Feature Top (Full Width)

Wednesday, May 23, 2012

AKTA 174 - Apa yang anda perlu tahu ?

Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua warga kampus dan pembaca yang budiman.

Alhamdulillah, pada hari ini, 23 Mei 2012, bersamaan dengan 2 Rejab 1433H. Peperiksaan insyaAllah akan selesai menjelang esok hari, 24 Mei 2012 dan semua rakan-rakan guru pelatih PPISMP, PISMP, GSTT, DPLI dan yang lain-lain akan bercuti selama beberapa minggu bermula pada 26 Mei 2012 hingga 17 Jun 2012.

Pada kali ini, mari sama-sama kita imbas kembali minggu-minggu awal kita berada di IPG IK ini. Kita kecilkan lagi skop, minggu pengurusan pelajar baharu. Pasti ada yang sedang mengingat akan perkara seperti LDK, sesi taklimat, hari pendaftaran dan juga sesi bersama JPP di malam hari yang tidak boleh dilupakan.

Ada yang masih ingat tentang taklimat berkenaan AKTA 174 ?

[MUAT TURUN AKTA 174]

Secara ringkasnya, apa yang terlintas di fikiran kita berkenaan dengan Akta 174 itu ialah perkara-perkara yang termaktub dalam Undang-undang Malaysia yang digubal dan diperkenankan pada tahun 1976, khususnya sebagai satu warta, perlembagaan dan juga garis panduan bagi sesuatu institusi pendidikan yang menguatkuasakan penggunaan akta ini kepada pihak pelajar amnya dengan menjelaskan akan hal-hal yang berkaitan dengan peraturan am, kesalahan-kesalahan, tindakan serta perkara-perkara yang berkaitan dengan tatatertib di dalam dan juga di luar kampus selagi mana sesorang itu masih lagi berstatus sebagai seorang pelajar yang berdaftar di institusi berkenaan.



Akta ini mula berkuatkuasa ke atas kita sejurus selepas kita telah melengkapkan borang perjanjian serta mendaftarkan diri secara rasmi dengan pihak institut.

Maka dengan itu, adalah wajib bagi setiap pelajar untuk mematuhi segala perkara yang telah dinyatakan di dalam akta berkenaan sebagai salah satu cara untuk kita sebagai seorang guru pelatih khususnya mendisiplinkan diri untuk menjadi seorang bakal pendidik yang komited dengan undang-undang negara serta menjaga kredibiliti sebagai seorang guru yang berjiwa pendidik dengan asas disiplin yang kukuh sejak dari fasa latihan lagi.



Namun begitu, saban hari tanpa kita sedari apabila kita cuba singkap dan semak perkara-perkara yang terdapat di dalam akta tersebut, pasti ada salah satunya telah kita ingkari serta kita lakukan sebagai kebiasaan malah menjadi rutin tanpa ada sebarang rasa kesedaran yang jelas akan tindakan yang boleh diambil ke atas kita dengan perlakuan yang telah kita buat.



Sungguh pada kali ini, pihak institut tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan bagi mana-mana perkara yang boleh disabitkan kepada kita atas perkara larangan atau kesalahan tatatertib yang telah kita lakukan sama ada sedar atau tidak, kerana teguran dan peringatan telahpun diberikan dari masa ke semasa, tetapi tidak ramai yang cakna akan perkara ini.

 GAMBAR HIASAN

Mutakhir ini sering saja berlaku perkara-perkara yang boleh disabitkan kesalahan kepada si pelakunya dan tindakan yang sewajarnya akan diambil sekiranya masih tiada sebarang perubahan yang berlaku, kerana walaupun sekecil perkara yang berlaku di luar institut yang boleh disabitkan kesalahan, perkara itu akan sampai juga akhirnya kepada pengetahuan pihak institut khususnya Hal Ehwal Pelajar dan juga pihak-pihak yang berkenaan seperti pihak pentadbiran dan sebagainya.



Walaupun begitu, ramai antara guru pelatih yang menganggap perkara ini remeh dan tidak perlu bimbang dengannya berikutan tiada tindakan yang diambil. Maka dengan itu, menjelang semester hadapan, penguatkuasaan akta ini akan diperketatkan sekiranya berlaku perkara-perkara yang benar-benar bercanggah dengan pelembagaan dan menyalahi undang-undang dan tatatertib sebagai seorang pelajar.

Oleh itu, kami dari pihak Jawatankuasa Perwakilan Pelajar memohon kerjasama daripada semua rakan-rakan guru pelatih agar sama-sama kita dapat mengingatkan rakan-rakan lain yang kita rasakan perlu mendapat perhatian, bimbingan, teguran dan juga nasihat, agar kita sama-sama dapat menghabiskan pengajian kita yang masih lagi berbaki beberapa semester sahaja lagi dengan cemerlang dan insyaAllah akan menjadi graduan yang cemerlang dan berkualiti untuk ditempatkan di sekolah-sekolah yang sedang menunggu kehadiran kita.

Kerjasama daripada semua rakan-rakan juga sangat diperlukan dan dihargai sekiranya anda semua mendapati atau mengetahui akan hal-hal yang perlu diambil tindakan segera kepada pihak kami (JPP) untuk mengelakkan sebarang kemungkinan dan hal yang lebih buruk akan berlaku.

-YDP-

No comments: