Feature Top (Full Width)

Wednesday, January 4, 2012

PERUTUSAN YDP JPP IPG KAMPUS ILMU KHAS SEMPENA SEMESTER BAHARU 2012



Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T dengan limpah dan kurnia-Nya beserta dengan nikmat kesihatan yang tidak terhingga dapat kita sama-sama melangkah ke tahun 2012 bagi menyambung pengajian kita dibumi Kampus Ilmu Khas yang kita kasihi sekalian. Mudah-mudahan langkahan yang diiringi dengan azam dan semangat yang berkobar-kobar akan mendapat keredhaan dan keberkatan Allah S.W.T.



Bermulanya semester baharu ini membuktikan masa begitu pantas meninggalkan kita. Sedar tidak sedar kehidupan kita di kampus semakin sampai ke penghujungnya. Paling ketara perbezaan kita pada tahun ini berbanding tahun lepas adalah bertambahnya satu angka pada umur kita yang membuktikan kita sepatutnya lebih matang berbanding tahun-tahun sebelum ini. Sifat matang sepatutnya berkembang seiring dengan penambahan umur kita. Lebih-lebih lagi kita sebagai seorang mahasiswa yang akan menjadi seorang guru kelak perlu bersifat lebih matang dan produktif ke arah untuk mencapai kecemerlangan diri sebagai pendidik. Namun saya ingin tegaskan kepada sahabat-sahabat sekalian supaya jangan sesekali lupa kepada kecemerlangan akhirat.

Sahabat-sahabat mahasiswa yang dikasihi sekalian,

‘Musim’ baru kita pada semester ini akan diserikan dengan kepulangan sahabat TEFL Cohort 1 dari Negera Kanggaru. Mereka akan menyambung baki 1 tahun pengajian mereka di sini. IPG kita juga turut diserikan dengan kehadiran ‘abang dan kakak junior’ daripada program GSTT KPLI yang akan mula mendaftar pada 9 Jan 2012. Namun seri yang kita kecapi tidak dapat dikongsi bersama abang dan kakak pismp ambilan Januari 2008 yang baru sahaja menamatkan pengajian mereka di sini. Walau bagaimanapun sekalung tahniah kepada mereka kerana berjaya menempuhi alam pembelajaran mereka dengan cemerlang. Mudah-mudahan mereka dapat mencurahkan bakti kepada anak bangsa dengan penuh ikhlas untuk mendidik.

Sahabat sekalian,



Saya ingin melaungkan bahawa kita sebagai mahasiswa bakal guru merupakan aset yang penting kepada negara dan masyarakat kerana kitalah yang akan mencorak anak bangsa kelak. Cemerlangnya kita mendidik anak bangsa kita, cemerlanglah masyarakat kita mendatang. Persoalannya, bagaimanakah kita ingin mendidik anak bangsa kita dengan cemerlang? Rasanya jawapannya ada dalam diri rakan-rakan mahasiswa sekalian. Saya percaya masyarakat diluar sana percaya dengan kebolehan kita namun kita mesti membalas kepercayaan mereka dengan melahirkan anak bangsa yang cemerlang daripada segenap aspek.



Di sini juga saya ingin menggesa kepada mahasiswa kampus sekalian supaya lebih berani menonjolkan diri di medan sebenar dan bukannya hanya sekadar menonjol di laman sosial seperti Blog dan Facebook, halaman akaun Facebook saya dan mana-mana laman sosial yang lain. Bukannya salah tapi di alam nyata momentumnya lebih ampuh dan menunjukkan sikap profesional kita yang tinggi berbanding di alam maya. Cuba realitikan idea-idea yang sering kita paparkan pada ruangan laman sosial demi kemajuan mahasiswa IPG Kampus Ilmu Khas. Hapuskan sikap-sikap negatif yang selama ini menjadi tembok kepada kita dalam usaha untuk mencemerlangkan diri.

Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan kita pada semester baharu ini. Azam yang tinggi tanpa tindakan juga menjadikan matlamat kita menjadi sia-sia. Kita perlu mengkaji dan meneliti setiap perancangan secara holistik supaya hasilnya menuju kepada kesempurnaan.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin memohon maaf kepada seluruh mahasiswa IPG Kampus Ilmu Khas jika ada kesilapan ketara mahupun selindung disepanjang saya meneraju tampuk pimpinan sebagai Yang Dipertua Pelajar. Mudah-mudahan iringan doa sahabat sekalian pada semester baharu ini dapat menjadikan saya lebih cekap dan efisyen dalam memikul amanah yang terlalu besar ini.

Sekian daripada saya, terima kasih.
Yang benar,
____________
Mohd Huzaifi Bin Sulaiman
YDP JPP IPG Kampus Ilmu Khas
" Daripada Pelajar, Untuk Pelajar "