Feature Top (Full Width)

Wednesday, December 28, 2011

Bersedialah !

Bismillahirrahmanirrahim ..
Assalamualaikum, selamat sejahtera semuanya..

Apa khabar sahabat-sahabat warga IPG IK yang dirindui semua ?
Sihat dan sejahtera hendaknya dalam menikmati hari-hari terakhir cuti yang akan melabuhkan tirai tidak lama lagi.



Kami dengan penuh rasa kebersamaan dengan seluruh warga kampus yang dihormati, menyeru bersama-sama untuk memberikan peringatan kepada sahabat-sahabat yang lain, rakan sekelas, rakan sebilik, rakan serumah dan semua rakan-rakan yang ada agar tidak meninggalkan waktu cuti tanpa menyiap dan membereskan segala keperluan dan tugasan yang telah diberikan sebelum atau semasa cuti oleh pensyarah masing-masing.

Semoga dengan sempurnanya segala tugasan yang telah diberikan, dapatlah hendaknya kita memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai seorang bakal pendidik yang sedang melalui proses pembelajaran, melalui proses didikan dan masih lagi mempunyai rasa tanggungjawab untuk menuntut ilmu, walaupun dalam hari cuti.



Tidak dinafikan, ada sebilangan daripada kita menganggap ini adalah suatu beban, sesuatu yang menyusahkan, sesuatu yang mengganggu keseronokan bercuti. Tidak dinafikan, pasti ada sebilangan daripada kita menganggap ianya tidak patut, kerana cuti, adalah waktu untuk bercuti dan berehat.

Sahabat,

ingatlah setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.
Dalam kejadian malam yang gelap, tidak lama selepas itu, hadirnya cahaya siang yang terang benderang, dalam panas terik mentari, pasti turun mencurah hujan membasahi kekeringan bumi dan tidak mustahil, dalam kepayahan, dalam kesusahan itu pasti hadir satu masa nanti suatu kemanisan, kesenangan yang dizahirkan dalam bentuk kejayaan yang cemerlang atas segala usaha jerih payah yang telah kita lakukan.

Teman,

Gula itu manis, tapi tidak semestinya manis itu sentiasa membawa kebaikan kepada kita jika kita terus menikmati kemanisannya tanpa suatu kesedaran yang nyata. Penawar itu pahit, tidak sedap dan memualkan, tapi dari kepahitan dan rasa yang tidak sedap itu memberikan kebaikan dan penawar, kesembuhan sebagai usaha kita dengan izin dari Allah.




Ingatlah, boleh jadi sesuatu yang kita suka itu, membawa kemudaratan, keburukan kepada kita. Boleh jadi, sesuatu yang kita tidak sukai itu membawa kebaikan dan manfaat kepada kita.




Semoga dengan sedikit peringatan itu tadi, harapnya mampu memnyebarkan sedikit kebaikan kepada kita semua, bakal pendidik yang berjaya hasil daripada IPG Kampus Ilmu Khas yang berkualiti, dihormati dan berjasa kepada semua, InsyaAllah...

-XPJPP-

Sunday, December 25, 2011

Jadual Waktu Kuliah

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم dan selamat sejahtera semuanya :)




Sahabat-sahabat, tinggal beberapa hari saja lagi untuk kita menjejakkan kaki ke kelas masing-masing untuk melanjutkan pengajian kita sebelum bertugas sebagai seorang pendidik pada masa akan datang.



Seperti yang dijanjikan, pihak kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan yang terbaik untuk kemudahan bersama.

Sementara menunggu salinan yang akan diberikan kepada ketua kumpulan masing-masing nanti, kami sediakan untuk semua softcopy jadual yang diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk lebih bersedia menuju ke kelas masing-masing khususnya pada hari pertama pembukaan semester nanti.

Dengan jadual ini, dapatlah kiranya memberi peluang kepada kita semua untuk bersedia dari pelbagai aspek seperti menyediakan buku-buku atau sebarang keperluan yang perlu dibawa, pakaian yang sesuai dengan subjek pada hari berkenaan serta menghubungi pensyarah yang terlibat sama ada beliau ada atau tidak.

Jadi, dengan adanya persediaan awal yang kita lakukan, secara tidak langsung ianya memudahkan kita mengelakkan sebarang salah faham, seperti pakaian yang tidak selaras, tiada pensyarah pengganti atau aktiviti yang sesuai sekiranya pensyarah tidak masuk ataupun tertinggal buku dan kelengkapan lain yang diminta oleh pensyarah untuk membawanya.

Kami memohon maaf kerana banyak sekali kekurangan dalam jadual yang kami sediakan, kerana ramai staff dan pensyarah yang sedang bercuti pada waktu ini.

PISMP SEMESTER 1


PISMP SEMESTER 3


PISMP SEMESTER 5


PISMP SEMESTER 7


PPISMP SEMESTER 2


GSTT



Jadual waktu kuliah ini masih tidak lengkap lagi, kerana kesilapan dari pihak kami sendiri, insyaAllah akan cuba diperbaiki dan dikemaskini dalam masa yang terdekat, kerana kami tidak dapat memberikan jadual untuk B.Ed TEFL semester 7. Maaf atas kekurangan ini.


Berikut merupakan kalendar akademik ataupun interaksi para guru pelatih sepanjang semester bermula dari bulan Januari hingga Mei 2012, yang meliputi interaksi waktu kuliah, praktikum, PBS, amali, peperiksaan dan lain-lain.



Semoga dengan jadual ini, dapatlah hendaknya kita semua menguruskan masa serta merancang kewangan dan lain-lain perkara seperti urusan pembelian tiket dan tarikh yang sesuai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing serta perancangan untuk membeli keperluan dan kelengkapan yang lain.

Untuk renungan dan muhasabah kita bersama,

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memegang kedua bahu saya seraya bersabda: "Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara",
Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di waktu petang jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada di pagi hari jangan tunggu ke hari petang, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu." (Riwayat Bukhari).

-XPJPP-

Wednesday, December 14, 2011

Keputusan Peperiksaan & Jadual Waktu

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

السلام عليكم

Selamat sejahtera, kepada semua warga IPG Kampus Ilmu Khas.

Pertama sekali, terima kasih kepada semua rakan-rakan guru pelatih khususnya adik-adik semester 1 yang sangat peka dan rajin bertanya berkenaan dengan keputusan peperiksaan yang pertama kali dalam pengajian di sini, serta semua yang selalu bertanya tentang perkembangan terbaru yang telah dan akan berlaku di IPG kita.

InsyaAllah, dari pihak kami, kami akan cuba sebaik yang mungkin untuk menjawab persoalan serta sebarang kemusykilan dari anda semua dengan telus dan penuh rasa tanggungjawab.

Sebentar tadi, satu pertemuan dan sesi soal jawab ringkas bersama pihak HEP serta SUP telah diadakan untuk menjawab semua persoalan-persoalan anda. Berikut merupakan serba sedikit tentang perbincangan tadi :

Keputusan Peperiksaan.

Berdasarkan maklumat yang diterima dari pihak SUP, semakan keputusan peperiksaan secara online hanya dibuka untuk kumpulan yang menduduki peperiksaan akhir sahaja, seperti PISMP semester 8, PPISMP semester 3 serta KPLI. Untuk membuat semakan, anda hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan pada ruangan yang disediakan. Sila pergi ke pautan ini untuk membuat semakan :

Sistem e-Transkrip ---> http://ipgkpm.unitpen.edu.my/pelajar/index.php

Untuk kumpulan selain daripada yang telah dinyatakan, anda bolehlah mendapatkan keputusan peperiksaan anda pada semester hadapan pada tarikh yang akan ditetapkan oleh pihak SUP nanti.

Jadual Waktu Sesi Kuliah.

Pihak HEP memberitahu bahawa jadual ini akan dikemaskini dan didokumentasikan pada minggu yang terakhir bulan Disember dan akan dipaparkan pada papan kenyataan di hadapan bilik KISSM/Unit LDP yang berhadapan dengan Dewan Dato'Razali Ismail, serta akan diedarkan ke dalam pigeon hall kelas masing-masing pada semester hadapan.


Semoga dengan sedikit maklumat yang telah disampaikan ini dapat membantu dan menjawab persoalan dari anda semua dan pihak kami mengharap, menggalakkan serta sentiasa mengalu-alukan sebarang respon, komen, cadangan, laporan dan sebagainya untuk menjadikan sistem pengurusan serta permasalahan di kamus dapat dihadapi dengan baik.

"Daripada pelajar, untuk pelajar"

-XPJPP-

Wednesday, December 7, 2011

Apa cerita kampus yang terbaru ?

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua .

Apa khabar sahabat-sahabat yang sedang bercuti sekarang ?
Sihat dan sejahtera hendaknya di samping keluarga yang tercinta.

Terlebih dahulu, kita ucapkan tahniah kepada beberapa orang pensyarah kita, antaranya ialah para pensyarah dari Jabatan PJK, Dr Hj Mohd Razali Luddin, Cik Eleanor Ann Tan Lye Neo, Pn Kok Mong Lin, Cik Teng Siew Lian, Dr Munira Mohsin dan Pn Zaini Hassan, Pn Halimah Ahmad, En Govindarajan a/l Daniel, En Ch’ng Swee Ghiam, dan En Balkaran a/l Arumugam yang telah mengharumkan nama kampus kita pada beberapa hari yang lalu di Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif Kreatif Peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia telah berlangsung di Hotel Grand Blue Wave, Shah dari 21-23 Nov 2011.



Pasukan yang diberi jolokan nama EYE KAY TRANSFORMERS ini telah mempertaruhkan Transformer Amfibia yang telah memenangi Kumpulan Baru Terbaik daripada 43 penyertaan.

Berikut merupakan kata-kata dari Pengarah dan Timbalan Pengarah atas kejayaan ini.




Berkenaan dengan perkembangan di dalam kampus serta perkembangan untuk semester hadapan pula, buat masa ini kita masih lagi menunggu dari pihak-pihak yang berkenaan untuk melampirkan sebarang dokumen serta maklumat yang berkaitan, seperti takwim, jadual kuliah dan sebagainya.

Untuk pengetahuan semua, data-data yang ada pada beberapa papan kenyataan masih lagi tidak dikemaskini dan pastinya sedang dalam proses mengemaskini data. Hal ini juga dapat dilihat dengan kekosongan pada ruang-ruang papan kenyataan yang telah dibersihkan dari maklumat-maklumat serta helaian dokumen-dokumen yang telah lepas.

Setakat ini, takwim bagi semester hadapan yang telah kita perolehi adalah seperti berikut :


Dalam perkembangan lain, IPG Kampus Dato' Razali Ismail akan menerima kehadiran pengarah yang baharu, iaitu En. Ghulam Sarver Bin Mobarak Ali, yang sebelum ini berkhidmat bersama jemaah nazir di Kuala Lumpur. Beliau akan mula bertugas di kampus berkenaan pada tahun hadapan.



InsyaAllah, pihak kami akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik bagi menyampaikan perkembangan luar dan dalam kampus dalam masa yang terdekat untuk kesenangan kita semua.


-XPJPP-

Saturday, November 19, 2011

Bila peperiksaan sudah berakhir, maksudnya..?

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua..

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, telah dipermudahkan olehNya segala urusan kita untuk menempuhi pahit getir dugaan pada setiap helaian kertas soalan..




17 November 2011 merupakan tarikh penutup kepada semua sesi peperiksaan akhir semester tahun 2011, walaupun waktu peperiksaan tidak sama.

Apabila berakhirnya peperiksaan, maka itu menandakan akan bermulanya satu lagi episod kehidupan yang baru seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Itulah waktu untuk meluangkan waktu bersama keluarga dan itulah waktu untuk merehatkan minda dan fikiran daripada belenggu tugasan yang menimbun.

CUTI !!



Kepada semua sahabat-sahabat guru pelatih, gunakanlah waktu cuti kita dengan sebaik-baik pengisian. Seeloknya kita rangka satu jadual khas, apa yang kita perlu buat dan apa yang kita tidak perlu buat ketika cuti nanti.

Sebagai pesanan, kurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan memberi manfaat kepada kita, baik dari segi mental dan fizikal. Banyakkanlah meluangkan masa bersama keluarga, mengimbau kembali kenangan-kenangan indah bersama rakan-rakan ketika di bangku sekolah dulu serta banyakkan aktiviti bersama saudara-mara dan keluarga seperti pergi bercuti, menghadiri majlis-majlis perkahwinan, memperbanyakkan ziarah keluarga-keluarga terdekat serta ziarah kawan-kawan yang sekampus dengan kita.




Selain itu sahabt-sahabat, jangan kita lupa juga tanggungjawab kita sebagai seorang muslim yang baik untuk meluangkan masa menghadiri majlis-majlis ilmu di surau atau masjid yang berhampiran, bersama rakan-rakan dan adik-beradik sendiri. Inilah waktu yang sesuai untuk kita, sebagai seorang guru pelatih untuk membiasakan amalan baik ini bermula dari ahli keluarga kita sendiri, serta membiasakan diri dan merapatkan kembali ukhuwwah bersama jiran tetangga setelah sekian lama tidak pulang ke kampung.

Wednesday, November 9, 2011

Hadapi Peperiksaan dengan Senyuman

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semuanya..

Tekunnya mengulangkaji..



Minggu ini, bermula dari 9 November 2011 hingga 17 November 2011 nanti insyaAllah, para guru pelatih akan menduduki peperiksaan akhir semester sebelum menikmati cuti panjang selama sebulan lebih sehingga awal Januari 2012 nanti.

Bermacam-macam cara serta kaedah belajar yang kita boleh lihat di sekitar kampus pada dua minggu ini, ada yang memenuhi ruang wakaf dengan membuat 'study group', ada yang membuat perbincangan di kawasan perpustakaan, ada yang lebih suka menyendiri di dalam bilik/rumah dengan membaca nota dan sebagainya.

Semoga dengan usaha kalian semua membuahkan hasil seperti yang diimpikan oleh semua untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya mendapat jumlah pointer yang tinggi.

Dalam mengejar sesuatu kejayaan, 3 perkara yang tidak boleh dipisahkan ialah :

1) Usaha
2) Doa
3) Tawakkal

1) Usaha
Usaha yang telah kita buat adalah seperti membuat ulangkaji, perbincangan dan juga perhatian yang sepenuhnya ketika di dalam kelas, banyak bertanya kepada pensyarah serta tidak jemu untuk terus membuat ulangkaji. Keputusan yang bakal kita terima nanti adalah ukuran kepada usaha yang telah kita buat sebelum itu. Suka kami kongsikan satu petikan kata-kata seorang pakar motivasi;
"Kejayaan tanpa usaha itu adalah satu kebetulan, kejayaan dengan usaha itu adalah satu kepuasan"




2) Doa
Setelah berusaha bersungguh-sungguh, berdoalah kepada Tuhan, semoga dipermudahkan segala urusan ketika menghadapi peperiksaan nanti, bangun awal, datang tepat pada waktunya, kad pengenalan dan kad pelajar tidak tertinggal, dapat mengingat semula apa yang telah diulangkaji sebelum itu serta dapat menjawab semua soalan tanpa meninggalkan satu soalan pun tanpa sebarang jawapan. Berusaha tanpa meminta pertolongan dari yang maha mendengar, maha mengetahui, yang maha pengasih dan maha penyanyang itu umpama kita sudah boleh menguruskan hidup kita sendiri, tanpa bantuan dari yang lain. Tidak sia-sia untuk kita meminta kepada Tuhan, kerana sesungguhnya Dia tidak sekali-kali mengabaikan permintaan hambaNya yang tidak pernah lupa kepadaNya tanpa mengira waktu, senang ataupun susah.

3) Tawakkal
Setelah selesai menjawab semua soalan dengan tenang, selesai semua kertas soalan peperiksaan dan hanya tinggal menunggu masa untuk menikmati cuti panjang, maka dengan itu, berserahlah segalanya kepada Tuhan, kerana segala ketentuan yang akan berlaku hanyalah dengan kehendakNya.




Semoga dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang, elakkan tekanan dan pergaduhan sesama rakan. Jangan lupa, melangkah dengan kaki kanan ketika masuk ke dewan peperiksaan, baca Bismillah dulu, sebelum buka kertas soalan, bacalah doa penerang hati, minta supaya dipermudahkan, dan diberi petunjuk..

Sunday, November 6, 2011

Eidul Adha Guru Pelatih di Perantauan

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua ..

Hari ini, 10 Zulhijjah 1432H, bersamaan dengan 6 November 2011, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam, hari raya Eidul Adha, baik di kampung halaman sendiri dan juga di perantauan.

Seawal jam 8 pagi, laungan takbir bersahutan di bandaraya metropolitan Kuala Lumpur, dari segenap masjid dan surau.

Begitu juga dengan para guru pelatih yang tidak balik ke kampung halaman masing-masing, menghadapi perayaan di perantauan sudah menjadi sebahagian daripada rentetan pahit dan manis kehidupan seorang penuntut ilmu yang berjauhan dengan keluarga yang tercinta.

Surau Ta'dib IPG Kampus Ilmu Khas pada pagi tadi dihiasi dengan bait-bait laungan takbir mengagungkan, memuji serta mengesakan Allah dilafazkan oleh para guru pelatih yang sinonim dengan gelaran perantau.



Ramai yang hadir mengimarahkan surau kampus yang tidak sebegitu gah untuk dibandingkan dengan masjid yang ada di institusi pengajian tinggi yang lain. Kesedihan berjauhan dengan keluarga dan sanak-saudara tidak terasa apabila kemeriahan hari raya eidul Adha dikongsi bersama sahabat-sahabat seperantauan.








Solat sunat eidul adha dikendalikan sendiri oleh para guru pelatih, khutbah disampaikan sendiri oleh guru pelatih, begitu juga imam dan juga para ma'mum. Dianggarkan jumlah jemaah yang hadir menunaikan solat sunat eidul adha tadi kira-kira 60 orang, termasuk muslimin dan muslimat.

Penghayatan dan kefahaman berkenaan dengan sambutan hari raya eidul adha ini telahpun diberikan di dalam akiviti usrah mingguan, agar para guru pelatih menyambut hari kebesaran islam ini dengan kefahaman dan juga penghayatan seperti yang dianjurkan oleh agama.



Begitu besar sekali peranan surau kita dalam membina sahsiah serta peribadi guru muslim ke arah membina generasi guru dan masyarakat rabbani di masa akan datang dengan memberikan para guru pelatih ilmu-ilmu serta kefahaman tentang agama serta pada masa yang sama mengeratkan tali persaudaraan antara guru pelatih melalui program dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pengajian Islam dan Moral ( JAPIM ) dengan kerjasama padu yang telah dijalankan oleh pihak Persatuan Guru Pelatih Islam ( PGPI ).

Thursday, November 3, 2011

MAJLIS IBADAH QURBAN 1432H


Pada 9 November 2011 ( rabu ), satu majlis ibadah qurban peringkat IPG Kampus Ilmu Khas (IPG IK ) yang akan dijayakan dengan kerjasama seluruh warga IPG IK termasuk pensyarah, pegawai pengurusan, staf, guru pelatih, pegawai kebersihan swasta dan juga pegawai keselamatan.

Program ini mensasarkan penglibatan hampir 1500 orang warga IPG IK termasuk yang bukan muslim. Sebelum menjayakan program ini, pihak staf dan para pensyarah termasuk orang persendirian telah menyumbang untuk mendapatkan lima ekor lembu untuk disembelih pada hari berkenaan.

Beberapa orang petugas khas dijemput dari Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam untuk membantu proses penyembelihan agar bertepatan dengan cara dan kaedah yang betul, di samping memberikan tunjuk ajar kepada semua hadirin tentang cara-cara sembelihan yang betul.

Daging sembelihan berkenaan akan disedekahkan kepada penduduk setempat, di flat Seri Melaka, para petugas dari Masjid Az-Zubair Ibnu Awwam, para peserta program (staf,pensyarah dan lain-lain) serta yang selebihnya akan dimasak untuk jamuan pada hari tersebut.

Semua guru pelatih, staf, pegawai-pegawai & seluruh warga IPG IK dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis, terutamanya majlis jamuan yang akan diadakan pada waktu tengahari, selepas selesai aktiviti melapah dan memasak.



Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكاً لِّيَذْكُرُواْ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُمْ مِّن بَهِيمَةِ ٱلأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu”.(Surah al-Hajj: 34)

Thursday, October 20, 2011

Guru pelatih hebat & berbakat !

Bismillahirrahmanirrahim~

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera semua ~


Sepanjang bulan Oktober, pihak Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ( JPP ) telah menganjurkan beberapa aktiviti yang melibatkan penyertaan dari guru pelatih interkampus dan juga intrakampus, antaranya ialah :

Outing for Photographer's Talent in Ilmu Khas ( OPTIK )

Program ini dianjurkan oleh pihak JPP Exco Penerbitan dengan usahasama ahli dalam exco bersama pihak multimedia IPG IK serta tajaan beberapa pihak luar, seperti Syarikat Jassa Bandar Tun Razak yang telah menyumbangkan bunting untuk tujuan promosi serta tajaan dari pihak yang lain untuk hadiah dan juga sumbangan persendirian dari pensyarah.

Pertandingan fotografi ini terbuka kepada semua guru pelatih IPG Kampus Ilmu Khas. Ianya dijalankan dalam 2 peringkat, pertama fasa pertandingan selama seminggu, bermula dari 1-9 Oktober 2011 para peserta diberi masa untuk menghantarkan foto yang diambil, samaada di dalam kampus ataupun di luar kampus. Selepas itu, semua foto yang telah dihantarkan ke emel Exco Penerbitan dicetak dan dipamerkan kepada umum dan juga untuk dinilai oleh juri. Pameran bermula pada 11-18 Oktober 2011 di Laman Media IPG IK.



Alhamdulillah, penganjuran yang julung kalinya diadakan di IPG IK ini mendapat sambutan yang sangat baik dari guru pelatih, kerana penyertaan yang diterima melebihi target awal yang telah dijangkakan.

Pada 15 Oktober pula, setelah dirancang dari semester lepas, akhirnya program Jaguh Rentak Ria ( JRR ) yang pernah diadakan tahun lepas telah berjaya dianjurkan oleh pihak JPP yang melibatkan penyertaan dari beberapa buah IPG. Kehadiran para penonton yang datang pada malam itu menggalakkan, kerana kehadiran penonton bukan sahaja dari kalangan warga IPG, juga dari komuniti luar yang berhampiran.

Namun begitu, persembahan dari artis, iaitu Fiq Mentor kurang mendapat sambutan, kerana beliau hanya menyanyikan 3 buah lagu. Boleh jadi, penonton menginginkan lebih dari 3 lagu ataupun mereka sudah tidak sabar untuk mengetahui keputusan dari semua kumpulan kugiran yang sangat hebat membuat persembahan pada malam itu.

Sekali lagi, kugiran tuan rumah, Friends & The Stranger mengekalkan kejuaraan tahun lepas menewaskan 10 buah IPG yang bertanding. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua IPG yang telah berjaya membuat persembahan.

Terima kasih juga diucapkan kepada beberapa pihak yang telah turut sama menyumbangkan hadiah serta tenaga dan masa untuk menjayakan program ini, terutamanya pihak Etiqa Insurans dan juga sumbangan dari individu yang telah memberikan sumbangan hadiah dan lain-lain.

Friday, October 14, 2011

Jaguh Rentak Ria 2011

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua..

Pada 15 Oktober 2011, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) IPG Kampus Ilmu Khas akan mengnjurkan Jaguh Rentak Ria ( JRR ) 2011 yang bertempat di Dewan Dato Razali Ismail, IPG Kampus Ilmu Khas.

JRR akan dilangsungkan pada sebelah malam bermula jam 7 petang hingga selesai. Beberapa IPG telah mengesahkan penyertaan mereka dalam pertandingan kugiran ini, antaranya ialah :

-IPG Kampus Ilmu Khas

-IPG Kampus Pendidikan Teknik

-IPG Kampus Bahasa Melayu

-IPG Kampus Sultan Abdul Halim

-IPG Kampus Temenggong Ibrahim

-IPG Kampus Perlis

-IPG Kampus Persekutuan Pulau Pinang

-IPG Kampus Darul Aman

-IPG Kampus Ipoh

-IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan

-IPG Kampus Tengku Bainun


Setelah pertandingan antara IPG selesai, JRR akan diserikan lagi dengan penampilan khas artis jemputan, iaitu Fiq Mentor.

Tiket masuk JRR dijual dengan harga RM4 sahaja untuk pelajar, RM5 untuk pensyarah dan RM10 untuk ketua jabatan dan unit.

Tuesday, October 4, 2011

Hubungi Kami

Alamat:


Jawatankuasa Perwakilan Pelajar
IPGM Kampus Ilmu Khas,
Jalan Yaacob latiff, 56000
Cheras, Kuala Lumpur






e-mel:

Sunday, October 2, 2011

Guru pelatih pun boleh buat.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua.

Pada bulan September yang lepas, pelbagai program Institut yang dianjurkan oleh guru pelatih sendiri telah selamat dilaksanakan dengan jayanya.

Antara program yang telah berjaya dilaksanakan ialah Karnival Sukan IPG IK yang melibatkan dua medan sukan yang telah memperlihatkan aksi masing-masing, iaitu ragbi dan bola tampar yang telah diadakan 24-25 September 2011.


Pelbagai aksi menarik sempat dirakamkan sepanjang berlangsungnya karnival sukan selama dua hari itu.
Pasukan bola tampar IPG Kampus Ilmu Khas yang diberi nama VOLKIK


Pasukan Ragbi IPG IK, dengan jolokan nama LYCAN A dan B ( Jersi hijau & merah ) beraksi lincah mengharungi halangan dari pihak lawan.


Seterusnya ialah Karnival Matematik Pendidikan Khas yang telah dianjurkan oleh guru-guru pelatih opsyen pendidikan khas PISMP semester 2 pada 26 September 2011 bertempat di Dewan Dato Razali Ismail. Program ini juga turut melibatkan beberapa buah sekolah rendah yang membawa murid pendidikan khas untuk menyertai dan bersama-sama menjayakan karnival berkenaan.



Pada 29 September 2011 pula, guru-guru pelatih opsyen Pendidikan Jasmani PISMP semester 2 ( G 2.5 & G 2.6 ) menganjurkan Pameran Kesihatan dan Seksualiti yang bertempat di ruang legar perpustakaan IPG IK.



Pada 26, 28 dan 30 September pula, Persatuan Guru Pelatih Islam ( PGPI ) menganjurkan Program Smart Solat, bertempat di Surau At-Ta'dib IPG IK. Program ini diadakan setiap kali selepas solat fardhu maghrib dalam sesi kuliah maghrib. Ketiga-tiga slot kuliah itu disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Abdul Fatah Yusuf.


Tahniah diucapkan kepada semua guru pelatih yang terlibat secara langsung atau tidak dalam program-program yang telah dilaksanakan, sebagai penganjur atau tidak. Perkara yang paling penting ialah pengalaman yang kita dapat daripada penganjuran-penganjuran program seperti ini boleh diaplikasikan apabila menjadi seorang guru kelak.