah Allah Taala. Dengan hal yang demikian, amalan kita, insya Allah, akan diterima dan disempurnakan pahlanya oleh Allah Taala. Sebaliknya, jika kita tidak ikhlas mengerjakan ibadat dan merasakan segala tindak-tanduk mengerjakan amalan yang baik itu adalah berpunca daripada diri kita sendiri, maka kita terjatuh ke dalam riak dan ujub. Riak, ujub dan nifaq itu membinasakan amal ibadat yang berkenaan; sedangkan ikhlas sering menjernihkan kekeruhan segala amalan, menghapuskan ingatan dan keinginan kepada segala kesukaan dan kesenangan (kepentingan nafsu sendiri) dan mengekalkan perhubungan dengan Allah Taala, terutama kalau kikhlasan itu ikhlas beramal. Selain itu ikhlas juga menjadi benteng untuk mempertahankan diri daripada godaan atau tipu daya syaitan. Allah Taala berfirman, maksudnya :

Berkata (Iblis), ya Tuhabnku, oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat, pasti aku menjadikan mereka memandang baik (terhadap perbuatan maksiat) di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali di kalangan hamba-hamba-Mu yang mukhlis (ikhlas) - (al-Hijr : 39 - 40). Justeru, amat besar kerugian yang akan menimpa mereka yang bukan mukhlis dan tidak ikhlas mengerjakan amal ibadat mereka. Virus riyak akan memusnahkan amalan mereka.

Ikhlas itu boleh dinilai, melalui kesungguhan dan sejauh mana komitmen yang kita lakukan itu benar-benar untuk tujuan yang baik. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum dan selalu dengar, apakah ikhlas itu benar-benar boleh ditunjukkan dengan luahan perkataan ? Sebagai contoh, kita memberikan sesuatu kepada kawan kita, tetapi pada mulanya dia menolak, kemudian untuk memujuknya buat kali kedua, kita pun mengatakan, ambillah, aku ikhlas. Contoh situasi kedua, apabila kita ingin menyatakan sesuatu dengan harapan apa yang kita katakan itu benar-benar dengan maksud seperti yang kita utarakan, sebagai contoh, apabila kita membantu kawan kita, dia memberikan kita upah dalam bentuk wang ringgit. Tak apa lah, aku ikhlas tolong kau.

Begitukah maksud ikhlas yang sebenar?
Mungkin ada benarnya, tetapi sebaiknya kita tidak zahirkan keikhlasan kita dengan cara seperti itu, tetapi kita  tunjukkan dari aspek kesungguhan kita bekerja, kesungguhan kita dalam melakukan sesuatu, komitmen yang berada dalam tingkatan yang paling tertinggi. Tidak mengharapkan balasan, malah kita berikan sesuatu yang lebih daripada yang diinginkan.

Ikhlas dalam konteks menuntut ilmu, kita dianjurkan supaya menghargai ilmu yang telah kita terima dengan sebaiknya, dalam melaksanakan tugasan yang diberikan, siapkan dengan sebaik yang kita mampu, perkemaskan sebaik mungkin tugasan kita itu walau dalam sekecil aspek sekalipun.
Sebagai contoh, jika kita ingin mengukur sejauh mana ikhlasnya kita dalam kerja-kerja seharian kita, cuba kita libatkan diri dalam salah satu program contohnya program gotong-royong. Satu program yang kurang menarik, kotor, memenatkan, serta dianggap menyusahkan dan mengganggu masa terluang kita, kerana ianya biasa dilakukan pada waktu hujung minggu.

Mudah untuk kita bandingkan kerja ikhlas dengan kerja yang tidak ikhlas dalam program seperti gotong-royong itu. Jika benar kita ikhlas untuk menjayakan program itu, sedaya upaya yang mungkin kita akan membersihkan segala kotoran yang ada, sebagai contoh kita ditugaskan untuk membersihkan tandas. Lantai dibersihkan, tiada lagu bau yang kurang menyenangkan, kita tambah pula dengan sedikit hiasan agar suasana nampak lebih ceria dan menarik. Jika tidak ikhlas, cukuplah sekadar kita bermain dengan air, menyiram apa yang patut serta melengkapkan syarat aku sudah bekerja. Itu antara contoh yang kita boleh ambil dari pelbagai bentuk situasi yang ada kaitannya dengan ikhlas dalam melakukan sesuatu kerja.

Ikhlas itu juga kunci kepada rahsia kekuatan serta kemampuan kita untuk melakukan kerja, menerima segala bentuk kemungkinan serta takdir yang berlaku.



Dalam konteks seorang pendidik, adalah sangat diperlukan keikhlasan daripada kita untuk menerima segala bentuk ujian dan rintangan yang perlu ditempuhi. Ikhlasnya seorang guru yang benar-benar bersungguh-sungguh menyempurnakan amanahnya untuk mendidik sebuah generasi yang ada di ceruk pedalaman sana tanpa sebarang keluhan dan alasan untuk menolak. Biarlah payah untuk masuk ke kawasan berkenaan, perlu menaiki bot, merentasi hutan dan kemudian berjalan kaki berbatu-batu jauhnya, tetapi, dengan keikhlasan, segala kesusahan itu adalah teman yang paling setia dalam kehidupan dan ianya bukanlah penghalang untuk mencapai matlamat dalam mendidik dan membangunkan sebuah generasi berilmu di mana sahaja.



Kerana itu, di dalam IPG, kita dituntut sepenuhnya untuk ikhlas dalam setiap perkara yang kita lakukan, baik dalam menerima sebarang kemungkinan akan mendapat perkara yang kita tidak gemari, contohnya kita dikehendaki untuk menghadiri sesuatu kelas tambahan, perlu membayar sejumlah yuran, meluangkan sedikit waktu untuk pensyarah memberi penerangan serta menerima dengan baik segala arahan yang diberikan.

Demikian adalah antara contoh latihan secara tidak formal yang diberikan kepada kita sepanjang pengajian di sini sebagai persediaan kita untuk menjadi seorang pendidik di masa hadapan. Kita sedia untuk menerima arahan daripada pihak pentadbir sekolah untuk menjadi pembantu dan ahli jawatankuasa sesuatu program di sekolah. Kita sedia untuk menerima sebarang tugasan yang diberikan oleh guru besar kepada kita tanpa sebarang alasan penolakan. Kita juga bersedia untuk sebarang kemungkinan untuk dipindahkan ke tempat lain, sama ada berpindah sekolah atau berpindah ke jabatan lain dalam Jabatan Pelajaran Negeri contohnya, hanya sekiranya kita benar-benar ikhlas dalam perkhidmatan.


-YDP-