Feature Top (Full Width)

Saturday, July 21, 2012

Dedikasi Ramadhan 1433H



 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
Firman Allah SWT,


 يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa"
[Surah Al-Baqarah, 2:183]



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah memberi peluang kepada kita untuk sekali lagi menikmati kemanisan beribadah dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini, Ramadhan yang dirindui.

Sebelum ini, kita selalu mendengar atau melihat istilah 'sekolah Ramadhan' kan?

Kenapa menggunakan perkataan sekolah ?

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,

Dalam kehidupan ini kita memerlukan persediaan yang rapi sebelum menghadapi sesuatu.

Istilah sekolah yang digunakan untuk menjelaskan tentang perihal Ramadhan sangat jelas dalam memaknakan tarbiyyah atau pendidikan yang diterapkan kepada umat Islam dalam bulan ini.

Sebagai contoh.
Untuk menghadapi hidup pada masa akan datang, manusia perlu membuat persediaan lebih awal dalam tempoh yang tertentu dengan cara yang tertentu.

Bagi kanak-kanak, sekolah ialah institusi awal yang memberikan mereka ilmu, khususnya yang akan digunakan sepanjang tempoh persekolahan dan juga untuk seumur hidup, seperti kemahiran mengira, membaca dan menulis. Dalam tempoh 6-7 tahun, kanak-kanak bersekolah sebagai langkah awal untuk memberi pendidikan dan latihan untuk mempersiapkan diri bagi mendepani masa hadapan yang lebih banyak cabarannya.

Oleh kerana itu, istilah sekolah digunakan untuk menjelaskan erti kata Sekolah Ramadhan, kerana jika istilah sekolah tadi digunakan khas untuk membina kemahiran dan peribadi murid, kita tukarkan pula kepada istilah kepada seorang Muslim, khusus untuk Sekolah Ramadhan.

Ramadhan adalah institusi yang mendidik peribadi dan gaya hidup seorang Muslim dalam tempoh sebulan, untuk mempersiapkan seorang Muslim itu sebelum menghadapi hidup yang penuh cabaran dalam 11 bulan yang akan datang.



Maka dalam bulan inilah seorang Muslim itu 'diajar' untuk bangun lebih awal untuk bersahur. Kerana setiap amalan yang dilakukan pada bulan ini dilipat gandakan, sebaiknya lakukanlah solat tahajud sebelum sahur.

Maka dengan itu, bangun awal itu akan menjadi kebiasaan pada masa akan datang apabila benar-benar dipraktikkan selama sebulan, begitu juga dengan amalan yang lain.

Apa yang dapat disimpulkan ialah, puasa itu dapat membentuk diri kita menjadi seorang Muslim yang Muttaqin apabila kita benar-benar menghayati makna sebenar ibadah itu dan sentiasa mencari ilmu akan kelebihannya.

Dalam tempoh sebulan inilah kita akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia, yang akan mengurangkan pahala puasa dan juga yang boleh membatalkan puasa.

InsyaAllah, jika ibadah kita itu ikhlas kerana ingin mendapat redha daripada Allah, ibadah itulah yang akan membentuk diri kita menjadi seorang Muslim yang disukai oleh Allah, hidup berlandaskan syariat dan sentiasa merindukan keredhaan Allah dan juga mencontohi akhlaq Rasulullah SAW.

Maka dengan itu, jangan persiakan peluang yang ada, rancanglah pengisian Ramadhan kita semua dengan mempersiapkan diri dengan mencari dan mendalami ilmu pengetahuan tentang Ramadhan, agar ibadah kita lebih difahami, dihayati, bukannya hanya melemahkan badan dan berlapar dahaga percuma.

Organisasikan setiap hari yang akan dilalui, bahagikan sebulan ini kepada 3 fasa utama, 10 hari yang pertama, kedua dan ketiga itu hendaklah dirancang dengan baik, bagi mengelakkan ianya berlalu tanpa membawa sebarang makna dan tidak mampu mendidik dan membentuk jiwa dan peribadi kita.

10 hari yang pertama adalah fasa yang memiliki semangat dan kekuatan yang baru !
Surau dan masjid sesak dengan para jemaah dan amalan ibadah kita masih lagi dalam keadaan bersemangat baru !

10 hari yang kedua adalah fasa yang perlukan kepada pengekalan momentum dari semangat fasa pertama. Jika mula lelah, kurangkan sedikit, tapi ibadahnya jang terus berhenti ! Momentum harus dikekalkan, dikhuatiri nanti jika momentum tidak konsisten, bila-bila saja kita boleh terhenti sebelum sampai ke fasa yang terakhir.

10 hari yang terakhir adalah fasa untuk menggunakan segala semangat dan momentum yang ada dari fasa pertama dan kedua, kerana pada fasa ini kita semakin menuju ke arah penghabisan tempoh latihan yang ditetapkan sebelum menghadapi fasa kehidupan yang panjang untuk masa hadapan. Yang merisaukan ialah fasa ini adalah fasa persiapan lebaran, sedangkan fasa inilah merupakan fasa kemuncak dan kegemaran para peraih dan pencari redha Allah.

Jika kita perhatikan perjalanan sepanjang Ramadhan dalam 3 fasa tadi tidak ubah seperti pergerakan seorang atlet pelari pecut. Dimulakan dengan tenaga dan semangat yang sangat tinggi, di pertengahannya kelajuan dan semangatnya dikekalkan, kemudian menghabiskan larian dengan sepenuh tenaga untuk sampai ke garisan penamat dengan kemenangan yang penuh bermakna.

Apakah kita Ramadhan ini sekadar berlalu tanpa memberi apa-apa makna kepada kita?

Sabda Rasulullah SAW,
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” 
(Riwayat Bukhari)

Oleh itu, penuhilah bulan yang penuh dengan keberkatan ini dengan kebaikan, kebajikan, ibadah serta amalan hasanah yang lain, kerana setiap perbuatan baik yang dilakukan ketika berpuasa adalah ibadah yang dilipatkaligandakan ganjaran pahalanya.

Al-Dailami meriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: 
Diam orang puasa merupakan tasbih, tidurnya adalah ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.

Ayuh semua rakan-rakan,

PERKAYAKAN TARBIYYAH, GANDAKAN IBADAH !