Feature Top (Full Width)

Friday, March 2, 2012

Perjumpaan JPP baharu bersama pihak pentadbiran




Pada 24 Feb 2012, bersamaan dengan hari Jumaat yang lepas, satu sesi perjumpaan antara barisan JPP yang baharu serta pihak pentadbiran yang terdiri daripada Pengarah, En.Shaari bin Osman, Timbalan Pengarah, Puan Hajjah Rohana binti Kamaruddin, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar ( HEP ), Tn.Hj Saharudin bin Suhadi,En. Zainal Arifin dari pihak pentadbiran, Dr. Rorlinda Yusof bersama dengan Puan Norliza Jaafar selaku penasihat, En.Yusri Hussein dan Cik Hawa binti Hashim.

Agenda pertemuan singkat dari jam 2 hingga 5 petang itu adalah untuk membincang serta memberi penerangan akan hal-hal dan isu-isu terkini dan berbangkit yang perlu diberi penerangan khusus kepada pihak JPP daripada pihak pentadbiran dan pengurusan sendiri bagi mengelakkan sebarang percanggahan dan kesilapan maklumat.

Antara isu/hal yang telah dibincangkan:
- Peperiksaan ulangan/ tamat kursus pelajar gagal
- Agihan kewangan
- Kafeteria


Terlebih dahulu, tuan pengarah selaku pengerusi perjumpaan pada petang itu mengutarakan isu berkenaan dengan sistem peperiksaan dan juga hal yang berkaitan dengan beberapa orang pelajar yang terpaksa menamatkan kursus atas sebab tidak mencapai peratus lulus dalam peperiksaan ulangan bagi peperiksaan yang lepas.

Bagi hal ini, beliau (pengarah) menegaskan bahawa, keputusan dalam peperiksaan bukanlah suatu perkara yang begitu anjal atau dalam erti kata lain flexible yang boleh diubah atau berubah mengikut situasi tertentu, kerana tindakan secara flexible dalam keputusan peperiksaan pelajar akan mempengaruhi sebahagian besar daripada kualiti pencapaian pelajar yang seharusnya mencapai peratus seperti yang telah ditetapkan dalam standard piawai untuk menilai sejauh mana efektiviti sistem peperiksaan ini mampu menilai kualiti pencapaian pelajar.

Oleh sebab itu, hal ini tidak boleh dipersoalkan, kerana ia adalah suatu keputusan tetap yang tidak boleh diubah walaupun mengikut situasi atau perkara-perkara lain untuk mengubah keputusan. Melahirkan seorang pendidik yang benar-benar berkualiti bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap remeh.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa sistem pendidikan di IPG tidak sama dengan IPT dan universiti, kerana di IPG, pendidikan diberikan secara percuma, manakala di IPT dan universiti menyediakan pendidikan secara berbayar, sekiranya pelajar tidak dapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, dibenarkan untuk mengulang semula peperiksaan sehingga lulus, asalkan yuran pengajian dijelaskan.

Maka dengan itu, keputusan tetap dalam menghentikan beberapa orang pelajar daripada kursus boleh dipertimbangkan sekiranya sistem pendidikan di IPG adalah sama dengan sistem pendidikan di IPT dan universiti, secara berbayar.

Suatu tindakan baik yang dilakukan oleh pihak JPP yang cuba untuk menyelesaikan masalah keciciran dalam kursus ialah membuat penyelarasan untuk setiap kelas mendahului sesi pnp dengan bacaan doa, memohoh keberkatan dan ketenangan dalam menimba ilmu. Perkara ini disambut baik oleh pihak pengarah sendiri sebagai suatu langkah untuk mengelakkan masalah yang telah berlaku pada semester lepas berulang lagi. Namun begitu, beliau menegaskan supaya pelajar tidak hanya bergantung kepada doa sahaja, tanpa usaha untuk memperbaiki diri sendiri.

Perkara yang kedua pula ialah berkenaan dengan isu agihan kewangan untuk kegunaan pelajar dan juga projek pembangunan kampus.

Bagi hal ini, En.Shaari menjelaskan bahawa agihan wang adalah selaras dan tidak ada sebarang unsur-unsur penyelewengan, seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini, elaun lambat dikeluarkan untuk menyiapkan projek membuat tandas dewan yang baru.

Perkara tersebut dijelaskan oleh beliau dengan membuat keterangan bahawa untuk setiap pengeluaran kewangan, adanya agihan yang khusus untuk pembayaran elaun pelajar, agihan khusus untuk projek pembangunan dan program rasmi institut. Beliau mencadangkan agar satu slot khas diadakan untuk memberi penerangan untuk perkara ini kepada semua pelajar, supaya tidak berlakunya salah faham dan tuduhan yang tidak berasas.

Beliau juga menambah, sumber kewangan yang diagihkan khusus untuk projek pembangunan sama sekali tidak boleh digunapakai untuk mendahulukan wang tersebut bagi tujuan membayar elaun pelajar, kerana perkara itu sudah menyalahi prosedur pengagihan wang. Selain itu, pihak pentadbiran juga berusaha sebaik yang mungkin untuk membuat pembayaran elaun kepada pelajar secepat yang mungkin, seperti semester ini, elaun dibayar tepat pada waktu yang dijanjikan. Tidak diakui adanya beberapa ketika elaun sedikit lambat dibayar, namun begitu, hal ini bukanlah berlaku pada pihak pentadbiran yang kononnya menyimpan wang berkenaan, kerana pelajar harus faham, proses dan prosedur pengeluaran dan pengagihan wang itu bukanlah dalam jumlah yang sedikit dan bukanlah suatu proses yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja.

Seterusnya ialah isu yang paling hangat diperkatakan di dalam portal laman sosial pelajar, iaitu isu kafeteria.


Tuan Pengarah cuba menjelaskan sebaik mungkin tentang isu ini agar semua yang hadir pada perjumpaan petang itu jelas akan situasi sebenar yang berlaku. Terlebih dahulu beliau memberitahu bahawa kontrak pihak kafeteria yang menyediakan makanan pada ketika ini akan berakhir pada 2013. Beliau tidak menafikan adanya suara-suara yang menyatakan pihak institut tidak ingin melepaskan tender pembekal tersebut setelah sekian lama kerana mempunyai kepentingan tertentu.

Sebenarnya, sudah banyak tender pembekal sudah menjadi pembekal di kampus ini sebelum pembekal pada hari ini, namun ianya tidak dapat bertahan dalam tempoh masa yang panjang, kerana tidak sanggup untuk meneruskan lagi kerana menyedia dan menguruskan sebuah kafeteria bukanlah suatu perkara yang mudah. Beliau cuba mengimbas kembali sejarah beberapa pembekal makanan yang sebelumnya, antaranya ialah pengusaha makanan di Taman Tenaga pada ketka ini dikenali dengan nama kedai Longkang itu dahulunya pernah menjadi pembekal makanan dan pengurus kafeteria di kampus ini, namun hanya dapat bertahan selama beberapa ketika sahaja kerana tidak tahan dengan pelbagai masalah yang timbul, di samping perlunya pengurusan masa, bahan, kewangan serta lain-lain perkara perlu dilakukan dengan lebih berkesan.

Beliau menjelaskan lagi, kita cuba mempertimbangkan cadangan untuk mencari pembekal yang baru, tapi sehingga ke hari ini, masih tidak ada lagi pembekal yang mengemukakan tawaran. Sekiranya ada pun, kita tidak boleh menjangka selama manakah pembekal yang baru itu boleh bertahan. Buat masa ini, masih belum ada lagi jalan penyelesaian yang diberikan oleh pihak pentadbiran untuk mengatasi masalah yang disuarakan oleh pelajar, melainkan cuba untuk bersabar dan cuba untuk menerima perkara ini dengan hati yang terbuka.

Selain itu, beliau juga menerima beberapa kenyataan dari pelajar untuk memboikot kafeteria sebagai salah satu langkah jalan penyelesaian. Beliau menjelaskan,tindakan memboikot itu adalah tindakan yang boleh menyelesaikan masalah atau tidak. Sekiranya selepas memboikot kafeteria dan perkhidmatan pihak pembekal terhenti dengan serta merta, sedangkan masih belum ada lagi tender pembekal yang boleh dan ingin menggantikan tender yang berhenti itu. Mana satukah tindakan yang lebih baik ?

Saya mencadangkan, jika pelajar sudah tidak ingin turun makan di kafe, elok kiranya pelajar membawa bekal sendiri.

Saya mendapat maklum balas daripada beberapa orang pensyarah IPG Teknik yang menyatakan bahawa makan di kafe kita sedap. Sedangkan ramai antara kita di sini menafikan perkara itu. Mungkin kita sudah setiap hari makan di sini, kita sudah biasa dengan rasa makanan di tempat kita sendiri.

Suara siswa minta diberikan perhatian dan solusi.

Beberapa orang JPP baharu yang pernah menerajui JPP sesi yang lepas tampil membawakan suara-suara siswa yang meminta penerangan serta cadangan solusi bagi segala masalah yang dihadapi melalui survey yang telah dilakukan. Antara perkara yang telah dibangkitkan dan dibincangkan bersama dengan pihak pentadbiran (pengarah dan timbalan) dan para pensyarah penasihat yang lain ialah :

- Cadangan bagi pemberhentian kursus pelajar yang gagal peperiksaan ulangan
- Penyelarasan semula sistem pelaksanaan program Bina Insan Guru
- Hal-hal berbangkit berkenaan Kafeteria
- Kebajikan JPP

Cadangan penyelesaian bagi pelajar yang gagal peperiksaan ulangan.

Dalam hal ini, para siswa mencadangkan agar pihak yang berkenaan agar membuat penyelarasan untuk membuat peperiksaan ulangan hanya untuk mata pelajaran yang gagal sahaja tanpa perlu menduduki kesemua subjek. Ini kerana, pelajar yang gagal dalam satu subjek, apabila diberi peluang untuk menduduki peperiksaan ulangan, pelajar berkenaan perlu mengambil kesemua sekali kertas soalan termasuk subjek yang lulus.
Peratusan untuk pelajar fokus terhadap subjek yang gagal adalah sangat rendah memandangkan tekanan serta bebanan yang banyak untuk mengulangkaji semula subjek yang lain, kerana soalan bagi peperiksaan ulangan bukanlah soalan yang sama dan memerlukan ulangkaji yang cukup.

Untuk memudahkan pelaksanaan dan mengurangkan kadar peratus pelajar yang gagal dan terpaksa dibuang, hal ini boleh dipertimbangkan sekiranya tiada fleksibiliti dalam pemberian markah dan sebagainya sebagai salah satu langkah penyelesaian dan pemudahcara bagi pelaksanaan peperiksaan ulangan.

Penyelarasan semula sistem pelaksanaan Bina Insan Guru.


Dalam hal ini, pelajar ingin meluahkan sedikit rasa tidak berpuas hati kerana terdapat beberapa siri Bina Insan Guru ( BIG ) tidak sistematik dari segi pelaksanaan serta keberkesanan program tersebut dalam mencapai matlamat.

Beberapa siri BIG sebelum ini dirasakan oleh beberapa kumpulan pelajar sebagai siri BIG yang cukup sekadar untuk menghabiskan silibus dan melaksanakan takwim semata-mata tanpa memikirkan akan keberkesanan serta pencapaian objektif dan matlamat sebenar program ini dijalankan.

Pelajar juga meminta penerangan daripada pihak yang berkenaan apabila mengetahui apakah faktor penyebab utama selain daripada faktor kewangan, aktiviti BIG semakin tidak menarik dan hanya untuk melaksanakan takwim. Sebagai contoh, mengecat garisan tempat letak kereta, membasuh kereta pensyarah, menyusun fail pejabat, mencabut rumput dan sebagainya, sedangkan pelajar difahamkan adanya agihan peruntukan dana khusus untuk aktiviti rasmi institut.


Hal-hal berbangkit berkenaan Kafeteria

Berkenaan dengan isu ini pula, pelajar yang membuat keterangan hanya mengulas sedikit sahaja kerana beberapa perkara yang lain telah diterangkan oleh pengarah sebentar tadi. Dalam hal ini, pelajar tidak meminta apa-apa kecuali langkah atau jalan penyelesaian yang mampu untuk meringankan bebanan pelajar berkenaan dengan masalah yang dihadapi di kafeteria di samping hanya terus bersabar dan cuba untuk memahami situasi yang sedang berlaku.

Dikhuatiri, jika tidak ada tindakan susulan untuk cuba mengatasi masalah ini, perkara ini akan berlarutan tanpa sebarang solusi malah semakin parah dan menambah masalah pelajar dan pihak kampus sendiri.

Kebajikan JPP.

Dalam hal ini, merujuk kepada respon pelajar tentang penyertaan ke dalam pencalonan Pilihanraya Kampus (PRK) yang semakin hambar setiap tahun adalah kerana risau dan takutnya pelajar untuk menjadi JPP.

Apabila ditanya dalam survey yang dibuat, rata-rata pelajar risau untuk dimarahi oleh pensyarah apabila tidak dapat menghadiri kuliah kerana terlibat dengan aktiviti rasmi institut.

Sahabat-sahabat semua, perkara ini harapnya jelas tentang peranan JPP akan adanya hari-hari tertentu akan terlibat dengan aktiviti rasmi institut. Namun begitu, terdapat segelintir pensyarah yang tidak faham akan situasi ini, malah memarahi pelajar berkenaan (JPP) sepertinya pelajar berkenaan tidak menghadiri kuliah atas alasan yang tidak munasabah serta melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Pihak JPP merayu agar perkara ini diberi perhatian agar semua pensyarah faham akan situasi serta keperluan JPP itu sendiri agar tidak semahunya memarahi dan menganggap penglibatan JPP dalam tugas rasmi institut tidak penting.

Seterusnya berkenaan dengan patching, Cik Hawa Hashim menjelaskan bahawa ianya bukanlah suatu beban, tetapi ianya adalah untuk kebaikan semua, kerana tidak mahu JPP ketinggalan dari aspek kecemerlangan akademik.

Dari pandangan sisi pelajar sendiri (JPP), untuk memudahkan perkara ini, pelajar berkenaan perlu memaklumkan lebih awal kepada pensyarah akan ketidakhadiran beliau ke dalam sesi kuliah dan akan meminta dan bertanya kepada rakan sekelas akan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarah serta input yang telah diberikan.

Rasanya patching bukanlah suatu bebanan yang sangat berat jika kita bijak untuk menguruskan masa.

Rasanya cukup sekadar ini untuk dikongsikan, semoga dengan usaha kecil ini, dapatlah kiranya untuk memberi penerangan dan penyelesaian akan hal-hal yang berbangkit. Hanya inilah usaha yang setakat ini berjaya dijalankan, kami dari pihak JPP akan terus komited bersama semua guru pelatih yang lain untuk sama-sama membangunkan sahsiah siswa serta bersama menuju ke arah keharmonian dan kesejahteraan institut.

2 comments:

amran said...

Tiada carta organisasi jpp yg baharu ke?

amran said...

Tiada carta organisasi jpp yg baharu ke? Yg menyenaraikan keseluruhan flow jawatankuasa ini..harap dipaparkan..